"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

TAMAR JALIS Pengarang Siri Bercakap Dgn JIN Menampilkan Diri

Selatanonline
20 Jun 2011 khalayak seni berkumpul lebih 8 jam di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perak di Jalan Raja Di Hilir, Ipoh. Pertemuan ini yang dihadiri lebih kurang 500 peminat sastera tanahair – dari Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Kelantan, adalah bagi mengikuti Wacana Siri Bercakap Dengan Jin dan mengenali penulisnya yang selama ini – selama 30 tahun berdiam dan tidak pernah mendedahkan dirinya yang sebenar! Pertemuan ini berakhir lebih kurang jam 6.30 petang, namun darinya bercambah selingkar fikir yang tiada hentinya.

Tahniah kepada Persatuan Karyawan Perak yang telah mengenengahkan Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ) sebagai karya kreatif Melayu tersohor. Pembentang kertas kerja telah membenarkan dan memperakukan bahawa karya yang telah digarap dan bersiaran paling lama dalam majalah – selama 23  tahun 6 bulan – mengandungi 284 siri, telah dibukukan dalam 16 jilidan dan dicetak serta dijual melebihi sejuta naskhah! Haji Zabidin Haji Ismail (Presiden  Persatuan Karyawan Perak), Mohamad Paris Arshad (Pensyarah Institut Pendidikan Guru Hulu Kinta), Dr Bazrul Bahaman (UPSI), Dr Shaharudin Shaari (Pensyarah Institut Pendidikan Guru Hulu Kinta), Prof Madya Dr Talib Samat (UPSI), Dr Mohd Affandy Yusof (USM) – sekadar menyebut beberapa nama, semuanya mengakui bahawa SBDJ adalah sebuah karya yang hebat. Ianya bukan sekadar garapan kisah misteri alam bunian dan jin, tetapi ia berpaksi kepada ketuhanan yang maha esa dalam menyoroti kisah benar kehidupan dan sejarah bangsa Melayu dalam pengembaraan yang penuh dengan falsafah, psikologi sosio budaya, petua, perubatan tradisional, seni persilatan, kebatinan dan perburuan.

Presiden Persatuan Karyawan Perak dalam nukilannya pada buku cenderamata, mengatakan: Karya ini (SBDJ) digarap bercirikan sastera genre memoir dengan pendekatan autobiografi yang mampu menarik perhatian pembaca dalam menghayati rentetan persitiwa melalui ‘orang pertama’ iaitu Tamar Jalis bersama ‘datuk’nya Kulup Muhamad Diah atau Long Mat Piah. Setinggi-tinggi tahniah perlu diberikan kepada presiden KARYAWAN PK, Haji Zabidin Haji Ismail yang kerana usahanya sejak lebih 10 tahun lalu, berjaya menyakinkan penulis yang selama ini berselindung di sebalik nama Tamar Jalis, mahu dan bersedia menampilkan diri di khalayak peminat. Tamar Jalis analah nama pena bagi Ahmad Mahmud, seorang penulis kelahiran Beruas, Perak. Penulis ini juga biasa berselindung disebalik nama Ramadan A.M. dan Atma A.M. Saya biasa berkesempatan menyaksikan dan menemani Tamar Jalis menulis Siri Bercakap Dengan Jin. Siri cerita ini telah berjaya meningkatkan jualan Majalah Variasari sehingga 120 ribu naskhah sebulan pada tahun-tahun pertengahan 1980-an. Pada ketika itu lagi, ruangan Cakap Apa Saja majalah berkenaan sering menyiarkan permintaan agar Tamar Jalis mahu menampilkan diri. Tamar Jalis menulis kerana dunianya adalah menulis. Dalam tulisannya, dakwah adalah pengisian dan jati diri bangsanya sebagai Melayu terlihat dalam hamparan alam Melayu termasuk dengan segala pepatah petitih dan segala macam budayanya. Tamar Jalis seorang yang diam dan tidak banyak bercakap. Sebab itu dia berjaya menyembunyikan diri buat sekian lama. Namun penampilannya kemarin adalah sangat berarti dan memberi makna kepada kesederhanaan diri seorang insan. Kalau dulu saya melihat dan biasa menemani Tamar Jalis berkarya, kemarin saya melihat nama Tamar Jalis dan diri Ahmad Mahmud dijulang.
Baca selanjutnya disini

Tiada ulasan: