Hadi dakwa jawapan Memali Dr M punca kekecohan
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata mereka yang menunding jari menyalahkan pihak lain berhubung kekecohan pada forum Nothing to Hide 2.0 Ahad lalu, lupa bahawa punca asas adalah jawapan yang tidak memuaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kejadian Memali.
Beliau berkata PAS adalah mangsa kejadian yang menyaksikan parti Islam itu kehilangan beberapa pemimpin dan ahlinya, termasuk Ibrahim Mahmud.
“Terima kasih diucapkan kepada mereka yang meminta penjelasan berkenaan peristiwa Memali.
“Kepada yang tidak mampu menjawab sepatutnya tidak marah dan orang lain tidak membuat kekecohan. Anak-anak muda sahaja tidak sepatutnya dipersalahkan, sepatutnya juga dipersalahkan yang menjadi penyebabnya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Konfrontasi Memali di Baling, Kedah tercetus pada bulan November 1985 ketika polis mengepung penduduk kampung bersama kira-kira 400 pengikutnya.
Dalam pertembungan itu, 14 penduduk kampung dan empat anggota polis terbunuh. Ibrahim, yang juga dikenali sebagai Ibrahim Libya, juga terbunuh dalam serangan berkenaan.
Forum Nothing to Hide 2.0, Ahad lalu menyaksikan suar dinyalakan serta kerusi dan kasut dilemparkan ke arah Dr Mahathir ketika bekas perdana menteri itu menjawab pertanyaan mengenai peristiwa Memali.
Pembangkang kemudian menuding jari ke arah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno. Namun parti Melayu itu mendakwa ketidakpuasan hati dalam gabungan parti pembangkang terhadap Dr Mahathir sebagai punca kejadian.
Susulan kejadian itu, polis menahan tiga orang pemuda.
Mengulas lanjut, Hadi berkata selepas kejadian Memali, PAS mengisytiharkan mereka yang terbunuh sebagai mati syahid kerana mempertahankan Islam.
“Ketika itu Ustaz Ibrahim Mahmud dan rakan-rakannya dipersalahkan, bukan pula dipersalahkan orang yang selalu menghina Islam dan hukumnya yang sangat dimarahi oleh Ustaz Ibrahim dan rakan-rakan.
“Ramai kakitangan kerajaan, polis dan Umno tidak bersetuju dengan pendekatan yang dilakukan sehingga mengorbankan polis yang dipaksa dan Ustaz Ibrahim dan rakan-rakannya yang diserang. Kita mengharapkan yang dipaksa juga mendapat syahid, inilah hukum Islam,” katanya.
Dalam rujukan yang jelas kepada Dr Mahathir, presiden PAS berkata mereka yang “melempar batu menyembunyikan tangan" ketika bercakap tentang kejadian Memali.
“Tiada guna mengungkit cerita lama sejarah hitam itu tanpa bertaubat dan meminta maaf sekiranya bersalah, dan tanpa membetulkan keadaan dengan membayar yang perlu dibayar dan mengganti yang perlu diganti,” katanya.
-malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan