Subky Latif
TIDAK terperi gembiranya apabila Tan Sri Mohamad Mohd Taib memilih PAS apabila dia mengira Umno bukan lagi wadah yang sesuai baginya dan bukan juga wadah yang perlu dipertahankan oleh orang Melayu.
Tentulah dia amat arif tentang kerenah dan tidak releven parti itu untuk membela orang Melayu dan mendaulatkan Islam.
Dia adalah bekas Naib Presiden Umno beberapa penggal seiras dengan Tun Abdullah Badawi, Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yasin pula terkemudian daripadanya.
Dia membuat pilihan yang betul apabila menyertai PAS. Bapanya adalah imam dan dia sendiri ada sedikit sebanyak didikan Islam. Islam cara hidup dan wadah yang betul untuk politiknya. Kemasukannya bukan sekadar PAS adalah wadah yang tepat untuk Islam, tetapi PAS yang diwar-war semasa kemasukannya adalah sasaran untuk semua dan ia diambang ganti Umno sebagai gerakan massa.
Apabila dia masuk dalam kumpulan saya, pada saya adalah yang betul dan terbaik, maka saya tadahkan nyiru dan halaman.
Saya wajar dan mesti mengasihinya untuk selama-lamanya. Sakit demamnya dalam PAS adalah sakit demam saya. Dia bukan saja rakan dan saudara sebangsa, seagama, bahkan dia saudara sejamaah. Moga-moga bertambah cerah masa depan PAS dapat bersamanya.
Malangnya saya dalam keadaan lemah dan kekurangan, tidak dapat menyambutnya dari dekat dan tidak dapat melayannya. Sepatutnya jika tiada sempat orang lain melayannya, saya mesti gunakan masa dan keupayaan saya yang ada untuk mendampinginya dan memberi apa jua yang diperlukannya dan yang saya terdaya beri. Tetapi saya juga lemah dan mengharapkan orang lain mendampinginya.
Amat malang baginya, tidak sempat lama dengan PAS, PAS terperangkap dengan krisis yang bertubi-tubi kerana Langkah Kajang, krisis Menteri Besar Selangor, krisis dengan DAP dan yang lebih buruknya krisis sesama PAS dan konsep kepimpinan ulama dan percubaan pengambil alih pimpinan PAS oleh setengah pemimpin PAS.
Saudaraku Mohamad Mohd Taib yang ku kasihi tidak sempat menerima yang manis daripada PAS. Masanya bersama PAS semasa PAS bergolak. Dia menerima yang pahit saja. Jika orang-orang yang berpuluh tahun bersama PAS mengata PAS sudah pahit, maka bagaimana orang yang belum merasa PAS itu manis percaya PAS itu manis?
Tan Sri Mohamad dipercayai tidak datang dipujuk oleh sesiapa. Keindahan yang ada pada PAS itulah yang memujuknya menerima PAS. Malang dia menemui racun sebelum dia sempat menikmati penawar yang ada pada PAS selama ini.
Demikianlah ujian pahit yang dilaluinya dalam PAS. Nasibnya tidak sebagai Salman al-Farisi. Salman mengembara jauh mencari kebenaran. Dia masuk satu wadah ke satu wadah. Dia tidak jumpa manis wadah itu. Hinggalah dia jumpa Islam sebagai wadah yang manis. Tan Sri keluar dari wadah yang pahit, masuk ke wadah yang betul, tetapi diuji dengan PAS yang ketika manisnya berkurangan, bahkan disuap dengan kepahitan.
Saya tidak kata dia tidak sabar. Malang baginya dia ikut keluar daripada wadah yang betul bagi mencari yang lebih betul. Tetapi dia tidak ikut kumpulannya yang mengajak dia keluar PAS. Dia pilih wadah pada saya tidak sebaik wadah yang baru ditinggalkannya.
Saya tidak kata dia keliru, tetapi semasa dia dalam PAS, orang sesetengah orang PAS keliru dan mengelikan PAS. Amat malang orang ku kasihi itu menjadi mangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan