"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

CCTV tunjuk Saiful masuk aras 5 kondo Desa Damansara

KUALA LUMPUR, Feb 4: Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan memasuki kawasan Kondominium Desa Damansara pada hari kejadian dia mendakwa diliwat oleh majikannya itu.

Ketika rakaman dipertontonkan di mahkamah, Saiful mengesahkan bahawa orang dalam rakaman itu adalah dirinya.

Rakaman CCTV itu menunjukkan Saiful memasuki lif untuk ke aras lima dan kemudian meninggalkan aras itu juga dengan menaiki lif.

Dia dilihat menuju ke aras lima pada pukul 2.47 petang dan kemudian keluar pukul 4.14 petang.

Bagaimanapun rakaman yang menunjukkan Saiful masuk dan keluar kondominium itu tidak dapat dipertontonkan ekoran masalah teknikal pada komputer.

Saiful yang merupakan saksi pertama menyambung keterangannya petang ini dengan prosiding dibuka kepada umum.

Prosiding pagi tadi diadakan secara tertutup.

Terdahulu hakim yang mengendalikan perbicaraan ke liwat Anwar, hari ini meluangkan masa satu jam untuk memeriksa unit kondominium, tempat didakwa berlakunya perbuatan itu pada 2008.

Anwar, dan Saiful turut hadir apabila Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memeriksa apartmen dua bilik tidur itu yang terletak di tingkat lima.

Saiful menunjukkan kepada hakim tempat Anwar duduk di ruang tamu apabila dia datang untuk menghantar dokumen dan bilik tidur utama di mana kejadian liwat itu berlaku selepas itu.

Semasa pemeriksaan itu, Mohamad Zabidin dilihat bertanya beberapa soalan kepada Saiful.

Terdapat sebuah katil kelamin di bilik tidur utama di mana tingkapnya ditutupi langsir warna kelabu gelap. Langsir berwarna serupa juga terdapat di ruang tamu yang juga terdapat sofa kulit berwarna pudar. Di ruang makan, terdapat sebuah meja makan untuk enam orang.

Anwar meninggalkan tempat itu selepas pemeriksaan di bilik tidur utama.

Anwar, 63, penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Dia dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan. Perbicaraan dijalankan selepas 18 bulan Anwar dihadapkan dengan tuduhan itu.

Dari apartmen itu, hakim dan Mohd Saiful pergi ke pejabat pengurusan kondominium itu untuk memeriksa kemudahan CCTV.

Lawatan itu diadakan selepas Saiful menyambung keterangannya secara tertutup pagi tadi di Mahkamah Tinggi yang terletak berhampiran.

Konvoi 10 hingga 15 kenderaan berlepas dari Mahkamah Tinggi pada 11.43 pagi termasuk pegawai mahkamah, kesemua anggota pasukan pendakwaan dan juga pasukan pembelaan yang diketuai Karpal Singh.

Saiful, yang memakai sut kelabu gelap dan kemeja putih, diiringi peguam Zamri Idrus yang bertindak sebagai peguam pemerhati baginya.

Sejurus tiba, Saiful menunjukkan kepada Hakim Mohamad Zabidin, tempat dia meletakkan keretanya pada hari kejadian dan lif yang digunakannya untuk ke apartmen itu.

Kira-kira 50 anggota polis ditugaskan berkawal di kawasan kaki bukit kondominium itu yang terletak di kawasan perumahan bango dan apartmen eksklusif.

Kondominium itu terletak kira-kira tiga hingga empat minit perjalanan dengan kenderaan dari rumah lama Anwar di Bukit Damansara.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: