"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Presiden PAS persoal perbelanjaan besar k'jaan T'ganu

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempersoalkan pentadbiran kerajaan negeri Terengganu yang didakwanya berbelanja dalam jumlah yang "luar biasa" bagi tempoh 2008 hingga Ogos tahun ini.

ADUN Rhu Rendang yang juga ahli parlimen Marang itu berkata ini berdasarkan jumlah bajet negeri Terengganu yang merupakan bajet yang terbesar berbanding bajet negeri lain di Semenanjung.

"Bajet terlalu besar, berbeza dengan negeri lain...pertama ia tidak seimbang dengan jumlah rakyat negeri Terengganu dan keduanya ia juga tidak seimbang dengan pendapatan negeri sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang DUN Terengganu hari ini berhenti rehat.

Terdahulu, dalam persidangan DUN, Exco Kewangan dan Pelaburan negeri Ahmad Razif Abdul Rahman mengemukakan usul untuk tambahan peruntukan berjumlah RM157,096,700 untuk perbelanjaan Rancangan Kemajuan Negeri bagi tahun 2010.

Kemudiannya Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) membawa usul di bawah peraturan Majlis Mesyuarat fasal 30 peraturan-peraturan dan perintah tetap DUN Terengganu memohon persidangan ditangguhkan bagi membolehkan perbelanjaan pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dari tahun 2008 hingga Ogos 2010 dibincangkan.

Katanya, perkara itu adalah melibatkan kepentingan orang ramai kerana salah urus sumber kewangan negeri akan menghilangkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran serta kredibiliti pemimpin Terengganu.

"Malahan bajet tahunan negeri Terengganu untuk dua tahun terakhir telah mencecah lebih RM2 bilion manakala bajet bagi tahun 2010 ini sahaja mencecah hampir RM1.9 bilion dan DUN sekali lagi akan meluluskan peruntukan tambahan menjadikan ianya mencecah lebih RM2 bilion.

"Ini menjadikan bajet negeri Terengganu yang tertinggi di seluruh negeri di Semenanjung untuk tiga tahun berturut-turut," katanya.

Bagaimanapun usul Dr Syed Azman itu ditolak oleh Speaker DUN Datuk Tengku Putera Tengku Awang dengan alasan perkara itu sedang dibincangkan dan kalau usul itu diterima, ia menjadi perbincangan yang bertindih.
-Bernama-

Tiada ulasan: