"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mangsa ditahan sempena 50 tahun ISA adu Suhakam

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 12 Ogos:
Mangsa yang ditahan pada program Candle Light Vigil sempena 50 tahun ISA pada 1 Ogos lalu hari ini mengemukakan memorandum dan aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Turut serta mengiringi mangsa adalah penganjur himpunan, Gerakan Mansuhkan Isa (GMI) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Aduan tersebut berhubung salahguna kuasa oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Light Strike Force (LSF) di bawah arahan Ketua Polis Negara Tan Musa Hassan.

Aduan hari ini didengar Pesuruhjaya baru Suhakam, Muhammad Sha'ani Abdullah.

Dalam himpunan serentak di seluruh negara pada 1 Ogos lalu, seramai 39 orang ditangkap tanpa sebab munasabah khususnya di Petaling Jaya, Kelantan dan Pulau Pinang.

Polis juga didakwa menggunakan kekerasan sewaktu menyuraikan himpunan aman tersebut biarpun ianya turut dipantau oleh Majlis Peguam Malaysia dan Suhakam sendiri.

"Pemenang sebenar pencabulan Hak Asasi pada hari tersebut adalah OCPD Petaling Jaya, ASP Arjunaidi Mohamad," kata Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh.

Arjunaidi katanya, langsung tidak memberi masa yang cukup untuk pihak penganjur dan peserta bersurai secara aman.

Malah lebih keterlaluan, beliau juga menggunakan LSF untuk menyuraikan perhimpunan.

Polis juga kata Syed Ibrahim, seolah-olah menghina Suhakam apabila langsung tidak menghormati pemantau-pemantau Suhakam yang hadir.

"Ini satu penghinaan kepada Suhakam, sebuah badan yang diiktiraf kerajaan," katanya lagi.

Sehubungan itu GMI dan Suaram mahu penyiasatan terbuka terhadap tindakan ganas melampau polis 1 Ogos lalu.

Mereka menuntut laporan akhir siasatan diserah kepada kerajaan agar anggota polis yang terlibat diambil tindakan disiplin.

Bagi tujuan mengelak aktivis dan pendukung hak asasi terus menjadi mangsa polis, mereka juga mencadangkan Bahagian Pelindung Hak Asasi Suhakam diaktifkan.

"Kami sering menjadi mangsa, mereka target untuk tangkap kami agar tidak meneruskan himpunan.

"Kami kemungkinan dicas dan tidak boleh hadiri mana-mana himpunan lagi selepas ini," kata wakil Suaram, Nalini Elumalai yang juga mangsa tangkapan.

Tiada ulasan: