MALAYSIA DATELINE
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin mengesahkan seramai 32,000 buruh asing yang sudah lengkap divaksin akan dibawa masuk ke Malaysia sebagai pekerja dan penuai di ladang-ladang kelapa sawit di seluruh negara pada pertengahan bulan ini.
Menurut beliau perkara itu telah diluluskan oleh Kabinet dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.
“Perkara ini perlu disegerakan bagi meningkatkan eksport negara. Kita masih mengharapkan penggunaan buruh asing memandangkan rakyat tempatan belum berkemahiran untuk menjadi penuai dan pekerja ladang.
“Satu masa nanti diharap negara akan mempunyai kemahiran tenaga kerja tempatan, seiring dengan industri yang lebih berteknologi tinggi,” katanya selepas melawat Galeri Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara (LKTN) Kelantan semalam.
Zuraida dalam pada itu menambah, kerajaan mengalu-alukan inisiatif syarikat-syarikat perladangan menanggung sendiri proses kemasukan buruh asing, sekali gus mempercepatkan usaha tersebut.
“Pekerja asing baru dibawa masuk ini akan diletak di ladang-ladang kepa sawit yang dikenal pasti dan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum memulakan pekerjaan masing-masing,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan