"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa Khabar Raja-Raja Kita?

Pelbagai insiden yang melibatkan institusi raja-raja kebelakangan ini menimbulkan banyak persoalan dan perdebatan mengenai peranan mereka di dalam menambah nilai sistem kerajaan raja berpelembagaan negara ini. Kehangatan ini timbul apabila ada kalangan raja-raja termasuk kerabat 

mereka yang dilihat mula ’campurtangan’ di dalam aspek politik dan kerajaan. Ada di kalangan mereka yang secara terbuka bercakap mengenai isu-isu yang menyentuh rakyat dan kerajaan di pentas-pentas awam. Raja Nazrin umpamanya, tanpa segan silu terus membuat teguran kepada semua pihak betapa perlunya kita kembali kepada asas perpaduan dan hubungan kaum yang berlandaskan rasa hormat dan toleransi sesama kita. Malah baginda turut membuat kritikan kepada kalangan pimpinan politik berhubung demokrasi, ketelusan dan urus tadbir yang baik dan tindak tanduk yang dianggap tidak bertamadun dan boleh menimbulkan konflik kaum yang serius.

Perubahan lanskap politik negara selepas ’tsunami’ pilihan raya umum ke-12 lepas turut mengheret raja-raja ke kancah politik di mana 2 buah negeri telah ditolak pencalonan menteri besar oleh raja dan sultan negeri-negeri berkenaan. Walau atas apa alasan sekalipun, telah tercatat di dalam sejarah bahawa raja-raja telah menggunakan kuasa mereka untuk membuat ’protes’. Tindakan ini dari segi simboliknya amat penting kerana ia membuktikan bahawa raja-raja juga ada perasaan dan pertimbangan di dalam hal-hal berkaitan pemerintahan dan kebajikan rakyat, dan mereka mempunyai ruang-ruang tertentu di dalam perlembagaan dan undang-undang yang boleh mereka gunakan bila perlu.

Persoalannya sekarang ialah setakat manakah keberanian dan kesungguhan mereka untuk membuat perubahan ini? Sememangnya diakui bahawa kuasa mereka agak terhad, tetapi di dalam keterbatasan ini sebenarnya mereka boleh membawa kesan yang besar kepada rakyat jika mereka mahu memainkan peranan mereka. Kita juga mengakui dan memahami bahawa raja-raja tidak wajar terlibat di dalam politik dan perlu mengelakkan diri dari dilihat menyokong mana-mana parti politik. Tetapi pada realitinya adakah ini benar-benar berlaku? Kita tahu ada raja-raja yang sememangnya aktif di dalam menyokong UMNO dan tidak senang dengan perubahan kerajaan di negeri masing-masing.Tetapi persoalannya adakah raja-raja berhak untuk tidak menghormati keputusan rakyat yang memilih kerajaan baru selepas mereka dah muak dengan kebobrokan kerajaan BN?Adakah raja-raja sanggup membelakangkan rakyat semata-mata untuk bersama UMNO kerana UMNO lebih cekap di dalam ’memenuhi’ hasrat dan kehendak mereka? Jika pertimbangan ini yang digunakan, kita bimbang rakyat akan lambat laun hilang rasa hormat kepada institusi raja-raja dan ini sudah tentu akan merugikan semua pihak.

Insiden di Perak umpamanya boleh diselesaikan dengan mudah. Apabila kerajaan Pakatan Rakyat cuba dirobohkan oleh UMNO dengan cara yang tidak terhormat yakni dengan membeli dan mengugut ADUN-ADUN Pakatan Rakyat, maka sudah tentu usaha menubuhkan kerajaan baru cara begini adalah jijik dan tidak bertamadun. Tambahan pula usaha menubuhkan kerajaan baru di kala kerajaan yang sedia ada masih sah perlulah dibuktikan di sidang Dewan Undangan Negeri. Jika tidak, maka mandat perlu diserahkan kembali kepada rakyat untuk menentukan sama ada mereka masih mahu kerajaan PR atau kembali semula kepada BN. Saranan MB kepada Sultan itu bukan saja baik untuk rakyat tetapi juga baik untuk memelihara kemuliaan institusi kesultanan itu sendiri. Saranan ini bukan saja untuk kebaikan semua malah ia adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada. Tetapi baginda sultan telah memilih untuk mendengar cakap UMNO yang nyata bacul menghadapi rakyat dan hasilnya kita lihat hari ini kemelut politik yang tak kunjung sudah.

Saya yakin rakyat Malaysia secara umumnya amat menghormati institusi beraja dan merasakan ia satu keperluan di dalam memberi keseimbangan di dalam pemerintahan negara. Walaupun kita mempunyai peruntukan undang-undang yang mengawal peranan dan bidang kuasa raja-raja tetapi apa yang lebih penting ialah mereka perlu mengorak langkah membuat perubahan dari segi tanggungjawab dan peranan masing-masing. Jangan hanya apabila isu melibatkan mereka dan kaum kerabat mereka saja maka baru nak sibuk bersuara dan bertindak. Kita tak mahu apabila rakyat diperlakukan dengan kejam dan zalim oleh kerajaan BN seperti ketika demonstrasi jalanan aman yang lepas-lepas (yang dibenarkan di bawah perlembagaan kita) tak sepatah suara pun keluar dari mulut mereka. Juga apabila pencabulan terhadap perlembagaan seperti perlantikan hakim-hakim dan campurtangan di dalam kehakiman, maka tak juga kedengaran suara raja-raja.

Kita tak minta raja-raja supaya terlibat langsung di dalam politik dan kepartian. Kita hanya minta mereka supaya berperanan sebagai payung rakyat, tempat berteduh apabila ada hujan atau panas. Kita perlukan mereka untuk berlaku adil kepada rakyat dan menjadi pembela kepada semua rakyat tak kira siapa saja yang menjadi mangsa penganiayaan dan kezaliman. Kita meminta komitmen mereka di dalam memastikan perjalanan negara berjalan lancar di atas prinsip-prinsip demokrasi dan keadilan. Itu saja yang mereka perlu buat dan jika ia ditanggani dengan baik, keutuhan dan kemuliaan institusi beraja negara akan terus menjadi kebanggaan semua dan kita yakin, ia akan terus kekal relevan.

Anak Bapa: Di negara jiran kita, Thailand hanya ada seorang raja dan baginda begitu dihormati bukan kerana kemewahan dan kekuasaannya tetapi kerana keperihatinan baginda kepada rakyat. Apabila berlaku insiden yang dirasakan boleh memudaratkan rakyat, baginda akan segera mencari jalan penyelesaiannya. Cara baginda lakukan acapkali berjaya menyelesaikan kemelut politik negara berkenaan tanpa tercalar kemuliaan institusinya. Mungkin boleh dijadikan renungan bersama ....... 
 

http://anakbapa.blogspot.com/

Tiada ulasan: