"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Rasuah dibalut dengan agama': Budaya derma sudah jadi 'darah daging' ahli PAS, kata Razman

Malaysiakini

Ketika PAS diserang dengan isu pemberian wang tunai sewaktu pilihan raya umum ke-15, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria mempertahankan parti itu dengan berkata budaya derma telah menjadi “darah daging” dan sebati dalam perjuangan anggotanya.

Razman juga membalas serangan tersebut dengan menyindir ia hanya dilihat salah oleh "mereka yang biasa bergelumang dengan rasuah".

“Suka saya tegaskan bahawa budaya derma telah menjadi darah daging dan sebati dalam perjuangan ahli PAS.

“Mungkin mereka yang biasa bergelumang dengan rasuah melihat setiap pemberian itu bermaksud kepentingan diri.

“Bagi PAS dan ahlinya, setiap sumbangan derma bermatlamat akhirat dan rasuah adalah sesuatu yang keji di dalam Islam,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Dia juga berkata budaya derma telah menjadi antara amalan parti itu, antaranya dalam usaha untuk membangunkan kompleks PAS Perak serta pembelian pacuan empat roda untuk kegunaan Jabatan Amal PAS menerusi kutipan derma.

Pada 21 Jan, Abdul Hadi mempertahankan pengagihan wang tunai oleh PAS kepada pengundi semasa PRU15, dengan mendakwa ia adalah sedekah dan tidak melanggar peraturan pilihan raya.

Ia selepas Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 baru-baru ini bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Marang, dan Kemaman, pada 3 Jan lepas.

Dua hari lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membidas Hadi dengan menyifatkan kenyataan yang dibuatnya sebagai hipokrit.

"Kalau dia buat (dipanggil) sedekah, kalau kita (buat) dipanggil rasuah," kata Zahid.

Mengulas perkara itu, Razman membangkitkan Zahid yang sebenarnya sedang menghadapi kes rasuah di mahkamah.

“Umno giat menyerang PAS kononnya memberi rasuah pilihan raya. Paling menarik kenyataan itu dibuat presiden Umno yang sedang menghadapi dakwaan kes rasuah di mahkamah.

“Menyamakan PAS yang menghidupkan budaya infaq atau sedekah dengan rasuah yang sedang dihadapi oleh pemimpin Umno itu menunjukkan kecelaruan yang membahayakan negara.

“Apatah lagi yang ditegaskan oleh Presiden PAS (Abdul Hadi Awang) ialah derma dan sedekah orang awam sekalipun di musim pilihan raya,” katanya lagi.

Tiada ulasan: