Salah seorang juruterbang pesawat MH370 cuba menghubungi seseorang menerusi panggilan telefon ketika pesawat tersebut terbang serendah 5000 kaki di ruang udara Pulau Pinang pada hari kehilangannya, lapor akhbar New Straits Times (NST) hari ini.
Laporan eksklusif akhbar itu berkata panggilan tersebut datangnya dari telefon bimbit milik pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid (gambar).
(NST menamakan pembantu juruterbang tersebut sebagai Fariq Abdul Rahman, sedangkan nama sebenarnya ialah Fariq Abdul Hamid)
Sumber maklumat dari penyiasat kes itu memberitahu NST, setiap maklumat sedang dikumpulkan bagi merungkai apa yang sebenarnya berlaku kepada pesawat tersebut yang hilang dengan 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac.
Difahamkan pesawat Boeing 777-200 ER itu terbang pada ketinggian yang cukup rendah bagi membolehkan isyarat telefon bimbit dikesan oleh pemancar telekomunikasi di darat.
Panggilan tersebut bagaimanapun terputus sebelum sambungan berjaya dilakukan, menurut laporan NST itu lagi, sambil menambah sumber tersebut enggan mendedahkan siapa yang dihubungi oleh Fariq.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihak polis merekodkan lebih 205 keterangan daripada pelbagai pihak, termasuk anggota keluarga penumpang dan anak kapal penerbangan MH370, bagi membantu siasatan berhubung kehilangan pesawat berkenaan.
Khalid berkata lebih ramai lagi akan dipanggil untuk membantu siasatan dan polis tidak akan mendedahkan hasil keterangan bagi mengelakkan gangguan siasatan.
MH370 hilang pada 8 Mac ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing. Sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat yang disertai pelbagai negara di selatan Lautan Hindi gagal menemui sebarang serpihan. - 12 April, 2014.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan