FMT Reporters
PETALING JAYA: Pertubuhan haram yang turut dianggotai pegawai dan anggota polis disyaki terlibat dalam aktiviti pinjaman wang tidak berlesen dan menarik kenderaan secara haram, kata Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa.
Katanya, pertubuhan haram dikenali Ayahanda Harimau Kumbang (AHK) yang dilumpuhkan pada Jumaat itu aktif di sekitar Dungun dengan mula merekrut keahlian pegawai dan anggota polis, sejak 2021.
Beliau berkata, siasatan awal mengesyaki ahli AHK termasuk pegawai dan anggota polis terlibat dalam aktiviti pemerasan sewaktu memungut hutang dan menarik kenderaan mangsa.
“Kumpulan AHK ini aktif di sekitar Dungun dan dipercayai mula merekrut keahlian dalam kalangan anggota dan pegawai polis di IPD Dungun pada 2021.
“Pertubuhan AHK turut dipercayai melindungi anggota-anggotanya,” katanya menurut Kosmo.
Rohaimi berkata, anggota AHK yang merupakan serpihan pertubuhan berdaftar, Selendang Merah boleh dikenali menerusi pemakaian baju-T dan pelekat kenderaan berlogo kumpulan terbabit.
Katanya, setakat ini, kesemua 10 anggota berpangkat rendah yang diberkas dikenakan tindakan tahan tugas.
Sebelum ini, 14 pegawai dan anggota polis Terengganu dilaporkan terlibat dalam pertubuhan kongsi gelap susulan operasi khas dilakukan Bukit Aman, di sekitar Dungun, pada Jumaat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan