DARI Pattani menuju ke Narathiwat, anda akan melalui sebuah pekan kecil kira-kira 500 buah kedai berderet di cabang empat atau simpang empat, bernama Ban Palas. Semua pekedai-pekedai di sini orang Melayu beragama Islam. Cuma ada seorang peniaga Siam bukan Islam, kedainya bukan di dalam pekan, tetapi di belakang pekan, kedai farmasi. Kata seorang penduduk tempatan di situ, mempromosikan keistimewaan bandar kecil kebanggaannya.
Pagi itu lepas sholat subuh di masjid, saya secara kebetulan berjalan-jalan ambil angin dan melatih pergerakan badan lalu singgah di kedai itu, setelah perkenalkan diri, rupanya dia masih kenal saya. Begitulah ceritanya tadi sebagai anak jati Palas.
Jawab saya, “Ya. Saya pun masih ingat, kira-kira tahun 1987 hingga 1990an, saya acap mari sini, kalau tak salah rumah kedai di sini ada kira-kira 100 buah sahaja. Waktu itu Bank Pertanian sana pun masih belum ada.”
“Tetapi pada pertengahan 1970an, di Pattani berlaku suatu peristiwa bersejarah..” Jelasnya lagi. “Orang-orang kita berarak (berdemontrasi) kerana menuntut keadilan pembunuhan ke atas umat Islam wilayah selatan. Berarak meminta perhatian dunia Islam waktu itu. Di Ban Palas ini berlaku pertembungan antara puak berarak dengan soldadu kerajaan. Ramai puak-puak kita dibunuh dibuang ke sungai, atau mayitnya hilang entah di mana. Hal ini membuat Palas tidak aman. Puak-puak pejuang sentiasa mengintai ruang untuk menuntut balas kepada agen-agen kerajaan dan talibarut pemerintah.”
“Haaah. Betul tu.” Sampuk teman di sebelahnya. “Ambo sendiri, ambo culik agen kerajaan Tok Pek (orang Cina) tokeh kedai di Palas, kedainya balik situ..” Sambil jari menunjuk arah kedai tersebut, “…letak atas bukit, minta wang tebusan! Dengan duit itulah ambo pergi ke Makkah, puluhan tahun tinggal di sana.., atur langkah…”
Anak jati Palas itu menyambung lagi, “Lepas itu tokeh-tokeh Cina dan Siam kafir dah tak berani lagi buka kedai di pekan ni. Bila agak aman mereka datang pula nak buka kedai.. tapi tak dapat jaminan keamanan dari Tok Mene (Tok Pengulu) Palas, walaupun nak dibayar banyak wang. Itulah sebabnya di Palas tidak ada peniaga-peniaga Cina hingga sekarang.. kecuali ada satu peniaga Siam di belakang pekan hujung tu.”
Dia mengalih pandangan pada saya, “Mu pun kenal Tok Mene tu, dulu dia pernah sokong kumpulan usrah kita.. dan pernah buat pertemuan di rumahnya.” Saya mengangguk. “ Tapi sekarang dia sudah meninggal dunia.”
“Inna lillahi wainna ilai hi rajiun. Itulah antara jasa-jasanya kepada anak-anak Melayu Palas.” Sambut kawan yang seorang lagi.
Sekian.
Ibnu Hasyim
ibnuhasyim@gmail.com
Pattani. Mac 09, 2009. http://www.ibnuhasyim.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan