Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
ANTARA penjaja warga asing yang mengambil kesempatan berniaga sayur-sayuran di kaki lima berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
Kuala Lumpur: "Kami di bawah kerja teruk tetapi hari-hari dihentam sedangkan orang atasan lepas tangan, kami semua dah penat."
Demikian kata pegawai penguat kuasa sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mahu dikenali sebagai Azad meluahkan perasaan selepas sering dipersalahkan dalam isu lambakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang seolah-olah 'kebal'.
Menurutnya, orang ramai tidak faham kerja mereka yang tiada kuasa untuk menangkap mana-mana pemegang kad UNHCR yang menjalankan perniagaan di pasar borong.
"Tapi kami tuduh tak buat kerja, makan gaji buta dan sebagainya.
"Orang atasan hidup senang-lenang kami yang bekerja keras di bawah ini pula selalu dimaki orang ramai.
"Banyak benda seperti ini berlaku, jika kami masuk dalam (pasar-pasar) hari-hari pun cerita ini tak akan habis kalau tiada tindakan pihak kerajaan," katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, operasi penguatkuasaan yang dijalankan hampir setiap hari di pasar-pasar borong dan lokasi tumpuan golongan itu hanya sia-sia berikutan tiada tindakan konkrit diambil oleh kerajaan.
Azad berkata, ada juga antara pemegang kad itu bukan dalam kalangan pelarian sebaliknya terdiri daripada warga Bangladesh yang didakwa membayar sekitar RM2,000 hingga RM3,000 bagi mendapatkan kad UNHCR.
"Mereka sanggup bayar, nak dapatkan (kad UNHCR) itu pun tak susah. Sebab itu bila kita masuk mereka tak takut.
"Kita (PBT) tak ada kuasa untuk tangkap, kami cuma rampas barangan niaga dan mereka tak kisah pun sebab tahu kita tak boleh tangkap pemegang kad UNHCR," katanya.
Menurutnya, perkara itu sering terjadi dan ianya diakui sendiri oleh pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditemubual pihaknya semasa operasi penguatkuasaan.
Menurutnya, tindakan holistik perlu segera diambil kerajaan bagi memastikan masalah lambakan pelarian khususnya etnik Rohingya.
"Mereka menjadi masalah apabila kerajaan ambil tetapi tak beri sokongan.
"Mereka tak boleh bekerja, jadi macam mana nak bagi makan pada keluarga? Terpaksalah menjaja di kaki-kaki lima dan kami pula terpaksa rampas barang niaga mereka.
"Kira baik mereka mencari makan macam ini (menjaja) daripada mencuri atau buat aktiviti jenayah lain, lagi banyak masalah kita," katanya.
Menurutnya, dia dan rakan yang bertugas di PBT sudah buntu mencari jalan menangani isu berkenaan walaupun operasi penguatkuasaan dijalankan hampir setiap hari.
"Kami dah serabut nak hadap benda ini setiap hari, jadi kami minta kerajaan untuk cari jalan penyelesaian segera.
"Bukan kami tentang kerajaan, tidak. Cuma kami minta tolonglah ambil berat isu ini. Pelarian ini bila dah masuk, dia tak akan keluar, jadi kena buat sesuatu untuk pastikan mereka mampu menyumbang kepada ekonomi negara," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan