"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dengan laungan Takbir mereka merusuh memukul dan mencuri barangan mangsa?

Kami dilayan seperti binatang, kata mangsa belasah rusuhan Low Yat
MD IZWAN
Kereta Proton Wira dinaiki 3 sekawan yang dibelasah dalam rusuhan di depan Plaza Low Yat, Kuala Lumpur, Ahad lalu, remuk teruk. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 15 Julai, 2015.
Kereta Proton Wira dinaiki 3 sekawan yang dibelasah dalam rusuhan di depan Plaza Low Yat, Kuala Lumpur, Ahad lalu, remuk teruk. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 15 Julai, 2015.

Tiga sekawan yang dibelasah dalam kereta Proton Wira berhampiran Plaza Low Yat pada malam Isnin baru-baru ini mendakwa mereka diperlakukan seperti binatang tanpa dapat peluang untuk mempertahankan diri.

Pengalaman diheret keluar daripada kereta dan dibelasah adalah pengalaman hitam yang sukar dilupakan Patrick Lim, 21, salah seorang daripada mangsa dalam video kereta yang remuk semasa rusuhan tersebut.

"Kami diperlakukan seperti binatang," kata Lim pada sidang media di sebuah bengkel kereta di Gombak, Selangor.

Lim bersama dua lagi rakan sebayanya, Ah Peng dan Vincent ketika itu dalam perjalanan pulang selepas makan malam sebelum mereka dihentikan sekumpulan pemuda Melayu.

Kereta Lim rosak teruk, semua cermin keretanya pecah dan remuk bahagian depan hingga ke belakang bonet.

Rakannya, Vincent ketika ini masih lagi dirawat di Hospital Tawakal di Kuala Lumpur akibat kecederaan serius yang dialaminya, sementara beliau dan Ah Peng baru keluar hospital semalam.

"Kami mula-mula dihantar ke HKL (Hospital Kuala Lumpur), tetapi rakan saya (Vincent) cedera parah di bahagian perut dan perlu dibedah.

"Ibu bapanya mahu beliau dihantar ke Tawakal untuk dibedah," kata Lim.

Lim berkata, mereka tidak mengetahui tentang rusuhan di Plaza Low Yat dan tersekat di Jalan Imbi akibat jalan dihalang perusuh yang kebanyakannya pemuda Melayu.

"Bila kami tiba di jalan itu yang terletak antara Times Square dan Sungei Wang jalan itu sudah sesak dan kami tidak dapat patah balik.

"Ketika kami melepasi sekumpulan pemuda Melayu, tiba-tiba mereka menjerit 'itu Cina' yang menuding jaring kepada kereta kami," katanya.

Lim menafikan ada mengeluarkan kata provokasi kepada kumpulan Melayu tersebut seperti didakwa dan tidak mengambil sebarang alkohol pada malam itu.

"Cuba fikir secara logik, kalau kamu dikepung oleh orang ramai sebegitu adakah kamu akan mengeluarkan kata-kata melawan mereka?

"Saya tidak bercakap apa-apa, saya cuma menjawab mengatakan saya tinggal di Ampang," katanya.
Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng melawat mangsa yang dibelasah dalam rusuhan Low Yat Ahad lalu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 15 Julai, 2015.
Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng melawat mangsa yang dibelasah dalam rusuhan Low Yat Ahad lalu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 15 Julai, 2015.

Satu laporan polis juga dibuat oleh Lim bersama rakannya Ah Peng semalam di balai polis Jalan Bandar (HS Lee) semalam.

Lim memberitahu wang tunai kira-kira RM700 yang disimpan dalam dompetnya juga hilang, telefon bimbit, jam tangan dan aksesori komputer.

"Semua barang peribadi saya hilang selepas dibelasah," kata Lim yang bekerja secara sambilan dalam bidang pemasaran.

Lebih malang lagi, pihak insurans juga tidak akan menanggung kos kerugian keretanya kerana ia diakibatkan rusuhan, kata Lim.

Dalam pada itu, Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang bertemu dengan Lim di bengkel sama pagi tadi menyifatkan tindakan samseng tersebut sebagai memalukan kaum Melayu.

"Sudah lah mereka pukul, kemudiaan mencuri pula," katanya pada sidang media sama.

Zulpuri, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab juga melihat kejadian di Low Yat sebagai percubaan untuk mengalihkan pandangan umum daripada isu besar dihadapi negara seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Walaupun insiden tersebut meninggalkan kesan mendalam kepada Lim, beliau tidak menyimpan perasaan dendam malah memberitahu ramai rakannya terdiri daripada orang Melayu.

"Saya tidak berdendam, buat apa saya nak berdendam. Lagipun banyak kawan-kawan saya juga orang Melayu," katanya.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: