Pakaian digayakan seorang MP DAP Teresa Kok hari ini menjadi sasaran bantahan MP Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin yang mendakwa ia tidak sesuai untuk dipakai oleh ahli Dewan semasa persidangan.
Bung yang mencelah semasa ucapan Datuk Ismail Mohamed Said meminta yang dipertua Dewan itu menjelaskan sekiranya pakaian seperti itu dibenarkan dalam persidangan.
"Skirtnya (singkat) sehingga paras lutut, saya boleh lihat lututnya, bagaimana pakaian ini boleh dibenarkan?,” soalnya.
Kenyataannya itu menyebabkan Kok bangun dan meninta beliau menarik balik kenyataan tersebut.
"Bajunya seperti baju-T, semuanya warna merah. Ini bukan cara berpakaian di Parlimen,” kata Bung Moktar lagi.
Tidak berpuas hati dengan kenyataan itu, Kok seterusnya membangkitkan bahawa Bung Moktar juga bersalah kerana memakai tali leher berwarna kuning.
"Awak tidak ada kerja lainkah?,” soalnya kepada Bung Moktar.
Bung yang enggan beralah berkata, pelajar sekolah yang mengunjungi Parlimen juga boleh menganggap “boleh memakai pakaian sesuka hati” jika Kok dibenarkan berpakaian begitu.
Ismail yang menamatkan pertengkaran berkenaan seterusnya berkata beliau tidak memandang berat perkara tersebut memandangkan hari ini merupakan hari terakhir persidangan bagi penggal ini.
"Tak apalah, saya benarkan (Kok berada dalam Dewan),” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan