"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Salah laku seksual terhadap murid, bekas guru dipenjara 8 tahun

Bernama

PUTRAJAYA: Seorang bekas guru bahasa Arab mula menjalani hukuman penjara lapan tahun hari ini selepas gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara kerana melakukan kesalahan seksual fizikal terhadap seorang murid perempuan berumur 12 tahun, lima tahun lalu.

Nor Azlam Ab Rahman, 43, juga akan menerima satu sebatan rotan.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hanipah Farikullah, Ahmad Zaidi Ibrahim dan Mohamed Zaini Mazlan sebulat suara menolak rayuan Azlam terhadap sabitan dan hukumannya selepas memutuskan rayuan itu tidak mempunyai merit.

Dalam penghakiman mahkamah, Hanipah berkata, berdasarkan keseluruhan bukti, sabitan kesalahan Azlam adalah selamat.

Beliau berkata, Mahkamah Sesyen memutuskan Azlam gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam kes pendakwaan, sambil menambah tiada kesilapan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang memerlukan campur tangan rayuan.

Hakim itu berkata, hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan dikenakan terhadap Azlam oleh Mahkamah Sesyen adalah tidak keterlaluan.

Mahkamah kemudian mengeluarkan waran komital untuk Azlam memulakan hukuman penjara mulai hari ini. Azlam sebelum ini dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 sementara menunggu rayuannya selesai.

Pada 5 Okt 2019, Mahkamah Sesyen mendapati Azlam bersalah kerana melakukan kesalahan seksual dengan menyentuh anggota badan kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu dan menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan. Mahkamah Tinggi menolak rayuannya pada 16 Mei 2022.

Mengikut kertas pertuduhan, Azlam melakukan kesalahan itu di makmal sebuah sekolah rendah di Kota Bharu, Kelantan pada 2.30 petang pada 4 Ogos 2018.

Dia diwakili peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohammad manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir.

Tiada ulasan: