"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelucahan lampau: Bekas ketua polis balai dihukum penjara

KANGAR: Bekas ketua Balai Polis Arau, Sub-Inspektor Zaini Ahmad hari ini dikenakan hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Tinggi setelah didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap dua pemuda, lima tahun lalu.

Hakim Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan terhadap Zaini, 54, selepas membenarkan rayuan kali kedua oleh pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, Mohd Zaki mengarahkan hukuman itu berjalan serentak.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kangar membenarkan rayuan kali kedua pihak pendakwa terhadap keputusan Mahkamah Majistret Kangar yang membebaskan tertuduh pada 21 Oktober 2011.

Kali pertama pihak pendakwaan membuat rayuan terhadap kes itu ialah setelah Mahkamah Majistret membebaskan tertuduh pada 2 Jun 2010 dan mengekalkan keputusannya selepas rayuan dibuat apabila membebaskan tertuduh pada 21 Oktober 2011.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki berusia 21 tahun di sebuah pondok di tepi bangunan Balai Polis Arau antara pukul 1 pagi dan 4.30 pagi 6 Januari, 2007.

Bagi pertuduhan kedua, Zaini didakwa melakukan kesalahan serupa dengan lelaki yang sama antara 4.30 pagi dan 5.30 pagi tarikh sama di dalam bilik maklumat, bangunan Balai Polis Arau.

Bagi pertuduhan ketiga pula, dia didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap remaja lelaki berumur 18 tahun antara 11.30 pagi dan 3 petang di
pejabat Ketua Polis Balai, Balai Polis Arau, pada tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry manakala tertuduh diwakili peguam K. Mahendren. 
-Bernama-

Tiada ulasan: