"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mangsa tak bersenjata, tapi polis tembak berkali-kali – Saksi

Mohd Martin Kahar
PETALING JAYA, 27 Ogos: Saksi tembakan rambang polis ke atas ahli perniagaan, D Dinesh, 26, memberitahu, mangsa tidak memiliki senjata ketika dikepung, juga tidak menyerang polis sebelum dia ditembak mati.

Mosas Kanesan, 23, yang berada beberapa meter di belakang Dinesh mendedahkan, ketika mangsa dikepung, polis preman melepaskan beberapa tembakan hingga terkena leher mengsa.

Menurutnya, pada kejadian 21 Ogos lalu itu, Dinesh yang merupakan anak bongsu ditembak sekumpulan anggota polis terbabit ketika dalam perjalanan untuk makan malam bersama enam lagi rakannya.

Beliau berkata, dua buah kereta Proton Wira dan Waja mengekori mangsa sebelum menyekatnya di hadapan lampu isyarat berhampiran Ampang Waterfront.

“Saya berada selang satu kereta di belakang mangsa. Ketika itu lampu merah. Tiba-tiba kereta Dinesh disekat. Ada seorang keluar dari salah satu kenderaan.

“Dinesh kemudian keluar dari keretanya dan ketika tembakan dilepaskan, mangsa berlari semula ke kereta. Lelaki itu terus melepaskan tembakan rambang.

“Saya terus memecut tetapi satu peluru terkena kereta saya. Cara dia menembak, kelihatan seperti mahu membunuh seseorang.

Jika saya tahu mereka adalah polis, saya tidak akan lari,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden KEADILAN, N Surendran; Ahli Parlimen Subang R Sivasara; Biro Guaman KEADILAN, Latheefa Koya dan beberapa anggota keluarga Dinesh.

Versi polis

Polis bagaimanapun mendakwa dalam kejadian jam 2.00 pagi itu, mangsa dan beberapa rakan lain cuba meyerang polis menggunakan parang dan besi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Nazri Nawawi mendakwa, mangsa adalah anggota kumpulan Geng Viva Nanda 36 diburu polis berikutan terbabit dalam kejadian pergaduhan dengan kumpulan lain di kawasan Flat 700, Pandan Indah.

Nazri mendakwa, pihaknya melancarkan gerakan mengesan suspek terbabit susulan laporan mengenai pergaduhan bersenjatakan parang di flat berkenaan hingga mencederakan tiga individu.

Dakwa Nazri lagi, dua kereta terbabit berjaya dihalang dan dikepung namun sekumpulan lelaki keluar dari kenderaan itu dan cuba menyerang anggota polis dengan bersenjatakan parang, besi dan buluh.

Akibat tembakan itu, Dinesh dikejarkan ke Hospital Ampang sebelum meninggal dunia dua hari kemudian selepas mengalami pendarahan otak. Dalam kejadian itu polis menahan empat lelaki.

Dinesh tak pernah terlibat jenayah

Seorang lagi saksi, Y Ilavarasen, 24, yang berada dalam kereta berlainan, menolak dakwaan kononnya Dinesh adalah kumpulan Geng Viva Nanda 36, sebaliknya menegaskan mangsa merupakan remaja yang baik dan tidak pernah terlibat jenayah.

Ilavarasen berkata, pada malam kejadian, mereka merancang untuk makan malam di sekitar Ampang selepas mendapat panggilan daripada Dinesh.

“Kami belum memutuskan untuk makan di mana. Mungkin di Restoran Steven Corner. Kami hanya mengekori kereta Dinesh untuk ke sana,” katanya.

Bapa mahu pembunuh dihukum setimpal

Sementara itu, bapa Dinesh, W Darmasena menggesa polis melakukan siasatan kematian anaknya dan mahu pembunuh tersebut diheret ke muka pengadilan.

“Saya mahukan keadilan untuk anak saya! Saya mahu mereka yang menembak anak saya dikenakan hukuman setimpal,” katanya.
-keadilandaily-

NAZLI IBRAHIM 
PETALING JAYA: Saksi kejadian anggota polis menembak mati lelaki yang tidak bersenjata di persimpangan lampu isyarat Lebuh Raya Pandan Permai di Ampang, tampil di Ibu Pejabat PKR sebelum membuat satu laporan polis hari ini.

Laporan polis tersebut dibuat bagi menjelaskan situsi sebenar kejadian pada 21 Ogos lalu seperti yang dilihat sendiri oleh kedua-dua saksi tersebut.

Saksi kejadian, Moses Kanesan, 23 memberitahu, kejadian yang berlaku di antara jam 1.00 hingga 2.00 pagi itu terjadi ketika beliau bersama mangsa, Dinesh Darmasena Wijemanna, 26, Nelawarasan A/L Yoakanathan, 24, dan seorang lagi rakan mangsa dalam perjalanan menuju ke kedai makan.
Menurutnya lagi, ketika dua kereta yang dinaiki mereka berhenti di persimpangan lampu isyarat di Lebuhraya Pandan Permai, dua kereta lain berhenti secara mengejut dan membuat halangan terhadap kereta yang dinaiki oleh Dinesh.

Menurut seorang lagi saksi, Nelawarasan, Dinesh dilihat turun dari kereta yang dinaikinya dan menuju ke arah anggota polis tersebut tanpa membawa sebarang senjata seperti yang didakwa polis minggu lalu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa minggu lalu, Dinesh bersama empat lelaki lain dikatakan bertindak keluar dari kenderaan yang dinaikinya dengan bersenjatakan parang dan batang besi untuk menyerang anggota polis tersebut.

Nelawarasan menambah, ketika itulah kira-kira 10 hingga 15 das tembakan mula dilepaskan oleh anggota polis.

Dalam suasana panik tersebut, Dinesh dilihat berpatah menuju ke kereta yang dipandu oleh rakannya itu bagi mengelak dari terkena tembakan polis.
Selain itu, menurut Nelawarasan yang merupakan rakan mangsa, polis yang terlibat dalam kejadian tersebut langsung juga tidak menggambarkan bahawa mereka adalah anggota polis.

“Mereka menaiki kereta biasa, tiada logo polis, tidak berpakaian seragam dan tidak memberi amaran atau membuat tembakan amaran ke udara terlebih dahulu.

“Saya dapat lihat secara tiba-tiba anggota polis tersebut melepaskan tembakan secara berterusan dan melulu.

“Cara mereka memang tak menggambarkan mereka anggota polis sama sekali,” kata Moses dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR.

Dinesh yang cedera parah dalam kejadian tersebut meninggal dunia selang sehari kemudian, 23 Ogos baru-baru ini.

Dalam laporan polis yang dibuat di Balai Polis Tropicana yang berhampiran Ibu Pejabat PKR sebentar tadi, Nelawarasan juga menuntut agar satu siasatan bebas dapat dijalankan oleh polis.

Dalam isu sama, Naib Presiden PKR, N Surendran berkata, kejadian yang menimpa Dinesh itu adalah kejadian tembakan melibatkan polis yang pertama kali mempunyai saksi.

“Ini bukan kejadian pertama melibatkan orang awam tertembak, tapi ini yang pertama mempunyai saksi orang awam yang melihatnya,” kata beliau.

Beliau turut memberitahu, sama seperti sebelum ini, polis telah menggunakan alasan sama iaitu diserang dengan menggunakan parang bagi menghalalkan tindakan polis menembak mana-mana suspek.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam pula memberitahu dalam satu jawapan Menteri Dalam Negeri di Dewan Rakyat sebelum ini, seramai 279 orang telah ditembak mati oleh pasukan PDRM dari tahun 2000 hingga 2009.

Dari jumlah tersebut, 42 orang adalah berketurunan Melayu, 59 India, 54 Cina 113 warga Indonesia, Vietnam 5, 1 Filipina, 1 Negro dan 3 Pribumi.
-selangorku-

Tiada ulasan: