"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Azizul cipta kejutan raih emas, tewaskan pelumba nombor satu dunia

Amirul Fazli Zulkafli
sukan@hmetro.com.my

AZIZUL raih emas keirin di Piala Dunia Berbasikal Trek UCI di Perth. -FOTO Arkib
Kuala Lumpur: Pelumba trek berpengalaman negara, Datuk Azizulhasni Awang terus membuktikan dirinya masih berbisa dan mampu bersaing di pentas dunia apabila menghadiahkan pingat emas acara keirin pada siri pembukaan Piala Dunia Berbasikal Trek UCI di Perth, hari ini.

Pada aksi final di Velodrom Perth SpeedDome, Azizulhasni yang bermula di belakang bijak menyusun strategi dengan mengekori rapat pelumba nombor satu dunia dari Great Britain, Matthew Richardson dan menunggu masa tepat sebelum melakukan pecutan emasnya.

Seperti dijangka, Richardson melakukan pecutan terlebih dahulu, tetapi Azizulhasni menggunakan pengalaman yang ada pada dirinya untuk menukar keadaan dengan memintas pada saat-saat akhir.

Pemenang terpaksa ditentukan melalui semakan foto sebelum pelumba kelahiran Terengganu itu didapati terlebih dahulu melintasi garisan untuk meraih emas.

Sementara itu, harapan untuk melihat wakil pecut individu wanita turut meraih podium tidak kesampaian apabila dua pelumba negara, Izzah Izzati Asri dan Nur Alyssa Farid terkandas di pusingan kedua.

Izzah Izzati terpaksa akur kalah kepada juara Olimpik dari New Zealand, Ellesse Andrews manakala Alyssa disingkirkan pelumba China, Yuan Liying yang kemudian muncul juara selepas menewaskan Andrews pada aksi final.

Esok, Azizulhasni akan meneruskan cabaran dalam acara pecut individu lelaki manakala Izzah dan Alyssa akan beraksi dalam acara keirin wanita.

Penjual rokok haram ditahan, disyaki pukul penguat kuasa PBT

Poliana Ronnie Sidom
Tangkap layar video tular.
SANDAKAN: Seorang pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) cedera, selepas dipercayai dipukul sekumpulan lelaki ketika membuat rondaan di Pasar Batu 8, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa bersama rakan sekerjanya dikatakan menjalankan rondaan bagi memantau aktiviti perniagaan dan menegur seorang lelaki yang dipercayai menjual rokok tanpa cukai secara terbuka di kawasan pasar itu.

Teguran itu bagaimanapun mencetuskan perselisihan faham, sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan beberapa individu, sebelum mangsa mendakwa diserang oleh beberapa lelaki tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, akibat kejadian itu, mangsa yang berusia 50 tahun mengalami lebam di beberapa bahagian badan dan dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk mendapatkan rawatan.

“Kita memulakan siasatan sejurus menerima laporan daripada mangsa dan sudah mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

“Setakat ini, satu tangkapan sudah dibuat dan polis masih menumpukan usaha untuk mengesan beberapa lagi suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

George berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186, 332 dan 147 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, rakaman video berdurasi kira-kira satu minit tular di laman sosial yang memaparkan mangsa dipukul beramai-ramai sehingga ke kawasan tempat letak kenderaan pasar.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Fairuz Renddan dalam kenyataannya memberi amaran tegas kepada penjual rokok haram untuk menghentikan kegiatan itu.

Beliau berkata, walaupun kesalahan rokok seludup berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), kementeriannya akan meningkatkan usaha membanteras aktiviti berkenaan di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menjual rokok haram, terutama yang bertindak seperti samseng dan mengganggu pegawai yang menjalankan tugas,” katanya.

2 pegawai kanan, anggota polis antara 6 ditahan kes samun di Gombak

Suharmin Yusuf
suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Shah Alam: Enam lelaki termasuk dua pegawai kanan dan anggota polis ditahan bagi membantu siasatan kes samun berkumpulan yang dilaporkan berlaku di daerah Gombak pada 27 Februari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.30 pagi sebelum operasi khas dilancarkan bagi mengesan dan menangkap suspek yang terbabit.

Menurutnya, hasil siasatan dan risikan dijalankan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berjaya membuat siri tangkapan bermula Isnin lalu.

"Operasi ini membabitkan tangkapan enam lelaki warga tempatan di beberapa lokasi berbeza.

"Daripada jumlah itu, tiga suspek dikenal pasti sebagai penjawat awam iaitu dua pegawai kanan dan seorang anggota.

"Manakala, tiga lagi adalah orang awam di mana seorang daripadanya mempunyai 20 rekod lampau," katanya dalam kenyataan, malam ini

Beliau berkata, kesemua suspek kini direman sehingga sehingga esok bagi membantu siasatan.

Shazeli berkata, antara barangan yang dirampas ialah wang tunai berjumlah RM1,498 serta pelbagai barang kes termasuk kenderaan Mercedes Benz, Chery Omoda 5, van Hiace dan tiga vest bertulis 'Polis'.

Selain itu, katanya, turut dirampas ialah ketulan emas seberat 100 gram (g) dan 13 telefon bimbit pelbagai jenama.

Katanya, polis kini giat mengesan dua lagi individu yang masih bebas hasil pendedahan maklumat daripada suspek yang ditahan.

"Polis Kontinjen Selangor menegaskan siasatan telus dan menyeluruh sedang dijalankan tanpa kompromi walaupun kes ini membabitkan warga pasukan sendiri.

"Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan integriti dan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara," katanya.

Doktor pelatih ditemukan meninggal dunia di asrama

Bernama

KOTA BHARU: Seorang doktor pelatih wanita ditemukan meninggal dunia di bilik asrama di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai, semalam.

Ketua Polis Kuala Krai Mazlan Mamat berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pada 9.55 pagi sebelum pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah serta Balai Polis Kuala Krai dikerah ke lokasi.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati doktor pelatih wanita berusia 29 tahun ditemukan meninggal dunia di dalam bilik air asrama.

“Pemeriksaan awal di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik HSIP untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Kuala Krai menerusi talian 09-966 6222 bagi membantu siasatan.

Konflik Asia Barat: Negara Eropah ‘sasaran sah’ jika sertai AS dan Israel - Iran

Astro AWANI
REUTERS/Shannon Stapleton/File Photo
Majid Takht-Ravanchi, menegaskan bahawa mana-mana negara yang menyokong serangan terhadap Iran akan dianggap sebagai “sasaran sah” untuk tindakan balas. - Foto REUTERS
PARIS: Ketegangan konflik antara Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel terus memuncak apabila Iran mengeluarkan amaran keras kepada negara-negara Eropah supaya tidak menyertai operasi ketenteraan terhadap Tehran.

Timbalan Menteri Luar Iran, Majid Takht-Ravanchi, menegaskan bahawa mana-mana negara yang menyokong serangan terhadap Iran akan dianggap sebagai “sasaran sah” untuk tindakan balas.

Dalam temu bual bersama France 24, Takht-Ravanchi berkata Tehran telah memaklumkan negara-negara Eropah dan pihak lain supaya berhati-hati dan tidak terlibat dalam apa yang digelarnya sebagai “perang agresif” yang dilancarkan terhadap Iran.

Beliau menegaskan lagi bahawa jika mana-mana negara menyertai AS dan Israel dalam serangan, negara tersebut akan serta-merta menjadi sasaran sah tindakan balas Iran.

Kenyataan itu mencerminkan pendirian tegas Tehran yang melihat sebarang sokongan ketenteraan terhadap AS dan Israel sebagai campur tangan langsung dalam konflik yang sedang berlangsung.

Laporan dari Izvestia turut menyatakan bahawa Iran sudah beberapa kali mengingatkan negara Eropah agar tidak terseret ke dalam perang, sambil menegaskan bahawa mereka tidak akan teragak-agak untuk mempertahankan kedaulatan negara jika tercetus ancaman.

Kebimbangan antarabangsa semakin meningkat kerana perkembangan ini berlaku ketika operasi ketenteraan AS-Israel di Iran semakin meluas, termasuk serangan udara dan tindak balas rentas sempadan, yang telah meningkatkan risiko konflik serantau merebak ke Eropah dan rantau Teluk.

Selain peningkatan rondaan udara dan laut oleh beberapa negara Eropah di Mediterranean Timur dan Teluk, laporan Cyprus Mail menyatakan bahawa sejumlah kerajaan Eropah sedang menilai kemungkinan untuk memberikan sokongan kepada sekutu Barat mereka.

Namun, amaran Tehran menambah risiko baru, khususnya kemungkinan serangan balas secara langsung jika mereka terlibat secara ketenteraan.

Penganalisis antarabangsa memberi amaran bahawa perkembangan ini boleh menjerumuskan Eropah ke dalam kancah konflik yang lebih besar sekiranya negara-negara Eropah membuat keputusan untuk menyertai operasi AS-Israel.

‘Hujan’ misil Iran gegar Tel Aviv

KOSMO!
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran yang berpunca daripada serpihan roket Iran yang dipintas di kawasan perumahan berhampiran Tel Aviv kelmarin. - AFP
TEL AVIV – Serangan peluru berpandu terbaru Iran mencetuskan letupan di serata bandar raya Tel Aviv ketika pasukan bomba berusaha memadamkan api di sebuah bangunan kediaman berhampiran pusat komersial Israel semalam.

Serangan lewat kelmarin itu berlaku selepas Israel memperluaskan kempen ketenteraan terhadap kumpulan Hezbollah yang disokong Tehran.

Israel sebelum ini berikrar akan membalas dendam terhadap kumpulan pejuang Palestin itu kerana menyertai konflik susulan pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, Sabtu lalu.

Penyiar rasmi Iran melaporkan bahawa Tehran telah melan­carkan peluru berpandu yang menyasarkan kawasan di tengah Tel Aviv selepas tentera Israel memaklumkan ia sedang berusaha memintas tembakan Iran yang dilancarkan lewat kelmarin.

Wartawan AFP di Tel Aviv melaporkan dua gelombang letupan kedengaran hampir serentak di seluruh bandar tersebut.

Jejak misil dilihat menerangi ruang udara di Netanya, sebuah bandar di utara Tel Aviv yang terletak di pesisir Laut Mediterranean.

Perkhidmatan kecemasan Israel, Magen David Adom (MDA) memaklumkan bahawa pasukannya telah memeriksa beberapa lokasi yang terkena impak, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Polis Israel menyatakan, mereka sedang menguruskankan beberapa lokasi di tengah Israel yang terkena peluru berpandu Iran sambil menambah, terdapat kerosakan pada bangunan tetapi tiada kecederaan.

Sebuah peluru berpandu dilaporkan mengenai bangunan di pinggir Tel Aviv sekali gus memaksa penduduk untuk berpindah.

Di sebuah kawasan perumahan berhampiran pusat ekonomi Israel itu, anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran yang berpunca daripada serpihan selepas roket Iran dipintas.

Komando Barisan Hadapan Israel mengeluarkan beberapa amaran serangan roket awal pagi semalam kepada komuniti berhampiran sempadan Lubnan.

Sementara itu, konflik di Asia Barat yang dicetuskan oleh serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran telah merebak ke Cyprus, Sri Lanka, Turkiye, Azerbaijan dan berisiko menarik lebih banyak negara ke dalam perang tersebut.

“Konflik telah berkembang menjadi kempen intensiti tinggi, pelbagai domain tanpa sebarang tanda ia akan berakhir dalam masa terdekat,” kata Pusat Soufan yang berpangkalan di AS.

Duta Iran ke Arab Saudi, Alireza Enayati berkata, Tehran menghargai komitmen Arab Saudi yang tidak membenarkan ruang udara atau wilayahnya digunakan semasa perang berterusan dengan AS-Israel.

“Kami menghargai apa yang kami dengar berulang kali daripada Arab Saudi bahawa ia tidak membenarkan ruang udara, perairan atau wilayahnya digunakan untuk menentang Republik Islam Iran,” kata Enayati kepada AFP.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengenai negaranya menyerang kedutaan AS di Riyadh pada minggu ini selepas pegawai Arab Saudi mendakwa Iran menyasarkan kompleks kedutaan berkenaan dengan dron.

Terbaru semalam, serangan dahsyat dilaporkan di Tehran selepas Israel mengumumkan ia menyasarkan infrastruktur rejim dalam fasa baharu perang yang dilancarkan bersama AS ke atas Iran.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth mengumumkan bahawa kuasa tembakan ke atas Iran dan Tehran akan meningkat secara ketara.

Presiden Donald Trump berkata, beliau tidak mempertimbangkan untuk mengerahkan tentera darat AS ke atas Iran buat masa ini.

Trump sebelum ini menyatakan bahawa beliau ‘perlu terlibat’ dalam pemilihan pemimpin baharu Iran. – AFP

Tukar!!! Lelaki buat aksi tak senonoh di KLIA 2

KOSMO!
Tangkap layar video tersebut yang tular di media sosial.
PETALING JAYA – Seorang lelaki dirakam melakukan aksi tidak senonoh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 hari ini.

Menerusi sebuah rakaman yang tular di media sosial, lelaki tersebut dirakam melakukan perbuatan tidak senonoh itu di hadapan sebuah kaunter.

Lelaki itu juga dilihat tidak menghiraukan orang ramai yang berada di kawasan itu.

Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna mengecam tindakan lelaki terbabit.

“Kenapa semakin merepek manusia sekarang,” kata Anne.

“Tak ada polis bantuan ke dekat situ?,” soal Othman.

“Mana polis? Senang betul kalau orang luar nak serang negara kita kalau begini,” kata Abu Bakar. –
KOSMO! ONLINE

KJ: Tawaran Zahid mungkin strategi tarik Hamzah kembali ke Umno

FMT Reporters

PETALING JAYA: Keputusan Umno membuka seluas-luasnya pintu kepada bekas pemimpinnya mungkin langkah taktikal membawa masuk kembali Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin yang dipecat Bersatu, bulan lalu.

Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata tawaran Presiden Zahid Hamidi itu bukan hanya untuk mereka yang dipecat atau digantung tetapi merentasi parti politik.

“Ini membuka ruang kepada Hamzah kembali dalam Umno dan langkah taktikal oleh Zahid selepas mendengar Hamzah mahu menubuhkan parti baharu.

“Semalam (Khamis) ada juga satu perbincangan isu ada kaitan orang Melayu dan Bumiputera dihadiri Umno, PKR, PAS, Amanah,” katanya dalam program audio siar Keluar Sekejap.

“Ia gerakan Umno untuk menyatukan orang Melayu dan parti yang boleh wujudkan kolaborasi agung,” kata Khairy yang menyifatkannya sebagai langkah taktikal kerana turut menyediakan peluang kembali bersama Umno.

Semalam, Zahid mengumumkan parti itu membuka pintu ‘Rumah Bangsa’ seluas-luasnya kepada ahli yang dipecat atau digantung untuk kembali menyertainya.

Tawaran itu juga dilihat melatari krisis dalaman Bersatu yang menyaksikan Hamzah dipecat pada 13 Feb lalu susulan kemuncak pertelingkahan kepimpinan dengan Presiden Muhyiddin Yassin.

Hamzah mengesahkan ada perbincangan untuk beliau mengambil alih dan menerajui Parti Keluarga Malaysia namun keputusan muktamad masih belum dibuat.

Sementara itu, bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan berkata langkah itu menunjukkan kehebatan taktikal parti berkenaan walaupun langkah strategiknya masih menjadi persoalan.

Beliau berkata Umno memanfaatkan peluang pertelingkahan parti lain terutama musuh Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) selain tidak membuat kenyataan berkait kontroversi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

“Umno diam dan bila ada peluang ia bina naratif baharu yang asing dari kecelaruan.

“Mungkin inilah cara untuk Umno boleh tingkat kerusi selain menjadi sebahagian kerajaan atau memimpinnya,” katanya.

PKR saman 16 bekas MP, ADUN, tuntut RM160 juta kerana keluar parti

Bernama

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) memfailkan saman terhadap 16 bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan menuntut ganti rugi RM10 juta setiap seorang selepas mereka meninggalkan parti itu dua tahun selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018.

Saman atas dakwaan melanggar syarat bon difailkan oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Dr. Fuziah Salleh bagi pihak parti (plaintif) dalam dua tindakan berasingan melalui firma guaman Tetuan Messrs Nav & Co di Mahkamah Tinggi di sini, masing-masing pada 19 dan 27 Februari lepas.

Parti itu menamakan bekas Ahli Parlimen dan ADUN PKR iaitu Baru Bian, Datuk Kamarudin Jaffar, Datuk Mansor Othman, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Datuk Saifuddin Abdullah dan Datuk R. Santhara Kumar sebagai defendan.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Abdul Yunus Jamhari, Datuk Azman Nasrudin, Dr. Afif Bahardin, Chong Fat Full, Daroyah Alwi, Haniza Mohamed Talha, Muhammad Hilman Idham, Muhammad Jailani Khamis, Robert Ling Kui Ee dan Zulkifli Ibrahim.

Dalam saman itu, PKR mendakwa bahawa di bawah klausa operatif bon, setiap defendan bersetuju untuk membayar kepada parti RM10 juta dalam tempoh tujuh hari selepas berlakunya mana-mana peristiwa termasuk defendan meletakkan jawatan daripada parti, menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Plaintif mendakwa telah melantik setiap defendan sebagai calonnya untuk bertanding dalam PRU14 dan berjaya meraih beberapa kerusi Parlimen dan DUN, seterusnya membentuk Kerajaan Persekutuan serta beberapa kerajaan negeri.

"Bagaimanapun, pada 24 Feb 2020, setiap defendan telah berhenti menjadi ahli parti selepas dipilih di bawah panji-panji parti. Mereka juga menzahirkan sokongan kepada gabungan politik selain PKR," menurut PKR dalam pernyataan tuntutan itu.

PKR memaklumkan pada 11 Mac 2020 parti memutuskan untuk menamatkan keahlian setiap defendan berkuat kuasa serta-merta dan satu sijil bertarikh 16 Mac 2020 dikeluarkan bagi mengesahkan bahawa keahlian setiap defendan telah ditamatkan.

"Melalui surat bertarikh 28 Julai 2020, PKR telah mengeluarkan tuntutan rasmi kepada setiap defendan bagi pembayaran jumlah tersebut, namun defendan-defendan gagal membayar bon berkenaan," dakwa PKR, yang turut memaklumkan bahawa bon yang dimeterai merupakan mekanisme untuk melindungi dan mengurangkan risiko kepada parti.

Sehubungan itu, PKR menuntut setiap defendan membayar bon berjumlah RM10 juta selain menuntut kos, faedah dan relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pengurusan kes bagi kedua-dua saman itu ditetapkan pada 17 dan 27 Mac ini.

-- BERNAMA

Ratusan ribu ikan meloncat ke darat semasa gerhana bulan

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan penduduk tempatan berebut mengutip ikan yang meloncat keluar ke darat. - TikTok
MANILA – Satu klip video tular di wilayah Zamboanga del Norte, selatan Filipina memaparkan beribu-ribu ikan naik ke daratan semasa gerhana bulan penuh.

Kejadian berlaku di Barangay Taguilon, bandar raya Dapitan, baru-baru ini. 

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @gmanews menunjukkan penduduk tempatan berpusu-pusu mengambil ikan yang melompat keluar dari permukaan laut. 

Ada antara mereka meletakkan ikan-ikan itu di dalam plastik yang dibawa dari rumah. 

Mereka juga sempat mengucapkan ‘terima kasih Tuhan’ atas timbunan ikan yang muncul semasa gerhana bulan penuh. 

Rakaman itu mencatatkan 13.1 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen.

“Sesuatu yang besar akan berlaku,” kata seorang netizen. 

“Ia bukan petanda baik, ikan-ikan itu seperti cuba melarikan diri,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

Gaduh di Bazar Ramadan Sabindo, 5 ditahan

Abdul Rahemang Taiming
Tangkap layar kejadian gaduh gempar di Bazar Ramadan Sabindo Tawau, petang tadi bb
TAWAU: Lima individu ditahan bagi membantu siasatan susulan kejadian pergaduhan yang mencetuskan kekecohan di Bazar Ramadan Sabindo di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat selepas pihak polis menjalankan siasatan berdasarkan rakaman video kejadian yang tular di media sosial.

Menurutnya, polis turut membuka kertas siasatan berhubung insiden berkenaan dan masih dalam proses mengesan beberapa lagi suspek yang sudah dikenal pasti.

“Setakat ini lima tangkapan dibuat dan usaha mengesan suspek lain sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Terdahulu, video pergaduhan yang berlaku di kawasan Bazar Ramadan Sabindo tular di media sosial sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai yang berada di lokasi berkenaan.

Berdasarkan beberapa klip video yang tular itu menyaksikan sekumpulan individu saling menyerang antara satu sama lain di tengah laluan Bazar berkenaan.

Kelantan: Kepala dipukul dengan topi tempur, batang penyapu hingga parah, anggota tentera saman lapan defendan tuntut ganti rugi

Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my
ANGGOTA tentera, Muhammad Rusyairi Jalani, 25, yang menjalani pembedahan di kepala di HUSM, Kubang Kerian pada 2023 kerana didakwa dipukul empat anggota tentera. FOTO ihsan peguam
ANGGOTA tentera, Muhammad Rusyairi Jalani, 25, yang menjalani pembedahan di kepala di HUSM, Kubang Kerian pada 2023 kerana didakwa dipukul empat anggota tentera. FOTO ihsan peguam
Kota Bharu: Seorang anggota tentera memfailkan saman terhadap lapan defendan iaitu empat anggota tentera, pegawai memerintah 16 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia, Tentera Darat Malaysia dan kerajaan Malaysia bagi memohon ganti rugi atas kecederaan parah yang dialaminya.

Anggota berkenaan selaku plaintif, Muhammad Rusyairi Jalani, 25, memfailkan saman di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kelmarin menerusi firman guaman Tetuan Shaharuddin Hidayu & Marwaliz.

Saman berkenaan dikemukakan dengan menamakan Nor Mohd Rosidi Isa, 31; Mohd Fadzli Samsuri, 40; Mohamad Faaik Bakar, 34; Noor Mustaqim Ahmad, 34; Pegawai Memerintah 16 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Leftenan Kolonel Fazul Salim Anor Salim; Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia; Tentera Darat Malaysia dan kerajaan Malaysia.

Berdasarkan writ saman dan pernyataan tuntutan Muhammad Rusyairi menuntut bagi ganti rugi am di atas kecederaan, teladan dan khas.

Peguam bela plaintif, Shaharuddin Mohamed berkata, anak guamnya turut memohon mahkamah mengenakan faedah lima peratus setahun ke atas jumlah dari tarikh kejadian pada 14 Mac 2023 hingga penyelesaian penuh, kos guaman dan lain-lain relif atau perintah.

Katanya, ketika kejadian, plaintif adalah anggota tentera berpangkat Prebet, manakala defendan pertama pula Staf Sarjan dan defendan kedua hingga keempat berpangkat Koperal berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia di Batalion ke-16, RAMD Kem Desa Pahlawan di sini.

Defendan pertama hingga keempat didakwa termasuk memarahi, menumbuk sebelah kiri perut plaintif sehingga lebam, memukul bahagian kepala dengan topi tempur tentera dan mengetuk bahagian kepala plaintif dengan batang penyapu kerana tidak berpuas hati dengan prestasi kawad plaintif antara 4 petang, 13 Mac 2023 hingga 8.30 malam, pada 15 Mac 2023.

Plaintif berasa sangat sakit dan muntah beberapa kali sebelum mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) di Kem Desa Pahlawan pada 17 Mac 2023 sebelum ke Hospital Machang pada 20 Mac 2023 kerana sudah tidak tahan sakit di bahagian kepala.

Plaintif dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut dan tidak sedarkan diri sebelum menjalani pembedahan di kepala kira-kira 12.30 tengah malam dan selesai 4 pagi, pada 21 Mac 2023.

Plaintif dimasukkan ke wad selama lapan hari dan diberi cuti sakit sehingga 16 Oktober 2023 dan dibawa balik oleh keluarga ke Melaka pada 28 Mac 2023.

Plaintif dirujuk untuk rawatan lanjut di Hospital Melaka termasuk rawatan psikiatri dan Hospital Angkatan Tentera, Kem Terendak, Melaka serta temu janji di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju, Kuala Lumpur sehingga sekarang.

Sepanjang rawatan plaintif tidak mampu untuk melaksanakan tugas sebagai seorang anggota tentera dan perlu dijaga oleh keluarga kerana sering jatuh di dalam rumah.

Video tular MPV polis ambil bungkusan di restoran mamak disiasat

Bernama
https://www.sinarharian.com.my/article/770740/berita/semasa/polis-siasat-video-tular-mpv-ambil-bungkusan-di-restoran-mamak
Tangkap layar rakaman video tular memaparkan sebuah MPV polis berhenti untuk mengambil bungkusan di sebuah restoran mamak. - Gambar Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh sedang menjalankan siasatan berhubung satu rakaman video tular memaparkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik pasukan itu yang berhenti untuk mengambil bungkusan di sebuah restoran mamak, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya mengesan video berdurasi 12 saat itu di media sosial pada 7.50 malam yang memaparkan insiden di kawasan deretan kedai dalam daerah pentadbiran berkenaan.

Beliau berkata rakaman itu menunjukkan seorang pekerja restoran menghampiri kenderaan MPV dengan kod kenderaan SL198 sebelum menyerahkan dua bungkusan plastik berwarna putih kepada pemandu kenderaan tersebut di siang hari.

"Pihak IPD Sungai Buloh mengesahkan kejadian yang berlaku melibatkan MPV milik IPD ini. Perkara ini akan disiasat secara terperinci dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana anggota atau pegawai yang didapati terlibat.

"Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga pasukan yang melakukan salah laku hingga boleh menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, Mohd Hafiz menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau andaian tidak berasas yang boleh mencemarkan imej pasukan polis.

-- BERNAMA

KJ mahu kembali ke Umno selepas Zahid umum buka pintu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas menteri Khairy Jamaluddin menyatakan hasrat untuk kembali ke pangkuan Umno selepas Presiden Umno Zahid Hamidi hari ini berkata parti itu membuka pintu seluas-luasnya kepada bekas ahli yang dipecat atau digantung.

Dalam reaksi terhadap pengumuman itu, bekas ketua Pemuda Umno tersebut berkata beliau sudah lama sebut ingin kembali kepada Umno.

“Saya lihat ini sebagai satu perkembangan yang positif dan satu peluang yang murni bagi saya secara peribadi,” kata bekas Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal itu.

“Jadi saya bolehlah mula draft surat itu (mohon menyertai Umno),” kata Khairy dalam sedutan audio siar Keluar Sekejap.

Terdahulu hari ini, Zahid berkata jemputan parti kepada ahli yang pernah dipecat atau digantung untuk menyertai semula Umno demi membuka lembaran baharu untuk memperkukuh kembali keluarga besar Umno.

Khairy, bekas menteri yang pernah memegang pelbagai portfolio, dipecat daripada parti pada Januari 2023 kerana melanggar disiplin parti semasa PRU15 yang diadakan pada Disember 2022.

Beliau mengkritik Zahid secara terbuka menjelang pilihan raya tersebut, terutama selepas Barisan Nasional meletakkannya bertanding di kubu kuat Pakatan Harapan di Sungai Buloh.

Khairy tewas dalam pertandingan itu kepada R Ramanan daripada PKR dengan perbezaan 2,693 undi.

Sejak meninggalkan Umno, Khairy kekal aktif dalam wacana awam sebagai penyampai radio dan hos audio siar politik Keluar Sekejap.

Oktober lalu, media melaporkan bahawa beliau dijangka menyertai semula Umno selepas mendapat ‘restu’ daripada Zahid.

Kematian tentera Amerika kini mencecah 1,000 orang, kata bekas MP British

BORHAN AHMAD

Seorang bekas ahli Parlimen British, George Galloway mendakwa, jumlah kematian tentera Amerika akibat perang dengan Iran kini mencecah 1,000 orang.

Beliau juga mendakwa, ibu negara Israel kini kelihatan umpama Gaza dengan kemusnahan yang sangat ketara akibat serangan peluru berpandu dari Iran.

“Petang semalam sahaja, Iran menghentam Tel Aviv dengan 50 berpandu balistik tanpa sebarang tentangan dari Israel.

“Bagaimana saya tahu. Kerana saya ada kawan-kawan di sana yang memaklumkan kepada saya,” kata seorang pejuang untuk kebebasan Palestin melalui satu klip video.
(Klip untuk lihat video)

Menurut Galloway, mereka juga menipu tentang jumpa kematian rakyat Amerika dalam serangan yang dibuat oleh Iran.

“Macamana boleh pejabat CIA, semua kedutaan Amerika, semua tapak luar negara Amerika, semuanya telah diserang dan dimusnahkan, sedangnya hanya menyebabkan empat orang sahaja mati.

“Saya anggarkan hampir 1,000 rakyat Amerika telah mati. Dan mereka tidak boleh disembunyikan sampai bila-bila,” kata beliau.

Menurut beliau, Israel mengetatkan undang-undang, jika ada mana-mana pihak yang menyebarkan gambar apa yang berlaku di Israel dalam perang ini, mereka boleh dedenda.

“Sesiapa yang menyebarkan gambar atau video kerosakan yang berlaku di Tel Aviv boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga lima tahun,” kata beliau.

Oleh itu, tidak ada sesiapa tahu keadaan sebenar di Te Aviv melalui media samada CNN, BBC, Sky TV atau lain-lain media.

Dua sekolah di Tehran hancur dibom AS, Israel

Agensi
DUA pesawat F/A-18 Super Hornet dilancarkan dari dek penerbangan kapal induk USS Abraham Lincoln untuk menyokong serangan Operasi Epic Fury ke atas Iran dari lokasi yang tidak didedahkan 3 Mac 2026. FOTO Tentera Laut AS / Edaran melalui REUTERS
DUA pesawat F/A-18 Super Hornet dilancarkan dari dek penerbangan kapal induk USS Abraham Lincoln untuk menyokong serangan Operasi Epic Fury ke atas Iran dari lokasi yang tidak didedahkan 3 Mac 2026. FOTO Tentera Laut AS / Edaran melalui REUTERS
Tehran: Peluru berpandu yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel mengenai dua sekolah di bandar Parand, barat daya Tehran, menurut agensi berita separa rasmi Iran, Fars.

Agensi itu berkongsi gambar kerosakan dan serpihan di dalam kelas dan melaporkan beberapa unit kediaman berhampiran turut mengalami kerosakan.

Serangan itu berlaku enam hari selepas serangan ke atas sebuah sekolah perempuan di bandar selatan Minab, di mana ratusan murid dan kakitangan terbunuh, ketika AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran yang mencetuskan peperangan di seluruh Timur Tengah.

Pihak berkuasa Iran melaporkan 165 orang termasuk kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun terkorban dalam serangan itu, dan sekurang-kurangnya 95 orang lagi cedera.

Pihak berkuasa Israel dan AS - selepas tersebar gambar kemusnahan berkenaan di media sosial - mendakwa tidak menyedari serangan mengenai sebuah sekolah.

Beberapa sumber Israel mendakwa lokasi itu adalah sebahagian daripada pangkalan Kor Polis Pengawal Revolusi Islam namun analisis oleh unit penyiasatan digital Al-Jazeera mendapati bahawa sekolah itu berasingan daripada tapak tentera bersebelahan sejak 10 tahun lalu.

Siasatan itu juga menunjukkan bahawa corak serangan menimbulkan persoalan asas mengenai ketepatan maklumat risikan yang dijadikan asas kepada serangan berkenaan.

Penganalisis Kanan International Crisis Group, Amjad Iraqi memberitahu Al-Jazeera bahawa Israel menyerang keseluruhan sistem termasuk sekolah, infrastruktur awam dan institusi negara.

"Apa yang kita lihat di Iran sebenarnya adalah kesinambungan dan lanjutan daripada apa yang Israel cuba lakukan dalam dua setengah tahun terakhir di Gaza," katanya.

Lebih 3,600 tempat awam mengalami kerosakan dalam serangan yang dikaitkan dengan AS dan Israel, menurut angka dikeluarkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Iran yang dipetik oleh kerajaan Iran di platform X.

Turut musnah, 3,090 rumah, 528 pusat komersial, 13 fasiliti perubatan dan sembilan pusat agensi itu.
-Hmetro 

Lelaki didakwa cabul dan melakukan persetubuhan luar tabii adik ipar yang juga ibu tunggal

Alias Abd Rani
BATU PAHAT: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini susulan laporan dibuat adik iparnya yang juga ibu tunggal kerana didakwa menjadi mangsa persetubuhan luar tabii serta cabul.

Tertuduh berusia 59 tahun berdepan lima pertuduhan bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh dan Majistret Arun Noval Dass.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada empat anak didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap adik ipar berusia 54 tahun di sebuah rumah dalam daerah ini, pada jam 4 pagi, 31 Januari lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh berhadapan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dibenarkan ikat jamin RM6,000 berserta syarat tambahan.

Berdasarkan laporan dibuat, mangsa kerap diganggu tertuduh dengan cara memasuki rumah melalui pintu belakang setiap jam 12 tengah malam.

Mangsa beberapa kali memberi amaran namun tertuduh tidak mengendahkanya yang kemudian bertindak membuat laporan polis.

Prosiding di kedua-dua mahkamah dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam, Hafizul Kafly.

Terdahulu pihak pendakwa raya tidak menawarkan ikat jamin dengan alasan hubungan keluarga antara tertuduh dengan mangsa terlalu dekat, selain kedudukan rumah dengan tertuduh.

“Ini boleh mendedahkan tertuduh untuk berinteraksi dengan mangsa sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin,” katanya.

Kedua-dua mahkamah membenarkan ikat jamin RM21,000 bagi kesemua pertuduhan, perlu melapor diri di balai polis berhampiran, tidak boleh mengganggu mangsa serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes disebut semula 3 April ini untuk serahan dokumen.

Iran lancar serangan peluru berpandu, dron ke seluruh Teluk

Astro AWANI
Missile attack on industrial zone in Yas Marina, Abu Dhabi, UAE_X @shahsabg
DOHA: Ketegangan di rantau Teluk meningkat apabila Iran melancarkan beberapa gelombang serangan dron dan peluru berpandu sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Negara‑negara Teluk kini berada pada tahap berjaga‑jaga.

Tehran sedia hadapi pencerobohan, AS dan Israel teruskan serangan terhadap Iran
Kuwait, Bahrain serta Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerima tembakan bertubi‑tubi pada lewat Khamis, dengan tentera Kuwait mengesahkan sistem pertahanan udara mereka memintas beberapa projektil di ruang udara negara itu.

Qatar turut melaporkan 14 peluru berpandu balistik dan empat dron dari arah Iran pada awal hari sama.

Iran pada mulanya menyasarkan aset tentera AS di rantau tersebut sebelum meluaskan serangan kepada kemudahan awam selepas Washington dan Tel Aviv melancarkan operasi ketenteraan terhadap negara itu, yang setakat ini menyebabkan lebih 1,230 maut, menurut media rasmi Iran.

Serangan Iran, yang semakin menumpukan kepada infrastruktur tenaga, meragut nyawa enam anggota tentera AS, 11 di Israel, dan tiga di UAE.

Harga minyak dan gas juga melonjak apabila kapal tangki terkandas berhampiran Selat Hormuz, laluan penting yang mengangkut kira‑kira 20 peratus minyak mentah dunia.

Pelaporan dari Doha menyebut bahawa langit Abu Dhabi diterangi tembakan pertahanan udara ketika UAE memintas 131 dron dan sekurang‑kurangnya enam peluru berpandu balistik dalam tempoh 24 jam.

Bahrain pula mengesahkan kilang penapisan minyak utamanya di Sitra terkena serangan, namun kebakaran berjaya dikawal tanpa kecederaan.

Pemimpin negara‑negara Teluk menyifatkan tindakan Iran sebagai pencabulan undang‑undang antarabangsa dan menegaskan hak mereka untuk mempertahankan diri.

Sementara itu, AS menggantung operasi di beberapa kedutaan di rantau berkenaan termasuk di Kuwait City.

Lokman Adam: BN mungkin bertanding 85 kerusi bukan 115

Harapandaily

Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, mengikut persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), kerusi yang sebelum ini dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN) akan ditandingi oleh rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, parti yang akan bertanding ialah parti yang memperoleh jumlah undi kedua tertinggi di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, formula berkenaan jelas, rasional dan berasaskan data malah berdasarkan kajian dalaman terhadap corak pengundian.

Justeru, katanya, potensi realistik BN di bawah persefahaman tersebut adalah BN akan bertanding sekitar 85 kerusi, bukannya 115 kerusi seperti tular dibangkitkan di media sosial.

Mengulas dakwaan tersebut, Lokman menyifatkan ia sebagai naratif palsu yang sengaja dicipta bagi menimbulkan kecurigaan terhadap parti tersebut.

Tegasnya, Majlis Tertinggi BN mahupun Pengerusi BN tidak pernah mengeluarkan kenyataan akan bertanding sejumlah kerusi seperti didakwa.

“Ia hanyalah fiksyen politik yang direka untuk mencetuskan ketegangan dalam Kerajaan Perpaduan.

Musuh-musuh UMNO dan BN memutar-belitkan perkara ini sebagai tanda terdesak.

“Mereka mendakwa BN mahu menghapuskan persepsi bahawa ia hanya pemain kedua di belakang Pakatan Harapan (PH) dengan bertanding lebih banyak kerusi daripada PH.

“Tuduhan itu mungkin kedengaran dramatik, tetapi ia tidak bertahan apabila diteliti. Inilah fakta sebenarnya,” kata Lokman lagi.

4 mengaku tak salah jadi ahli ‘Geng Captain Praba’

FMT Reporters

Empat lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Tiga tertuduh C Navindren, S Sridharan dan S Pratifkumar di Mahkamah Sesyen Sepang pada 28 Jan lalu. Hakim kemudian membenarkan kes itu dipindah ke Mahkamah Tinggi Shah Alam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Empat lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Captain Praba’.

C Navindren, 38; S Sridharan, 30; S Pratifkumar, 30, dan K Devaindran, 44, mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam bahasa Tamil di depan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet.

Empat lelaki itu didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Captain Praba’ di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Mahang 2, Kampung Sungai Jarom, Jenjarom, Kuala Langat pada Disember 2023 hingga 11 Sept 2025.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, memohon empat tertuduh itu dibicarakan bersama 13 tertuduh lain yang didakwa menjadi ahli ‘Geng Captain Praba’.

“Ia memandangkan kes ini membabitkan pertuduhan sama di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan kesalahan asasnya ialah menjadi ahli satu kumpulan jenayah terancang,” katanya menurut Harian Metro.

Media sebelum ini melaporkan polis menumpaskan kumpulan jenayah terancang yang aktif melakukan kekerasan, pembunuhan dan samun dengan menahan 17 suspek dalam Op Jack Sparrow di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang serta Perak pada 11 Sept lalu.

Kumpulan didalangi seorang lelaki tempatan itu turut dikesan merekrut remaja demi mengejar pengaruh kuasa dan keuntungan dengan 80 kes jenayah dilakukan mereka setakat ini.

Sekretariat Musyawarah: AMANAH seru bina ‘Melayu Bermaruah’ bukan politik ketakutan

Harapandaily

AMANAH menyambut baik penubuhan Sekretariat Musyawarah hasil pertemuan lapan parti politik berteraskan Melayu dan Islam di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad berkata, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki itu merupakan satu langkah yang wajar dihargai dalam usaha membuka ruang dialog antara parti-parti politik.

Menurutnya, walaupun terdapat pelbagai pandangan politik, platform tersebut penting untuk mengemukakan agenda membina masyarakat Melayu Bermaruah melalui pendekatan politik nilai.

“Melayu Bermaruah ialah Melayu yang yakin dengan jati diri dan nilai Islam, berintegriti dalam kepimpinan, berani menegakkan kebenaran serta memajukan bangsa melalui ilmu, kecekapan dan tadbir urus yang bersih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khalid berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan masyarakat Melayu maju dengan keyakinan dan tidak mudah diperdaya oleh naratif Melayu terancam yang sering digunakan untuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat.

Dijamin Perlembagaan

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkenaan menambah tidak ada sebab masyarakat hidup dalam politik ketakutan dan kebencian dalam keadaan kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera yang terpelihara serta dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menegaskan bahawa politik seharusnya digerakkan secara positif bagi membina masyarakat dan memimpin ke arah kebaikan bersama, selaras dengan nilai Islam yang rahmah.

“Melayu yang bermaruah tidak dibina dengan politik ketakutan, tetapi dengan keyakinan diri, ilmu dan kematangan berfikir.

“Apabila jiwa Melayu dibina dengan emosi dan ketakutan, mereka mungkin patuh tetapi tidak berfikir, setia tetapi tidak berdaya saing, serta lebih cenderung menyalahkan pihak lain berbanding memperbaiki diri,” katanya.

Sehubungan itu, AMANAH, kata Khalid, melihat ruang dialog seperti musyawarah tersebut sebagai langkah positif untuk memperkukuh persefahaman serta mencari titik persamaan antara parti-parti politik.

“Usaha memperkasakan umat Islam dan masyarakat Bumiputera perlu digerakkan berasaskan nilai, idea, dasar serta penyelesaian yang konstruktif, bukannya melalui sentimen emosi atau pendekatan perkauman sempit yang akhirnya hanya memecah-belahkan masyarakat,” ujarnya.

Dalam masa sama, Khalid turut berharap pertemuan tersebut tidak berakhir setakat itu, sebaliknya diteruskan dan diperluaskan dengan penglibatan lebih banyak parti politik bagi membina budaya politik yang lebih inklusif, matang dan beradab di negara ini.

Dua warga Indonesia ini didakwa lindung, angkut pati

Kumaran Rajamoney

TELUK INTAN: Dua lelaki warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan berasingan melindungi dan mengangkut migran warga Indonesia yang diseludup, bulan lalu.

Mustajab, 44, didakwa melindungi 10 migran warga Indonesia yang diseludup di sebuah kebun kelapa sawit di Sungai Payung, Selekoh, dalam daerah Bagan Datuk, kira-kira jam 6.15 petang pada 13 Februari lalu.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 26H Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Khairul Anwar, 31, pula didakwa sebagai operator sebuah kereta Honda City yang mengangkut empat migran warga Indonesia yang diseludup di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 26J akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Hakim Norhamizah Shaifudin kemudian menetapkan 5 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Wanita didakwa komplot bersama lima lelaki rompak suami RM500,000

MOHD SHARKAWI LONDING
SHAMEEM BEGUM bersama lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!
JOHOR BAHRU – Seorang wanita berketurunan Pakistan dihadapkan ke mahkamah bersama lima lelaki secara berasingan hari ini atas pertuduhan pakatan jenayah melakukan rompakan berkumpulan di tempat letak kereta di belakang sebuah bank di Pasir Gudang, bulan lalu.

Tertuduh, Shameem Begum Abdul Said, 53, mengaku bersalah manakala Muhammat Rashid Ismail, 30, membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama merancang untuk melakukan kesalahan rompakan berkumpulan di tempat letak kereta di belakang sebuah bank di Pusat Perdagangan Pasir Gudang di sini pada pukul 12 tengah hari, 24 Februari lalu.

Pendakwaan itu dikemukan mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan yang boleh dibaca bersama Seksyen 395 kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin warga tempatan bagi setiap tertuduh selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta menetapkan 8 April ini sebagai sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan keputusan hukuman terhadap Shameem Begum.

Di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee pula, tiga tertuduh iaitu Emmirul Azim Samat, 30, Muhammad Syukri Mohamed Yusoff, 32, dan Abdul Rahman Abd Rahim, 32, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan.

Emmirul Azim berdepan dua pertuduhan iaitu menyimpan harta curi berupa wang tunai RM50,000 milik lelaki Pakistan yang juga suami kepada Shameem Begum dan membuat persiapan melakukan rompakan berkumpulan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan dan Seksyen 399 kanun yang sama dengan masing-masing memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Manakala Muhammad Syukri dan Abdul Rahman pula didakwa secara bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan ke atas ahli perniagaan dengan membawa lari wang tunai RM500,000 mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman sama.

Mahkamah menetapkan 14 April sebagai sebutan semula kes dengan membenarkan jaminan sebanyak RM18,000 terhadap Emmirul Azim manakala Muhammad Syukri dan Abdul Rahman pula sebanyak RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin warga tempatan.

Mereka juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sekiranya ada selain perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan serta tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Mohamad Taufiq Mohammad Jamil, 31, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi terhadap pertuduhan menyimpan senjata tiruan sepucuk pistol berwarna silver jenis Pietro Beretta mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di bilik pejabat di Taman Damansara Aliff, Tampoi di sini pada pukul 11.05 pagi, 27 Februari lalu.

Azureen Sahira membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 31 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Semalam, Kosmo! melaprokan, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad mengadakan sidang akhbar berhubung kejayaan pihaknya memberkas lapan individu termasuk seorang wanita yang terlibat dalam rompakan berkumpulan bersenjata ke atas seorang ahli perniagaan Pakistan melibatkan wang tunai RM500,000.-KOSMO! ONLINE

Kanak-kanak cedera terkena tembakan senapang angin jiran

Bernama
Dua laras senapang angin buatan sendiri yang dijumpai susulan penahanan suspek. -- SINAR HARIAN
Polis merampas dua laras senapang angin buatan sendiri berukuran panjang 123 sentimeter (cm) dan 107 cm berserta sembilan biji bebola besi. - Gambar/ Sinar Harian
CHUKAI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun cedera terkena tembakan senapang angin yang dipercayai dilepaskan jirannya di Felda Seberang Tayor dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata kejadian berlaku ketika mangsa sedang bermain bersama abangnya di hadapan rumah mereka pada 3.45 petang.

Beliau berkata mangsa menangis selepas terkena tembakan itu apabila merasa sakit di bahagian belakang sebelah kiri badan.

"Hasil pemeriksaan, ibu mangsa mendapati ada kesan kemerahan di belakang badan anaknya dan menemukan satu biji bebola besi di hadapan rumah mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Razi berkata bapa mangsa berusia 36 tahun yang juga buruh binaan mengesyaki bebola besi itu telah digunakan sebagai peluru senapang angin oleh jiran hadapan rumahnya lalu membuat laporan di Balai Polis Ayer Putih, dekat sini pada 5 petang.

Beliau berkata susulan itu, polis menahan suspek dan hasil soal siasat, dia mengaku telah melepaskan satu das tembakan ke arah rumah jirannya pada jarak 40 meter melalui tingkap rumahnya namun tidak menyangka tembakan itu terkena kanak-kanak terbabit.

“Polis merampas dua laras senapang angin buatan sendiri berukuran panjang 123 sentimeter (cm) dan 107 cm berserta sembilan biji bebola besi.

"Suspek turut mendedahkan senapang angin itu dibeli secara dalam talian tahun lepas manakala satu laras lagi telah direka oleh suspek sendiri. Senjata itu didakwa digunakan bagi menembak burung," katanya.

Mohd Razi berkata hasil saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia positif terhadap morfin dan memiliki 10 rekod lampau berkaitan kes jenayah serta dadah.

Beliau berkata kanak-kanak berkenaan dirawat di Hospital Kemaman manakala suspek kini direman hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

Kes liwat remaja: Lelaki kekal penjara 10 tahun dan 2 sebatan

Bernama

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan terhadap seorang lelaki berumur 31 tahun kerana meliwat seorang remaja pada 2020.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid menolak rayuan C. Logenthiran terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.

Logenthiran yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, M. Kartan, sebelum ini memohon supaya kesnya dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk perbicaraan semula dengan alasan anak guamnya telah membuat pengakuan bersyarat.

Bagaimanapun, dalam penghakiman sebulat suara, Azman berkata rekod mahkamah menunjukkan tiada pengakuan bersyarat dibuat oleh Logenthiran, bekas pekerja kuil, sebelum hukuman dijatuhkan di Mahkamah Sesyen.

Beliau berkata pengakuan bersalah oleh pihak perayu tidak cacat kerana ia dilakukan dengan pengetahuan penuh serta pengakuannya terhadap fakta kes yang selaras dengan pertuduhan.

Azman turut menegaskan bahawa Logenthiran telah diwakili peguam semasa prosiding di Mahkamah Sesyen.

Pada 2024, Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan terhadap Logenthiran selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun di sebuah kuil di daerah Hulu Perak, Perak.

Beliau juga diarahkan menjalani kaunseling semasa berada di penjara dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat menjalani hukuman penjara.

Menurut kertas pertuduhan, kesalahan itu berlaku antara 12.30 tengah malam hingga 2 pagi pada  Februari 2020.

Pada 2025, Mahkamah Tinggi menolak rayuan Logenthiran dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

Hari ini, peguam Kartan memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa Mahkamah Sesyen sepatutnya menghantar kes itu dibicarakan kerana anak guamnya  membuat pengakuan bersyarat melalui rundingan tidak formal dengan pihak pendakwaan.

Beliau berkata anak guamnya adalah individu transgender dan telah menjalani beberapa prosedur untuk menjadi wanita.

Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Johor Johor, berkata pertuduhan telah dibaca dan diterangkan kepada perayu dan beliau mengaku memahami pertuduhan tersebut dan tidak menimbulkan sebarang isu mengenai pengakuan bersalah bersyarat atau rundingan tidak formal itu.

-- BERNAMA

Sejarah tercipta: Parti teras Islam, Melayu, Bumiputera duduk semeja cari titik persefahaman isu kepentingan agama, kaum

Suraya Ali
Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera yang menghimpunkan parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera berlangsung di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini. FOTO FB Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera yang menghimpunkan parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera berlangsung di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini. FOTO FB Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Kuala Lumpur: Parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera hari ini pertama kali duduk semeja berbincang serta mencari titik persefahaman mengenai isu kepentingan agama dan kaum.

Pertemuan sempena Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera itu berlangsung di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Selain UMNO, tujuh lagi parti politik utama terbabit pertemuan itu ialah PAS, PKR, AMANAH, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), BERJASA, KIMMA, dan Parti Ikatan Bangsa (IKATAN).

Pertemuan dianggap bersejarah itu dikongsi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melalui Facebook, hari ini.

"Saya diamanahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mempengerusikan musyawarah kali pertama ini yang dicetuskan beliau untuk menghimpunkan pelbagai parti tidak kira dari blok kerajaan mahupun pembangkang demi maslahah ummah dan Islam.

"Musyawarah ini menjadi wahana penting untuk bertukar pandangan secara terbuka demi mencari titik persefahaman dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama yang membabitkan Islam, Melayu dan Bumiputera di negara ini," katanya.
Peserta Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera yang menghimpunkan parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera berlangsung di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini. FOTO FB Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Peserta Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera yang menghimpunkan parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera berlangsung di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini. FOTO FB Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ahmad Zahid sebelum ini menyatakan hasrat UMNO untuk menyatukan seluruh parti Melayu dan Islam di bawah satu gabungan dikenali 'grand collaboration' atau 'kolaborasi agung', tanpa berhajat untuk menggugat Kerajaan Perpaduan.

Beliau menyatakan hasrat itu ketika membangkitkan satu usul yang dikemukakannya sendiri ketika sesi penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang kemudian dipersetujui perwakilan.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata dalam sistem demokrasi, parti politik boleh berbeza pandangan sama ada berada di blok kerajaan mahupun pembangkang dan ia adalah lumrah dalam politik.

Namun, katanya apabila menyentuh soal kepentingan Islam, kedudukan Melayu serta masa depan Bumiputera, ia seharusnya menjadi titik temu yang menyatukan kita semua melangkaui perbezaan politik kepartian.

"Semua sepakat tadi untuk ditubuhkan Sekretariat Musyawarah Parti-Parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera sebagai platform rundingan.

"Platform rundingan atau wahana itu akan menyediakan ruang untuk perbincangan, perundingan dan dialog terbuka, tulus dan telus secara berterusan dalam isu-isu berkepentingan bersama menyentuh kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera," katanya.

Along disyaki letak kepala babi di depan rumah, kedai

Bernama

SEREMBAN: Polis menerima dua laporan berhubung kejadian meletakkan kepala babi di hadapan sebuah rumah di Kuala Pilah dan sebuah kedai di pekan Tampin, awal pagi tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad berkata kedua-dua mangsa dalam kejadian itu ialah lelaki yang mempunyai pertalian antara satu sama lain.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kedua-dua kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu mempunyai kaitan dan dipercayai bermotifkan masalah peribadi antara mangsa dengan suspek yang disyaki pemberi pinjaman wang tidak berlesen.

“Siasatan mendapati kejadian itu bukan bersifat kebencian terhadap agama oleh mana-mana individu, sebaliknya bertujuan memberi tekanan kepada mangsa supaya melunaskan hutang kepada along.

“Polis juga percaya suspek adalah individu sama yang pernah melakukan perbuatan menyimbah cat di kedai berkenaan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan sehingga boleh membangkitkan pecah keamanan serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Alzafny berkata individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu ketenteraman awam atau menyebarkan maklumat tidak benar berhubung isu berkenaan.

Lapan individu termasuk lelaki OKU lumpuh separuh badan ditahan samun RM500,000

Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my
KETUA Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad (kanan) menunjukkan suspek yang ditangkap pada sidang media mengenai kes samun RM500,000 di IPK Johor. FOTO Najmi Nor’azam
KETUA Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad (kanan) menunjukkan suspek yang ditangkap pada sidang media mengenai kes samun RM500,000 di IPK Johor. FOTO Najmi Nor’azam
Johor Bahru: Lapan warga tempatan termasuk seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang lumpuh separuh badan serta seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kes rompakan membabitkan wang tunai RM500,000.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada 1 tengah hari, 24 Februari lalu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian samun berlaku di kawasan parkir kenderaan berhampiran dengan sebuah bank, di kawasan Pusat Perdagangan Pasir Gudang.

Menurutnya, ia berlaku pada jam 12 tengah hari apabila lelaki warga Pakistan berusia 45 tahun mengeluarkan wang tunai berjumlah RM500,000 daripada sebuah bank dengan ditemani isterinya.

Katanya, ketika sedang menghampiri kenderaan yang diparkir berdekatan, mangsa didatangi dua suspek yang tidak dikenali termasuk salah seorang mengacukan objek menyerupai sepucuk pistol sebelum merampas dan melarikan dua beg berisi wang tunai RM500,000.

"Wang milik warga Pakistan yang juga pembekal pekerja asing itu sepatutnya digunakannya bagi membayar gaji pekerja.

"Polis berjaya membuat tangkapan ke atas tujuh lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 23 sehingga 53 tahun di beberapa lokasi berasingan di Seri Alam dan Tampoi.

"Mereka ditahan dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas kejadian rompakan," katanya di sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek terdiri daripada ahli perniagaan berusia 30 tahun, dua lelaki penganggur berusia 23 dan 32 tahun serta dua lelaki yang bekerja sebagai mekanik berusia 29 dan 31 tahun.

Menurutnya, turut ditahan lelaki berusia 30 tahun yang berniaga makanan, seorang lelaki berusia 31 tahun yang juga ahli perniagaan serta seorang wanita tempatan berketurunan Pakistan berusia 53 tahun yang juga ahli perniagaan.

"Ahli perniagaan berusia 30 tahun dan penganggur berusia 32 tahun dipercayai menjadi dalang utama kejadian.

"Lelaki OKU yang berkerusi roda serta lumpuh separuh badan pula berperanan sebagai penyalur maklumat dalaman kejadian itu.

"Hasil semakan mendapati dua daripada suspek memiliki rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

"Kesemua suspek ditahan reman sehingga 10 Mac depan bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, polis berjaya merampas sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, sebuah Perodua Myvi, dua keping nombor plat kereta kenderaan yang dipalsukan, dua beg berwarna kelabu, sebuah topi, pelitup muka warna hitam dan sepasang sarung tangan warna putih.

Menurutnya, turut dirampas 25 keping resit kemasukan wang, 800 keping wang tunai RM20, 700 keping wang tunai RM10, lapan bungkusan plastik lutsinar mengandungi wang kertas RM50.

Katanya, selain daripada itu, polis berjaya menyita wang tunai sebanyak RM65,830 daripada akaun syarikat milik salah seorang suspek yang sempat mendepositkan wang menerusi mesin bank iaitu selari dengan peruntukan Seksyen 116d Kanun Tatacara Jenayah.

"Jumlah keseluruhan wang tunai yang dirampas adalah sebanyak RM487,350 manakala bakinya sempat dibelanjakan oleh kumpulan suspek bagi tujuan peribadi termasuk untuk penginapan.

"Kertas siasatan dirujuk ke pejabat pengarah pendakwaan Johor dan menerima arahan pertuduhan.

"Enam suspek bakal dituduh esok termasuk di bawah Seksyen 399 Kanun Keseksaan, di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan, Seksyen 120b Kanun Keseksaan serta Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 iaitu memiliki senjata tiruan," katanya.

Beliau berkata, manakala dua suspek akan dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan dengan mengikat bon di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah," katanya.

Bunuh bapa sebelum keluar makan nasi beriyani

Agensi

Chhattisgarh, India: Teguran mengenai tabiat minumnya membawa kepada tragedi apabila seorang lelaki berusia 25 tahun menetak bapanya hingga maut dengan kapak sebelum mencampakkan mayat ke dalam tangki air.

Selepas pembunuhan itu, lelaki berkenaan dengan tenang keluar makan beriyani sebelum pulang ke rumah untuk tidur.

Kejadian ngeri itu berlaku pada malam Isnin di Ambikapur, daerah Surguja, negeri Chhattisgarh, India. Suspek dikenal pasti sebagai Prabhat Kerketta atau Leda dan telah ditahan.

Dalam soal siasat, dia mendakwa pembunuhan itu berlaku "secara tidak sengaja" dalam keadaan marah.

Menurut pihak polis, bapa suspek, Paras Kerketta, 50, tinggal bersendirian di rumahnya di Baherapara, manakala lelaki berusia 25 tahun itu menyewa penginapan berdekatan.

Kira-kira jam 11 malam Isnin, Prabhat pergi ke rumah bapanya dalam keadaan mabuk.

Polis berkata Paras menegur tabiat minum anaknya, yang kemudian mencetuskan pertengkaran.

Dalam keadaan marah, Prabhat mengambil kapak yang berada di dalam rumah dan menetak bapanya beberapa kali di kepala, menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.

Selepas memastikan bapanya meninggal dunia, Prabhat didakwa mengheret mayat itu dan mencampakkannya ke dalam sebuah tangki air kecil berhampiran rumah.

Dia kemudian berjalan ke kedai berdekatan, memesan beriyani, memakannya, sebelum pulang ke rumah untuk tidur.

Jiran yang terdengar pertengkaran itu memaklumkan kepada polis pada Selasa selepas tidak melihat Paras keluar rumah pada waktu pagi.

Sepasukan polis tiba di rumah berkenaan dan menemui mayat mangsa di dalam tangki air. Pasukan forensik turut dipanggil untuk memeriksa lokasi kejadian.

Seorang jiran, Rakesh Pradhan, berkata bapa dan anak itu kerap bertengkar berhubung ketagihan alkohol Prabhat.

Jenayah itu berlaku dalam kawasan pentadbiran Balai Polis Manipur, dan ketua balai, CP Tiwari, berkata: "Tertuduh menyerang bapanya dengan objek tajam sehingga menyebabkan kecederaan parah di kepala. Mayat dibuang ke dalam tangki air. Tertuduh telah ditahan dan siasatan sedang dijalankan," katanya.

Pembunuhan itu berlaku hanya beberapa hari selepas seorang lelaki berusia 21 tahun membunuh bapanya, mengerat mayat dan membuang bahagian badan dalam sebuah dram di Lucknow.

Akshat Pratap Singh juga, secara kebetulan, mendakwa dia membunuh bapanya "secara tidak sengaja".
-Hmetro 

Mayat 2 budak perempuan dalam beg, polis lancar siasatan

KOSMO
Beg pakaian mengandungi mayat kedua-dua mangsa ditemukan di bahagian padang yang jarang dilalui. - WKYC Channel 3
CLEVELAND, OHIO – Siasatan kes pembunuhan dilancarkan selepas mayat dua kanak-kanak perempuan ditemukan disumbat di dalam beg pakaian dan dikebumikan dalam sebuah kubur cetek, lapor akhbar The Sun UK semalam.

Seorang pejalan kaki terkejut menemukan mayat reput itu petang Isnin lalu ketika keluar membawa anjingnya bersiar-siar berhampiran sebuah  taman permainan di Cleveland, negeri Ohio.

“Salah seorang kanak-kanak perempuan itu dipercayai berumur antara 8 hingga 13 tahun, manakala seorang lagi dianggarkan berusia antara 10 hingga 14 tahun,” kata Ketua Polis Cleveland, Dorothy Todd.

Mereka ditemukan di bahagian padang yang jarang dilalui berhampiran Ginn Academy, sebuah sekolah menengah awam khusus untuk lelaki.

Kedua-dua mayat alam keadaan utuh dan tidak dikerat-kerat.

Polis masih berusaha untuk mengenal pasti identiti dua budak perempuan itu, yang dipercayai mangsa pembunuhan.

Polis meminta penduduk tempatan supaya memeriksa rakaman kamera loceng pintu untuk sebarang aktiviti yang mencurigakan, dan melaporkan sebarang maklumat. – AGENSI 

Warga asing buat kelucahan melampau dalam masjid diburu polis

Alias Abd Rani

SEGAMAT: Polis memburu seorang lelaki dipercayai warga asing yang melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap jemaah wanita di sebuah masjid di Bukit Siput, di sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 11.15 pagi ketika mangsa berusia 40 tahun sedang menunaikan solat Dhuha sebelum didatangi lelaki tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, suspek berkelakuan biadap dengan pakaian separuh bogel selain melakukan perbuatan tidak senonoh sambil memandang mangsa.

Beliau berkata, sebaik menyedari kelakuan lelaki itu, mangsa bertindak melarikan diri sambil menjerit.

“Pada jam 6.29 petang semalam, polis menerima aduan daripada seorang wanita mengenai kejadian itu.

“Hasil siasatan menerusi kamera litar tertutup (CCTV), suspek dipercayai warga asing berusia lingkungan 30-an dengan berbadan kurus dan berkulit cerah,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, polis giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan.

“Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke mana-mana balai berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9324222,” katanya.

Rafizi dedah dakwaan peranan PM dalam isu pelaburan RM1 bilion

Malaysiakini 

Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli mendedahkan peranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam isu pelaburan RM1 bilion yang sedang disiasat SPRM.

Rafizi, bekas timbalan Anwar dalam PKR yang kalah dalam pemilihan lalu, berkata Anwar sendiri yang meminta mereka menyusun pertemuan dengan gergasi semikonduktor British, Arm Holdings.

“Yang terbabit mesyuarat dengan CEO (ketua pegawai eksekutif) dan pemilik ARM pun PMX sendiri.

“Yang pengerusikan mesyuarat jemaah menteri berkali-kali bincang dan luluskan perkara ini pun PMX sendiri.

“Yang rasmikan usahasama ini pun PMX sendiri,” katanya di X.

Justeru, katanya, Anwarlah orang pertama yang perlu dicari oleh SPRM jika betul ada penyelewengan.

Rafizi berkata demikian ketika mengulas tindakan SPRM memohon bantuan awam bagi mengesan bekas pegawainya James Chai semalam.

“Hanya kerana plot politik dalam PKR tak menjadi macam yang PMX nak, semua jentera kerajaan digerakkan kejar seorang budak,” sindirnya.

Rafizi juga berkata akan memberi respons lanjut berkaitan “kegilaan” mencipta naratif terhadap Chai “tengah hari sikit”, hari ini.

Chai sendiri semalam meluahkan rasa kecewanya terhadap tindakan SPRM dan “bosan” dengan penggunaan sumber negara bagi tujuan itu.

SPRM menyiasat dakwaan Rafizi mempercepatkan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan Arm Holdings.

Chai adalah seorang daripada beberapa bijak pandai yang dilantik Rafizi bagi membantunya di Kementerian Ekonomi.

Lelaki terbabit merupakan graduan Universiti Oxford dalam bidang undang-undang dan teknologi, selain turut dikenali sebagai seorang penulis.

Menurut Chai, dia ditugaskan oleh Rafizi untuk meneroka peluang kerjasama dengan Arm Holdings kerana pernah bertanggungjawab ke atas Sidang Kemuncak KL20 2024 dan kebanyakan inisiatif berkaitan teknologi kementerian.

Pelakon, suami direman tiga hari kes tipu urusan kurniaan tanah

NOR SHAFAWATI YUP
PELAKON drama wanita dan suaminya yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan urusan penjualan tanah lot kurniaan dengan kerugian RM1.5 juta direman tiga hari bagi membantu siasatan. Foto oleh NOR SHAFAWATI YUP / KOSMO!
SEREMBAN – Seorang pelakon drama wanita dan suaminya yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan urusan penjualan tanah lot kurniaan dengan kerugian RM1.5 juta berjaya ditahan semalam selepas bersembunyi di sebuah madrasah tahfiz di Hulu Langat, Selangor.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, susulan tangkapan itu, suspek pelakon dan suaminya yang berusia 30 hingga 40 tahun itu telah direman tiga hari bagi membantu siasatan.

“Perintah reman terhadap suspek pelakon berusia 35 tahun dan suaminya, 41 tahun itu telah dikeluarkan oleh Majistret Nurul Azuin Mohd. Talhah di Mahkamah Majistret Khas Trafik di sini hari ini.

“Reman terhadap kedua-dua suspek bermula hari ini hingga 5 Mac depan dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, pelakon itu dan suaminya yang memakai pakaian lokap warna ungu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9.15 pagi diiringi anggota polis.

“Nanti tulis apa yang betul ya, tak sahih cerita jangan tulis. Terima kasih,” pesannya kepada wartawan yang hadir membuat liputan di Kompleks Mahkamah Seremban di sini hari ini.

Kelmarin Kosmo! melaporkan polis telah menerima satu laporan berhubung kes penipuan dengan kerugian RM1.5 juta dipercayai melibatkan seorang pelakon wanita bersama suaminya.

Laporan dibuat seorang lelaki yang juga ahli perniagaan berusia 56 tahun pada 7 Januari lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban. – KOSMO! ONLINE