LUBANG untuk menanam mangsa bunuh yang ditemui di sekitar rumah suspek. FOTO Agensi
Jakarta: Kematian tiga sekeluarga akibat diracun di Kota Bekasi, dekat sini membongkarkan kejadian pembunuhan bersiri membabitkan sembilan individu yang ada di antaranya mempunyai pertalian persaudaraan dengan tiga suspek utama kes berkenaan.
Perbuatan kejam itu didalangi ahli keluarga termasuk suami mangsa sendiri dan kejadian berlaku sejak 2020.
Tragedi berkenaan yang berlaku di Cianjur dan Bekasi, Jawa Barat itu dilakukan Wowon Erawan atau Aki dengan dibantu adiknya, Muhammad Dede Solehudin serta Solihin atau Duloh.
Suspek membunuh semua mangsa kerana mahu membolot harta mereka serta sebagai menutup perbuatan jahat dilakukan suspek.
Lima individu dikenali sebagai Noneng, Wiwin, Bayu, Farida dan Halimah dibunuh di Cianjur.
(DARI kiri) Solihihn, Wowon dan Dede yang juga suspek utama pembunuhan bersiri membabitkan sembilan individu termasuk ahli keluarga sendiri. FOTO
Seorang lagi mangsa dari Garut bernama Siti terbunuh selepas ditolak ke laut ketika dalam perjalanan dari Surabaya menuju Mataram, Lombok.
Terbaharu, tiga mangsa yang diracun di Bekasi adalah Ai Maimunah, Ridwan Abdul Muiz dan Muhammad Riswandi.
Ketua Perhubungan Awam Polis Daerah Metro Jaya, Trunoyudo Wisnu Andiko mengesahkan, siasatan lanjut mendapati kebanyakan mangsa adalah ahli keluarga suspek, Wowon dan Dede dengan tiga daripada mangsa adalah isteri Wowon.
Katanya, mereka yang lain ialah mangsa penipuan yang sengaja dibunuh selepas suspek mendapat harta mereka.
"Suspek bernama Wowon mempunyai enam isteri dan dia membunuh tiga daripadanya.
"Wiwin, isteri pertama Wowon mati dibunuh dan jasadnya ditanam dalam sebuah lubang berdekatan rumah suspek manakala Halimah, isteri kelimanya, dibunuh rakan suspek, Duloh tanpa pengetahuan Wowon sebelum dikebumikan di tanah perkuburan awam di Cianjur.
"Selain itu, isteri keenam Wowon, iaitu Ai Maimunah yang juga anak Halimah dinikahi suspek selepas ibunya meninggal dunia, turut diracun di Bekasi," katanya seperti dilapor Kompas.com.
LOKASI mangsa bunuh ditanam. FOTO Agensi
Katanya, dua lagi mangsa iaitu Siti dan Farida yang ditemukan dalam lubang di rumah suspek di Cianjur ditipu Wowon yang menjanjikan pulangan wang berlipat ganda menggunakan kuasa ilmu hitam.
"Mereka dibunuh kerana menagih kekayaan dijanjikan Wowon.
"Siti ditolak oleh Noneng, mentua Wowon atas arahan suspek dari atas kapal dalam perjalanan ke Mataram selepas Wowon memintanya mengambil wang itu di sana bersama mentuanya.
"Noneng juga dibunuh pada 2020 di Cianjur dengan jasadnya ditemukan dalam satu lubang sama dengan Wiwin," katanya.
Beliau berkata, perbuatan keji suspek terbongkar selepas polis menyiasat kematian sebuah keluarga yang di sebuah rumah di Ciketing Udik, Bantargebang, Kota Bekasi.
"Mangsa di Bekasi diracun kerana mengetahui pembunuhan bersiri yang pernah dilakukan Wowon bersama adiknya, Dede dan Duloh di Cianjur dan Garut," katanya.
PIHAK berkuasa mengangkat beg mengandungi rangka manusia dipercayai dibunuh. FOTO Agensi
Katanya, polis masih menyiasat sama ada wujud lagi pembunuhan lain serta semua suspek ditahan di bawah akta pembunuhan bersiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan