"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahli PAS biadab?

LANJUSOH
AHLI PAS biadab terhadap Harakah,” tiba-tiba terpancul keluar dari mulut pensyarah kanan pengajian media Universiti Malaya. Siapa tidak kenal Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah. Kata seorang rakan, mulutnya begitu laser sekali. 

“Tengoklah dalam program di bawah kendaliannya di televisyen. Dia cakap tidak berhenti, laju dan banyak hujah,” ujar seorang rakan pada program pemukiman Harakah di sebuah hotel di Ampang, Selangor baru-baru ini.

Sebelum itu pun pensyarah yang bercermin mata tebal terbabit mahu menempeleng pengarang Harakah kerana bikin akhbar dengan cara kurang cocok.

Ahli akademik kelahiran Ketereh, Kota Bharu pernah acap kali diundang kerajaan Kelantan. Pernah pada satu wacana di Balai Islam, cakapnya sehingga diboo orang ramai.

Penampilan pertamanya ketika itu dengan bahasa diri sebagai seorang ahli akademik kurang disenangi khalayak. 

Di mana-mana pentas wacana dan forum, penonton mahu kepastian hujah panelis mirip ke arah mana. PAS atau Umno. Hijau atau biru. Bagi mereka tidak ada istilah atas pagar.

Mungkin kerana istilah itulah penonton tidak senang dengan hujah Dr Abu. Berdepan dengan khalayak yang berbagai tidak semudah berforum di bilik kuliah.

Dan penampilan kedua Dr Abu pada pidato perdana Tengku Razaleigh Hamzah di Stadium Sultan Mohammad ke-IV awal tahun 2010, seolah-olah menjawab siapa sebenar pensyarah terbabit.

Kemudian ditambah pula dengan penampilan dalam media elektronik. Beliau mengkritik pedas karyawan filem, penyanyi atau pelakon yang berlagak sombong.

Inilah keunikan yang ada pada Dr Abu. Pada cuti Hari Krimas lalu karyawan Harakah dari seluruh negara dipertemukan dengannya. 

Tampil dengan cermin mata berbingkai tebal dan kain selendang berbalut di tengkok, Dr Abu tidak kekok menghentam lagi Harakah. 

Istilah yang digunakan agak tuntas dan menghiris jiwa. Namun luka yang tanpa darah itu ada ubat dibekalkan. Baginya mengapa Harakah tidak melakukan sesuatu memandangkan ahli PAS melebihi 1 juta orang.

”Wah.. ahli PAS begitu ramai, mengapa mereka tidak membaca Harakah. Sepatutnya Harakah sudah boleh diedarkan satu juta setiap keluaran,” kata Dr Abu.

Barisan editor Harakah yang dikepalai Ketua Pengarang Kumpulan, Ahmad Lutfi Othman tersenyum lebar. Biar pun datang bertongkat dengan bertemankan anak beliau tetap mengagahi juga datang ke pertemuan tersebut.

Jalannya cukup perlahan, macam perempuan baru lepas bersalin. Dr Abu mengimbau kejayaan Adabi Gaya Pos yang menjadi kegilaan ramai pelajar suatu ketika dahulu.

Beliau juga mendedahkan hasil kajian ZETRUM di bawah kendaliannya golongan jurutera paling ramai membaca Harakah, kemudian diikuti doktor dan usahawan.

”Paling rendah mengamalkan tabiat memabaca ialah pensyarah dan guru. Dapatan kajian kami golongan itu hanya 0.3 peratus yang gemar membaca buku,” rungut Dr Abu.

Pemukiman karyawan Harakah pernah diadakan di Port Dickson menjelang pilihan raya umum 2008. Dua hari satu malam berbengkel dan berdialog.

Hasilnya BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga pada 8 Mac 2008.
Mungkinkah tendensi yang sama boleh berulang, selepas karyawan Harakah sekali lagi bermukim bagi mencerna idea dan muhasabah menjelang PRU-13. 

Pakar undang-undang perlembagaan dari UIAM, Prof Dr Abdul Aziz Bari tidak menolak kemungkinan itu. Pakatan Rakyat boleh melangkah ke Putrajaya sekiranya bekerja dalam satu pasukan.

Baginya jangan ada lagi suara sumbang yang ada niat mencederakan Pakatan dari dalam. 

”Kita mesti positif ke arah itu,” ujarnya sambil menolak hujah seorang karyawan kemungkinan retorik dalam pelan tersebut.

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan pula melahirkan rasa hairan mengapa ramai bangkit membantah ketika kerajaan BN mahu mengharamkan Harakah.

Sedangkan katanya, mereka tidak membantu meningkatkan jualan Harakah bagi mengelakkan circulation menurun seperti menimpa akhbar harian.

”Sekarang semua akhbar alternatif merosot. Mungkin cara terbaik untuk keluar dari masalah itu kita mesti banyak ketengahkan isu rakyat,” ujarnya ketika diundang pada forum di retreat Harakah bersama Dr Abdul Aziz.

News Editor Astro Awani, Noor Azam Shairi melihat Harakah perlu mengenengahkan analisis, follow-up dan komentar selepas sesuatu event besar berlangsung.

Kata beliau pembaca sudah membaca laporan mengenai program dalam akhbar harian, dan berita itu tidak perlu diulang semula Harakah yang diterbit beberapa hari kemudian.

”Analisis, komentar terhadap Program 100 Hari yang dicetus di Konvensyen Pakatan Rakyat.. itu lebih menarik minat pembaca,” katanya ketika berkongsi pengalaman dengan karyawan Harakah.

Pengarang Harakah, Taufek Yahya cuba menjelaskan Harakah sebagai pencatat sejarah, tentunya sukar untuk tidak mengulangi dengan memapar semula apa yang berlaku dalam konvensyen.

Bagi Noor Azam, bekas wartawan kanan Utusan Malaysia cerita rakyat lebih penting dan ingin diketahui pembaca. Hujahnya seperti mengulangi apa yang disebut Arutchelvan. 

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyimpulkan karyawan Harakah perlu ada ilmu dan public relation (PR) untuk memudahkan mengutip berita dari pemimpin dan rakyat.

”Karyawan kita perlu ada research dalam isu-isu tertentu dan bukan laporan secara mendatar sahaja,” katanya ketika merasmikan retreat tersebut. 

Tiada ulasan: