"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MP Bangi: ‘Sudah-sudahlah fitnah, saya tidak akan teragak-agak saman’

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan tidak lagi akan bersabar dengan pengguna media sosial yang berterusan menyiarkan apa yang dipercayainya sebagai kenyataan berunsur fitnah tentang dirinya.

Di Facebook, Twitter, WhatsApp dan TikTok, ahli parlimen DAP penggal  pertama itu meninggalkan nota buat catatan yang dipercayainya memfitnahnya.

Dalam nota itu, dia mengecam hantaran berkenaan dan mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebarkan dakyah tersebut.

Antara, tema hantaran dan video yang tersebar menjadikan Syahredzan sasaran adalah dengan dakwaan dirinya adalah "pengkhianat" Melayu dan Islam kerana menjadi ahli parlimen DAP.

Ini termasuk hantaran yang dibuatnya menyatakan dia mengundi menyokong Rang Undang-Undang Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023  yang disiarkan semula dengan dakwaan dirinya telah "mengkhianati orang Melayu".

Catatan itu bagaimanapun kemudiannya dipadamkan, bersama-sama dengan hantaran lain, selepas dia memberi amaran untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Dalam beberapa hari ini, penyokong PAS / PN yang padam / tarik balik / mohon maaf hantaran yang memfitnah saya.

“Siapa yang masih berdegil, saya tidak akan teragak-agak untuk saman. 

“Sudah-sudahlah tu fitnah saya. Sebelum kempen, masa kempen dan sekarang enam bulan lepas saya dipilih pun!” kata Syahredzan yang juga seorang peguam.

Dia juga memaparkan di TikTok, komennya yang menyatakan bahawa dia telah difitnah telah dipadamkan oleh "laskar siber" dan video yang "memfitnah" itu juga telah dikeluarkan.

Video yang dipadam itu katanya telah dikongsi bersama lagu parti PAS.

Syahredzan juga berkata bahawa PAS bahagian Bangi semasa kempen pilihan raya lalu mendakwa dia ke masjid untuk "meracun" fikiran jemaah.

Semakan Malaysiakini di TikTok mendapati puluhan video yang menyerang Syahredzan adalah berdasarkan agama dan keturunannya.

Sebagai contoh, video-video yang dimuatnaikkan semasa kempen pilihan raya umum lalu menuduh dirinya menghina nabi-nabi Islam, dan terus disebarkan.

Terdapat juga video yang disiarkan oleh akaun yang mendakwa mewakili PAS, tetapi tidak jelas jika ini adalah akaun rasmi.

PAS adalah antara parti yang memiliki kempen pilihan raya umum TikTok yang paling bertenaga.

Video yang disiarkan oleh antara akaun rasminya milik sayap pemuda PAS yang mempunyai paling ramai pengikut, ditonton ratusan ribu kali.

Beberapa pemerhati politik mengaitkan kempen TikTok yang bertenaga itu sebagai faktor utama PAS berjaya menawan sokongan pengundi muda di sebahagian besar kerusi-kerusi di Semenanjung Malaysia pada PRU15.

Pada 2022, kumpulan yang berumur 19 hingga 25 tahun membentuk 35.49 peratus pengguna TikTok di Malaysia, diikuti mereka yang berumur 26 hingga 32 tahun, iaitu 29 peratus.

Tiada ulasan: