"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jam Kiamat bergerak lebih cepat

KOSMO!
CHICAGO – Jam Hari Kiamat yang merupakan simbolik kepada waktu kemusnahan sejagat diberikan penetapan baharu bagi mengisytiharkan bahawa umat manusia semakin hampir kepada malapetaka, lapor portal berita Perbadanan Penyiaran British (BBC).

Alat simbolik itu menetapkan Hari Kiamat berada dalam tempoh 90 saat sehingga tengah malam sekali gus menandakan betapa hampirnya Bumi untuk mengalami kemusnahan kerana perbuatan manusia.

Menurut portal berita Bulletin of the Atomic Scientists, jam itu bergerak lebih dekat kerana sebahagian besarnya disebabkan perang di Ukraine.

Idea menghasilkan Jam Kiamat bermula pada tahun 1947 untuk memberi amaran kepada manusia tentang bahaya perang nuklear dan ia digerakkan menghampiri atau lebih jauh sikit dari tengah malam, berdasarkan pembacaan saintis tentang ancaman kewujudan pada masa tertentu.

Tengah malam menandakan titik teori pemusnahan sejagat, manakala pada 2022, ia menetapkan jangkaan pada 100 saat hingga tengah malam sebelum malapetaka besar akan berlaku.

Jam itu pernah menetapkan Bumi dijangka berada 17 minit sebelum ‘Hari Kaimat’ berlaku pada 1991 iaitu tahun ketika Perang Teluk berlaku antara 1990 hingga 1991 yang dicetuskan akibat tindakan Iraq menawan Kuwait.

Tindakan itu mendorong gabungan tentera 35 buah negara diketuai Amerika Syarikat (AS) bagi menangani penaklukan tersebut.

Sebelum penetapan semula itu dilakukan, terdapat amaran tentang penggunaan senjata nuklear dalam perang antara Russia dan Ukraine dan masalah biosekuriti.

Ahli panel buletin itu,Dr. Steve Fetter yang juga Dekan Sekolah Siswazah dan Profesor Dasar Awam, University of Maryland, berkata: “Risiko malapetaka nuklear lebih tinggi hari ini (semalam) berbanding tahun lepas.”

Jam itu kini terletak di pejabat buletin tersebut di lobi Pusat Keller, Universiti Chicago Harris, AS. – Agensi

Tiada ulasan: