"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hadi jangan guna dalil agama untuk berbohong

Mujahid Yusof

Minda Presiden tulisan Abdul Hadi Awang sering mempergunakan dalil agama dengan konteks yang salah untuk kepentingan PAS. 

Kali ini Hadi cuba menyatakan Pakatan Harapan (PH) dan pemimpin Melayu (selain dirinya) berbohong.

Tuduhan seperti ini cukup berat. Apatah lagi berdalilkan hadis yang tidak kena pada konteks dan tempatnya.

Pembentukan Kerajaan Perpaduan bukan terdorong di atas pembohongan seperti dakwaan Hadi, melainkan ia adalah demi kepentingan yang lebih besar dari kepentingan sesetengah kelompok.

ADS

Kerajaan Perpaduan adalah cerminan hasrat rakyat yang mendambakan kestabilan politik setelah tidak ada mana-mana pihak memiliki majoriti mudah membentuk kerajaan.

Mendatangkan hadis tentang sifat keji berbohong yang dilarang oleh syariat bagi mewajarkan tuduhan kepada Kerajaan Perpaduan jelas sekali satu tindakan yang melambangkan kelemahan berfikir dan singkat pandangannya. 

Apakah Hadi cuba menafikan maslahah besar jauh lebih penting dari agenda sempit beliau? 

Bukankah dalam memahami prinsip syariat kita kena memahami prinsip maslahah sebagai salah satu sumber kita.

Maslahah besar yang perlu diselesaikan segera pasca PRU adalah:

Tiada blok yang ada majoriti untuk membentuk kerajaan. Membentuk kerajaan adalah maslahah utama.

Yang di-Pertuan Agong atas kuasa perundangan yang ada padanya menitahkan pembentukan kerajaan perpaduan demi maslahah utama meneruskan urusan rakyat dan negara.

Kepimpinan negara pasca-PRU diperlukan untuk meneruskan maslahah utama pemulihan ekonomi yang semakin kritikal.

Semua pemimpin parti dari pelbagai latar dan ideologi bersetuju melihat maslahah utama ini sebagai faktor penting untuk mereka meninggalkan di belakang segala kepentingan parti masing-masing dan mendahulukan negara dan rakyat. 

Ini termasuk isu-isu sensitif yang menjadi bahan serangan politik pra PRU ke-15. 

Meletakkan isu-isu sensitif di belakang sesama parti-parti yang bermusuhan demi mencapai maslahat utama pentadbiran negara  harus dilihat sebagai satu tindakan terpuji dan tepat dengan kehendak disiplin maslahah, kenapa pula dituduh melakukan pembohongan?

Begitulah kerdilnya cara berfikir presiden PAS dalam tulisannya sehingga beliau gagal melihat dunia yang lebih besar dari dirinya dan kelompoknya. 

Lebih malang beliau tergamak mendatangkan sabda junjungan mulia Nabi Muhammad SAW untuk mewajarkan tuduhannya yang tidak berasas itu.

*Prinsip maslahah adalah sumber penetapan sikap syariat bagi memelihara tujuan umum pensyariatan antaranya dalam siasah syariyah ialah memelihara keamanan, kebajikan rakyat dan melantik kepimpinan negara. 

Tiada ulasan: