"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Silap Husam jadi orang politik

SUBKY LATIF
BERKHIDMAT dalam politik adalah satu khidmat yang mulia apa lagi politik itu Islam demi mendaulatkan kalimah Lailaha Illallah. Politik itu sebahagian daripada Islam khususnya mengenai kehidupan. Hidup itu boleh jadi ibadat. Hidup itu meliputi sejak lahir hingga mati. Khidmat politik sebagai satu ibadat boleh diisi 24 jam sehari dari mula hidup hingga mati.
Politik itu jadi ibadat perlu memenuhi seninya. Husam Musa bekas Naib Presiden PAS telah memilih khidmat ibadat politik apabila dia menyertai PAS sebaik keluar universiti.

Saya suka kepada keupayaan, kebolehan mana-mana orang politik yang berbakat dan berpotensi. Saya lihat Husam adalah seorang ada potensi memenuhi semua yang diperlukan oleh seorang ahli politik. Saya gembira dia memilih PAS dan saya kira PAS bertuah beroleh seorang aktivis dan pemimpinnya yang serba boleh.

Dengan bakat yang ada padanya amat tepat dia jadi pembantu dan penasihat Almarhum TG Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS. Pemimpin penting seperti Tok Guru itu penting beroleh pembantu pintar sepertinya.

Saya pernah duduk bersamanya beberapa tahun dalam pimpinan PAS Pusat. Saya tengok ucapannya di Parlimen, keupayaannya menguasai isu dalam dan luar negara, dapat memberi reaksi cepat dan bertindak pantas atas banyak perkembangan.

Hingga saya pernah terfikir dan sebutkan kepada rakan-rakan, Husam adalah seorang pemimpin yang terserlah dan ada otak dibandingkan dengan sebahagian pimpinan PAS lain. Saya tidak mahu kata dia adalah yang terbaik, tetapi saya rasa dia banyak kelebihan daripada yang lain-lain.

Ada seorang pemerhati Umno berkata pada saya, ketika seorang penganjur Umno mencari tokoh yang diperlukan buat masa depan Umno, ada yang merasakan bakat Mukhriz bersaing dengan Khairy Jamaluddin. Untuk jadi Perdana Menteri akan datang mungkin Mukhriz tidak berupaya meninggalkan Khairy.

Khairy nampak hidup politik dan kepimpinannya. Siapa yang boleh mengatasi Khairy dalam perlumbaan jadi Perdana Menteri itu?

Katanya, tidak ada dalam Umno. Ia ada dalam PAS. Siapa? Husam, katanya.

Sayang Husam berada dalam PAS. Kalau dia berada dalam Umno, sukar bagi Khairy memintasnya.

Hari ini dia telah berpolitik lebih. Seni politik itu telah dilampauinya. Saya terasa ia menyebabkan dia bertambah payah bagi mendapatkan kedudukan yang selesa dalam masyarakat dan kepimpinan PAS.

Dia telah menjadi pengkritik PAS yang dikira lebih tajam daripada serangan yang dibuat oleh Umno dan DAP terhadap PAS dan pimpinannya. Kritik dan serangan orang luar seberat mana pun tak jadi berat kerana orang kira ia sepak terajang orang politik.

Tetapi kritik dan serangan terbuka orang dalam PAS, ringan pun terasa teruk dan apa lagilah kalau memang berat. Orang dalam itu selalunya tahu akan kelemahan dalaman parti.

Sebagai yang pernah jadi orang penting PAS, maka ia memayahkan kedudukannya dalam parti dan sesama orang parti. Jika khidmat politiknya tadi satu ibadat, maka boleh batal ibadat yang lalu itu.

Khidmat baik selama ini boleh jadi tidak dinilai lagi.

Tapi jika Husam memilih jadi profesor sains sosial, dia boleh mengajar penuntutnya tentang kelemahan PAS dan mengkritiknya. Sumbangan akademik dan tegurannya tentu lebih berkesan. Mungkin dia boleh jadi profesor ilmu politik terbilang dihormati oleh semua.

Tetapi apabila jadi orang kuat PAS mengkritik teruk PAS, khidmatnya jadi layu dan orang akan kata sepak bola ke gol sendiri.

1 ulasan:

mohamad berkata...

Mengkritik kepimpinan tidak semestinya mengkritik parti. Mungkin dasar parti tidak berubah tapi perlaksanaan nya tidak selaras dgn kehendak parti. Parti yg dinamik dan berfungsi disebabkan olih kepimpinan. Lemah pemimpin lemahlah parti.