"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pro-Aspirasi kekal di UM, Pro-Mahasiswa mahu ke mahkamah

G. Manimaran

KUALA LUMPUR, Feb 4: Kumpulan Pro-Mahasiswa sedang mengkaji kemungkinan membawa pertikaian keputusan pilihan raya kampus Universiti Malaya (UM) ke mahkamah selepas Naib Canselornya Prof Datuk Ghauth Jasmon petang semalam memutuskan pilihan raya baru tidak akan diadakan.

Pertikaian tercetus ekoran pengundian menggunakan sistem pengundian elektronik (e-undi) buat kali pertama di universiti itu.

Keputusan pengundian yang berlangsung Khamis lalu diumumkan semalam.

Pengumuman itu mengekalkan keputusan sebelum ini iaitu kumpulan Pro-Aspirasi memperoleh 21 kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) manakala Pro-Mahasiswa pula 17 kerusi.

Baki tiga kerusi dimenangi calon Bebas.

Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Mohd Shafie Hashim berkata pihaknya akan cuba menghubungi lagi Naib Canselor dan jika tiada perkembangan isu ini akan dibawa ke mahkamah.

“Semalam kami hendak jumpa beliau sekali lagi tetapi tidak dibenarkan untuk bertemu. Kami akan cuba lagi dan tiada kemajuan kami akan membawa isu ini ke mahkamah,” katanya.

Ekoran keputusan semalam, Kabinet MPP UM akan dibentuk dalam tempoh seminggu ini.

Naib Canselor dipetik sebagai berkata siasatan yang dijalankan oleh perunding yang dilantik pihak universiti dan juga perwakilan pelajar mendapati tidak ada masalah dengan sistem e-undi.

Ia berdasarkan laporan penuh siasatan ke atas sistem e-undi yang disediakan oleh konsultan teknologi maklumat lulusan Universiti Harvard.

Shafie pula berkata keputusan itu diumumkan dengan tergesa-gesa ketika ada elemen yang belum diteliti dengan sepenuhnya.

Menurut Ghauth, sistem e-undi tiada masalah kerana kedua-dua konsultan yang dilantik daripada pelajar dan pihak universiti melaporkan tiada sebarang kekurangan.

Kata beliau, semua bantahan yang dikemukakan oleh pelajar tidak memberi kesan kepada keputusan pengundian.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: