FMT Reporters
Asri Ab Rahman (kiri) dan Khair Razman Annuar dipercayai dirujuk ke kelompok penjawat awam yang akan ditempatkan ke jawatan baharu
KUALA LUMPUR: Penyingkiran Asri Ab Rahman sebagai ketua pengarah jabatan tenaga kerja mengejutkan ramai pegawai yang menyifatkan beliau ikhlas membantu ratusan warga Bangladesh terkandas tanpa pekerjaan baru-baru ini, menurut sumber dalaman.
Sumber mengesahkan kepada FMT bahawa arahan dikeluarkan semalam kepada Asri dan seorang lagi pegawai, Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, timbalan ketua setiausaha operasi Kementerian Sumber Manusia.
Asri telah diminta melaporkan diri kepada ketua setiausaha negara manakala Razman kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuat kuasa hari ini.
JPA sebelum ini menafikan dakwaan bahawa pegawai dirujuk dalam kelompok itu atas alasan tindakan tatatertib.
Sumber rapat dengan bidang buruh berkata Asri bekerja keras membantu pekerja asing yang tiba secara sah tetapi menganggur.
“Ramai merasakan bahawa dia adalah mangsa keadaan, beliau dilihat kecewa tetapi tidak akan membuat rayuan kerana merasakan dia telah kalah dalam ‘pertempuran’ dalam keadaan itu.”
Malaysiakini melaporkan tindakan mengejut itu dibuat atas arahan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Zaini Ujang yang dilantik April lalu, ketika ramai pekerja asing terkandas di negara ini tanpa pekerjaan.
Laporan itu juga menyebut ada siasatan dalaman terhadap kuota kelulusan kuota buruh asing.
Media melaporkan ratusan pekerja Nepal dan Bangladesh mendakwa ada ejen menawarkan pekerjaan dengan yuran tinggi tetapi tidak menunaikan janjinya.
Laporan itu menyebut siasatan dalaman dilakukan Zaini mendapati beberapa kakitangan berpangkat rendah yang membuat tawaran untuk orang atasan, dan mereka telah tampil menamakan pihak memberi arahan.
Antara isu mendorong siasatan adalah kurangnya usaha wajar dalam proses kelulusan kuota pekerja asing.
“Pemeriksaan terhadap proses kelulusan didorong oleh kebimbangan mengenai layanan terhadap pekerja Bangladesh dan Nepal, yang tiada pekerjaan sejak mereka tiba di Malaysia,” kata laporan itu.
Semalam, FMT melaporkan sekurang-kurangnya 120 pekerja Bangladesh yang terkandas tanpa pekerjaan sejak tiba di Malaysia empat bulan lalu.
Awal bulan ini, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar mengesahkan lima kakitangannya telah dipecat bagi memastikan kementerian berfungsi dengan berkesan dan lancar.
Bulan lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan tiga pembantunya berhubung siasatan pengambilan pekerja asing.
Sivakumar turut dipanggil memberi keterangan kepada SPRM pada 16 April lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan