"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Presiden Pas didakwa menipu isu pindaan perlembagan Pas

MALAYSIA DATELINE 

Hadi mendakwa perlembagaan Pas cuba dipinda untuk memudahkan kerjasama Pas dengan DAP.

Presiden Pas, Datuk Seri Abndul Hadi Awang dikecam dan didakwa berbohong apabila mendakwa pemimpin AMANAH sekarang adalah kumpulan yang mahu meminda perlembagaan Pas untuk mengurangkan peranan Majlis Syura Ulamak bagi membolehkan Pas bekerjasama dengan DAP ketika berada dalam Pas dahulu.

Bekas Pengerusi Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Pemuda Pas Pusat (Juham), Nor Azmir Zakaria berkata, adakah seorang ulamak yang kerap menipu dan memfitnah masih boleh dianggap ulamak?

“Ana tak tahu. Ana bukan ulamak. Tapi ana dah move on. Tak sanggup ana. Nanti Tuhan tanya, kenapa anta masih ikut manusia yang menipu dan memfitnah?” kata Azmir dalam tulisan di facebook beliau mengulas laporan media mengenai kenyataan Hadi itu.

Dalam laporan Sinar Harian itu, Hadi berkata, bekas pemimpin Pas yang kini menubuhkan Amanah cuba membawa usul meminda perlembagaan Pas, bagi mengurangkan peranan Majlis Syura Ulamak sebagai badan tertinggi parti kepada badan penasihat.

Menurutnya, cadangan itu cuba dijadikan usul dalam Muktamar 2015 dan mendapat bantahan akar umbi termasuk ditolak dalam mesyuarat Pusat kerana ia bercanggah dengan perlembagaan Pas.

“Sebab itu kita tolak kerjasama dengan Amanah. Ini pertama kali saya dedahkan, dia nak ubah perlembagaan parti, sedangkan Majlis Syura Ulamak adalah badan teratas untuk buat keputusan muktamad. Ini menyebabkan ahli Pas menolak, dan selepas ditolak, dia tubuh parti baharu,” katanya, pada sidang media, selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pas kawasan Pokok Sena ke 41, di Kompleks Pas Pokok Sena, semalam, lapor Sinar.

Hadi juga berkata, “Mana boleh kurangkan kuasa yang diberikan kepada Majlis Syura, ia adalah hukum tertinggi dalam perlembagaan Pas, yang kita rujuk kepada al-Quran, hadis termasuk golongan ulama. Asas perlembagaan itu jelas bercanggah.”


AZMIR mendakwa Hadi menipu.

Menurut Azmir, jawatankuasa untuk mengkaji dan perkasa perlembagaan ini hanya 4-5 orang sahaja anggotanya.

“Ada yang background ustaz, dan ada yang istiqamah masih kekal dalam Pas hingga kini,” katanya.

Yang menganggotai jawatankuasa pindaan perlembagaan tu bukan Luham (Lajnah Undang-undang & Hak Asasi Manusia).

Luham tak ada kena mengena langsung, kata Azmir, seorang peguam muda.

Katanya, jawatankuasa ini berkampung tiap-tiap hujung minggu dan juga ada masanya waktu kerja.

“Arahan pula datangnya direct dari Jawatankuasa Pas Pusat. Manakala presidennya pula masa itu yang pasti bukanlah Lim Kit Siang.

“Ana tak tahulah pula kalau arahan Pas Pusat tu melalui Lim Kit Siang,” katanya.

Beliau juga menyindir dengan berkata, “ana tak tahu pula Presiden Pas ketika itu ada arahkan kami untuk ‘meminda perlembagaan parti itu bagi memudahkan kerjasama dengan parti lain khususnya DAP’ seperti yang disebut dalam Sinar Harian tu.”

Seorang anggota jawatankuasa ini, Dr Zulqarnain Luqman pula berkata, tujuan cadangan pindaan perlembagaan itu dibuat adalah “untuk jelaskan kedudukan Majlis Syura supaya tidak bertindih dengan Jawatankuasa Pusat.”

“Tuduhan untuk kurangkan kuasa Majlis Syura itu bohong,” kata beliau.

Sebelum ini, bekas AJK Pas Pusat, Khalid Samad telah menerangkan panjang lebar perkara ini dalam satu tulisan beliau di sini.

Katanya, di antara perkara yang ingin dipinda adalah tempoh pemilihan pimpinan yang ingin dilanjutkan kepada setiap 3 tahun dan bukan setiap 2 tahun seperti sekarang. Ini terdapat dalam fasal 25 (2), katanya.

Begitu juga jumlah AJK PAS Pusat yang dipilih ingin ditambah dari 18 ke 24 orang. Jumlah AJK PAS Pusat yang dilantik turut ingin ditambah dari 6 ke 8 orang.

Ini bermakna jumlah AJK PAS Pusat keseluruhannya ditambah dari 24 ke 32 orang. Ini terdapat dalam fasal 25 (5), kata beliau.

Selain dari itu, katanya, turut ditimbulkan untuk dipinda adalah keanggotaan Ahli Majlis Syura Ulama (Fasal 8).

“Perkara yang ingin dilakukan adalah untuk menentukan mereka yang dilantik oleh AJK PAS Pusat bukan terdiri dari AJK PAS Pusat itu sendiri.

“Begitu juga yang dilantik oleh Dewan Ulama Pusat semestinya selain dari anggota Dewan Harian Dewan Ulama Pusat.

“Ini bertujuan untuk mengelak dari berlakunya pertindihan dan ‘conflict of interest’ atau pertembungan kepentingan.

“Maka kesemuanya merupakan perkara biasa, tiada perubahan dasar, sepertimana boleh dibaca di dalam lampiran yang disertakan,” katanya.

Tiada ulasan: