"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ada apa-apakah Muhyiddin, Jamil Khir & Wajdi ziarahi Tok Guru?

nik-abdul-aziz-nik-mat-642x425
PETALING JAYA: Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilapor bagaikan kehairanan kerana dalam masa sebulan setengah lalu, tiga ahli Majlis Tertinggi UMNO mengunjungi beliau.

Sehubungan itu, Subky Latif yang mengunjungi Nik Aziz ditanya Murshidul Am PAS itu mengeni kunjungan tiga orang pemimpin UMNO ke atasnya baru-baru ini.

“Ngapa Muhyiddin, JKB dan Wajdi ziarahi Tok Guru?”

Ketiga-tiga pemimpin tersebut adalah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri,Brig. Jen. (B) Datuk SeriJamil Khir Baharom dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang juga ahli majlis tertinggi UMNO.

Menjawab soalan bekas Menteri Besar Kelantan itu Subky memberikan beberapa sebab yang antaranya adalah, pertama ia adalah kunjungan muhibbah demi bersilaturrahim.

“Satu amalan baik sesama umat Islam kunjung-mengunjung, apatah lagi Tok Guru adalah seorang tua, ulama yang disegani dan tidak sihat pula. Menziarahi sedemikian berpahala. Menziarahi orang tua, ulama dan uzur lagilah banyak pahalanya,” jelas Subky seperti yang ditulisnya dalam kolumnya di Harakahdaily semalam.

Tambahnya, tetapi Tok Guru adalah orang politik berprestasi tinggi dan yang mengunjunginya itu pula adalah orang-orang politik yang berpolitik tinggi juga.

“Mengapa baru sekarang dan mereka saja pula? Apakah ia politik dan mereka berpolitik? Sebagai orang politik, maka itulah agaknya Tok Guru mahu tahu diplomasi di sebalik kunjungan itu,” pelbagai pertanyaan timbul, yang sekali gus membuatkan penulis politik itu menebak fikiran Nik Aziz.

Subky seterusnya menulis, “Allah dan mereka saja yang tahu. Justeru mereka orang politik, mungkin kunjungan itu kerana Allah semata-mata dan mungkin juga tidak terlepas daripada dorongan politik.”

Beliau kemudiannya mengamati latar belakang ketiga-tiga pemimpin yang mengunjungi Nik Aziz. Pertamanya, Muhyiddin adalah anak seorang tok guru dan demikian juga Asyraf Wajdi, anak Datuk Dasuki Ahmad yang berkelusan tinggi agama. Wajdi dan ayahnya juga boleh jadi tok guru. Manakala Jamil Khir pula selain berkelulusan tinggi agama adalah anak seorang veteran PAS.

Menyedari hakikat tersebut, beliau berpendapat memandangkan ketiga-tiganya mempunyai latar belakang keluarga orang-orang beragama, maka dorongan agama itulah yang membuka peluang berkunjung itu.

Tambah beliau, selain daripada hikmah bermuhibbah dan bersilaturrahim, ada rahmat politiknya iaitu ketiga-tiga pemimpin tersebut boleh dilihat oleh khalayak umum sebagai orang yang lepas laku dalam berpolitik.

“Mereka boleh dilihat sebagai orang terbuka,” ujarnya.

Subky menyatakan, dalam atmosfera orang Melayu/Islam dikatakan berada di ambang pintu bangsa Red Indian, maka mungkin ia permulaan bagi melakar bagaimana nasib Red Indian itu tidak terjelma, jika ia diikuti oleh kunjungan yang berterusan yang tidak terhad terhadap Nik Aziz.

Namun, beliau menegaskan, setakat kunjungan yang dilakukan itu belumlah ada apa-apa hikmat politik yang sudah terhasil.

Dalam suasana politik perkauman yang berkecamuk sekarang, katanya, banyak pendeta yang meniupkan angin perlunya disatukan UMNO dan PAS supaya nasib ke arah Red Indian itu terbantut.

Menurutnya lagi, penyatuan yang tidak nampak PAS akan lebih bernasib baik daripada UMNO, tidak pernah menarik selera PAS.

Tambah beliau, belum terbuka pintu hati PAS untuk terpesona dengan saranan dan rayuan sekalian pendeta yang hendak mengelakkan sial Red Indian itu.

“Politik besar daripada silaturrahim itu adalah demi memprojekkan bahawa besarnya keinginan UMNO bersatu dengan PAS tetapi PAS hidung tidak mancung. Jika jadilah Melayu itu Red Indian nanti, jangan salah UMNO lagi, tetapi seranah sajalah PAS. PASlah yang mahukan terus berpecah.

“PASlah yang amat sayangkan Pakatan Rakyat hingga sanggup membiarkan Melayu senasib dengan Red Indian,” kata Subky.

Menurutnya lagi, politik tinggi yang UMNO cuba tonjolkan itu tidaklah setinggi mana.

“Bukanlah jadi Red Indian itu yang ditakutinya, tetapi ancaman Pakatan Rakyat yang padulah yang amat menakjubkannya. PAS lebih suka jadi sepat yang tidak makan pancing emas,” ujar beliau.
-fmt-

Tiada ulasan: