Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad menyifatkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai 'batu api' yang didakwa cuba melaga-lagakan PAS dan DAP dalam isu diskaun harga rumah untuk bumiputera.
Kenyataan Muhyiddin itu timbul berikutan kenyataan awal ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua supaya dimansuhkan dasar pemberian diskaun untuk bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial.
"Isu yang ditimbulkan Tony Pua ialah diskaun tidak sepatutnya diberikan kerana mereka yang sudah kaya. Pada dasarnya saya setuju.
"Datuk Seri presiden (Abdul Hadi Awang) pula menimbulkan persoalan hak istimewa orang Melayu dan keperluan hak untuk membantu orang Melayu yang masih lagi ketinggalan dari segi ekonomi dan sebagainya.
"Pada dasarnya, saya pun bersetuju," katanya lagi dalam sidang media di pejabatnya di Shah Alam hari ini.
Katanya, isu yang sepatutnya dibincangkan ialah diskaun kepada golongan berada yang lebih tinggi untuk rumah bawah harga RM500,000 dan bangunan komersil bawah nilai RM2 juta.
"Maknanya diskaun itu masih ada tapi tak dapat kepada pembeli, sebaliknya digunakan untuk memungkinkan orang yang tak kaya membeli rumah dalam harga RM100,000 atau RM200,000 - bukannya mendapat diskaun tujuh peratus.
Tak nafi bantuan pada Melayu, Bumiputera
"Jadi sekarang kita boleh guna diskaun tujuh peratus untuk rumah berharga RM500,000, jumlah itu kita kira supaya mungkin rumah yang murah sikit itu boleh diberi diskaun 10 peratus.
"Dengan cara itu kita tidak menolong orang yang kaya dan pada masa sama kita menentukan bahawa diskaun atau subsidi itu digunakan untuk membantu orang yang miskin.
"Dengan cara itu juga tidak menafikan bantuan kepada orang Melayu ataupun kaum bumiputera," katanya yang juga anggota biro politik PAS.
Tambahnya, pendekatan itu boleh digunakan untuk menangani persoalan prinsip antara PAS dan DAP dalam soal tersebut.
"Saya rasa kalau pendekatan dan kaedah ini digunakan maka tidak ada pertikaian di antara PAS dan DAP dalam persoalan ini dan saya rasa pada dasarnya memang tidak ada.
"Malangnya kita ada satu timbalan perdana menteri yang suka jadi batu api.
"Dia nak cuba laga-lagakan kenyataan antara Tony Pua dengan Datuk Seri Abdul Hadi, sedangkan prinsip yang hendak dikemukakan ialah satu prinsip yang saya rasa patut difikirkan bersama," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan