"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bukti terkini Pas terima duit BN?

KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN

Mujahid (kanan) dan Hasnul Zulkarnain menunjukkan bukti bergambar berupa cek kerajaan negeri didakwa diberikan bakal calon BN Parlimen Parit Buntar kepada anggota Pas untuk pembinaan Pasti.jpg
PARIT BUNTAR - Harapan Parlimen Parit Buntar mendedahkan satu bukti bergambar berupa sekeping cek bernilai RM25,000, didakwa disalurkan bakal calon BN Parlimen itu kepada orang Pas yang menjadi tular dalam media sosial sejak awal pagi tadi.

Calon Harapan Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, berdasarkan pendedahan akaun Facebook 'Ana Tahu', terdapat gambar didakwa sekeping cek di bawah Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri(SSI) ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan bertarikh bulan Februari lalu.

Menurutnya, cek itu difahamkan disalurkan kepada seorang individu yang merupakan seorang pengerusi sebuah Pasti (Pusat Asuhan Tunas Islam) milik Pas di sini bagi tujuan pembangunan sekolah itu dan disertakan bersama sepucuk surat permohonan.

Isu bukti bergambar pemberian cek RM25,000 oleh bakal calon BN Parlimen Parit Buntar kepada individu dikenali pengerusi Pasti yang dikelola Pas kini tular dalam laman Facebook.
Advertisement

"Kami tidak tahu siapa anggota Pas menerima sumbangan itu, sebab dalam bukti gambar yang kini tular itu namanya dihitamkan.

"Tetapi yang jelas, cek itu tertulis nama SSI, ditandatangani Abdul Puhat sendiri dan diberikan atas nama individu iaitu pengerusi Pasti tersebut.

"Soalan saya, bukankah tindakan Abdul Puhat yang dikatakan bakal calon BN dilihat sebagai cubaan untuk membeli undi orang Pas dan menyalahgunakan kedudukannya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri?" katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Turut hadir Calon Harapan Dun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Muniam.

Mujahid berkata, dakwaan penyalahgunaan kuasa Abdul Puhat dikemukakan pihaknya atas tindakan beliau menggunakan cek kerajaan negeri bagi memberi sejumlah wang pada penama individu, bukan atas nama organisasi atau NGO.

Malahan, merujuk kepada jumlah amaun wang ditulis dalam cek itu, Mujahid menegaskan Abdul Puhat tidak boleh meletakkan jumlah amaun bebas pada setiap cek kerajaan negeri kosong yang ditulis.


"Jika merujuk prosedur syarikat Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang, terdapat standard of prosedur(SOP) bagi jumlah amaun wang dibenarkan untuk ditulis pada setiap cek kosong oleh Ketua Menteri sendiri.

"Persoalan kami, adakah pemberian cek RM25,000 mengikut SOP jumlah maksimum amaun wang dibenarkan? Bukankah tindakan mengeluarkan cek kerajaan negeri atas nama individu menyalahi bidang kuasa Setiausa Kerajaan Negeri?" katanya.

Mujahid berkata, sehingga kini, Abdul Puhat dilihat menggunakan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi tujuan berkempen untuk menjadi calon BN dan sekiranya bukti bergambar itu benar, amat malang bagi rakyat Parit Buntar dapat calon sebegini.

"Kami tidak teragak-agak mengemukakan bukti bergambar ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) kerana tindakan Abdul Puhat dianggap sebagai rasuah dengan menyalahgunakan kuasa bagi membeli undi orang Pas.

"Kami merujuk pemimpin Pasti terbabit sebagai orang Pas kerana pengurusan sekolah itu sememangnya diterajui ahli parti itu sendiri,"katanya.

Mujahid berkata, sekiranya Abdul Puhat seorang 'gentleman' dan ingin bertanding sebagai calon pilihanraya, dia wajar letak jawatan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri lebih awal dan berdepan calon parti lain secara adil.

"Akan tetapi jangan berdepan kami dengan menggunakan kedudukan sebagai pegawai tertinggi kerajaan dan berkemungkinan menyalahgunakan cek kerajaan negeri bagi membeli undi.

"Berikutan pendedahan dibuat, kami mendesak penjelasan segera daripada Abdul Puhat dan pemimpin Pas kawasan Parit Buntar terhadap isu ditimbulkan untuk dinilai rakyat,"katanya.

Sementara itu, Abdul Puhat sewaktu dihubungi Sinar Harian mengakui ada menyerahkan cek sebagaimana didakwa kepada wakil pengurusan sekolah Pasti tersebut bagi tujuan pembangunannya.

Menurutnya, pihak pengurusan sekolah berkenaan ada mengadakan pertemuan dengannya bagi memohon bantuan dana pembangunan sekolah pada awal tahun ini.

"Susulan itu, pihak saya meluluskan permohonan pihak sekolah dan kemudiannya menyerahkan cek di bawah SSI atas nama individu.

"Faktor utama cek itu ditulis atas nama individu disebabkan akaun tabung pembangunan sekolah terbabit tidak dapat digunakan.

"Lagipun penyerahan cek tersebut dilaksanakan berserta dengan surat permohonan dana diluluskan kerajaan negeri. Jadi, sebenarnya tidak timbul isu saya salah guna kuasa memberi dana kerajaan negeri kepada individu tertentu,"katanya.

Tiada ulasan: