Hapuskan saja akta penerbitan |
Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dan segala peruntukan undang-undang yang menyekat kebebasan media sepatutnya terus dimansuhkan bagi mencapai hasrat perdana menteri, kata seorang pensyarah kajian media. "Pada saya, akta ini tak perlu lagi dikaji. Ia perlu dimansuhkan terus," kata Zaharom Nain ketika dihubungiMalaysiakini hari ini. Sambil mengalu-alukan kenyataan Datuk Seri Najib Abdul Razak kelmarin, Zaharom menyifatkan kawalan tertentu boleh dipertahankan jika ada sebab-sebab yang jelas. "Tetapi, dalam keadaan negara kita yang sudah baik, tidak perlu lagi akta itu," katanya. Ketika berucap di Institut Akhbar Malaysia, Najib berkata media wajar lebih telus dan bertanggungjawab bagi menggalakkan wacana terbuka, di samping menjadikan laporan itu bertaraf dunia. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini dilaporkan berkata kementeriannya bercadang memansuhkan akta tersebut kerana ia sudah tidak relevan dengan perkembangan teknologi dan juga tidak disenangi ramai. "Rakyat tidak suka akta itu, syarikat-syarikat media pun tidak suka akta itu," beliau dipetik berkata. Bagaimanapun Zaharom meminta orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan kenyataan seumpama itu kerana ucapan seorang pemimpin dan tindakannya boleh jadi berbeza. "Setiap pemimpin, apabila mula menerajui kekuasaan, dia akan mula tonjol imej positif. Itu hal biasa berlaku. Mungkin ada isu pilihanraya (kecil) dan mahu menarik minat pelabur," katanya. "Jadi kita harus melihatnya dengan berjaga-jaga. Kadangkala mereka melepaskan kata-kata begitu sahaja. Saya dah lalui banyak peristiwa ketika melihat menteri bercakap hal media. "Saya rasa sepatutnya editor-editor akhbar akan menjadi lebih berani apabila mendengar kenyataan Najib itu." Pandangannya turut dikongsi pengarah eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) V Gayathry. "Melesenkan media terus-menerus menyekat pemberitaan yang berani dan bertanggungjawab. "Syarat pelesenan (akhbar) dan pemilikan oleh parti politik mencipta suasana agenda kerajaan dengan meudah menguasai bilik berita," katanya. Selain membantah pelaksanaan permit penerbitan tahunan seperti diwajibkan dalam Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, bekas pengamal media itu turut mendesak pemansuhan akta-akta yang menghalang kebebasan bersuara seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Hasutan dan juga Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). "Untuk menggalakkan 'wacana kebangsaan' yang telus ke arah membangunkan demokrasi, kerajaan pertama-tamanya harus rela mengizinkan orang ramai menetapkan agenda mereka sendiri melalui dialog melalui media yang tidak tersekat," tambah Gayathry dalam satu kenyataan. "Sebarang percubaan kerajaan untuk menakrif batasan apakah yang dimaksudkan dialog yang 'adil' tidak akan mencerminkan apa yang sebenarnya dituntut oleh rakyat." Sementara itu, penolong pengarah Penyelidikan untuk Kemajuan Masyarakat (Refsa) Wan Hamidi Hamid berkata, ucapan perdana menteri perlu dinilai dari segi sejarah kepimpinan lalu. "Pada kebiasaannya, mana-mana pemimpin pun akan menyebut dua perkara mengenai media. Pertama media mesti bertanggungjawab dan keduanya, media mesti bebas. "Namun, dalam keadaan sekarang, ucapan seperti itu tidak membuktikan apa-apa kesan, kerana akta-akta itu menyekat media. "Jadi, kerajaan perlu membuktikan keikhlasan dengan memansuhkan segala akta yang menyekat akhbar terlebih dahulu," katanya. Dihubungi hari ini, Wan Hamidi mencadangkan dua syarat untuk mendapatkan kebebasan media di negara ini. "Pertamanya, kerajaan mesti memansuhkan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, dan kedua, kajian semula perundangan bagi melonggarkan beberapa peruntukan dalam OSA dan ISA," katanya, yang berpengalaman luas dalam kewartawanan, termasuk media alternatif. -malaysiakini- |
"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Apa perlunya akta penerbitan hapuskan saja
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan