Muzaffar Syah Mallow
Isu yang melibatkan penguatkuasaaan fatwa sudah mula mendapat tempat di negara ini, khususnya selepas keputusan dibuat Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang memutuskan seorang anak luar nikah boleh dibinkan atau dibintikan dengan nama bapa.
Mahkamah berkata amalan berbinkan “Abdullah” yang berdasarkan fatwa beberapa tahun lalu oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai kuasa undang-undang.
Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, yang menulis keputusan sebulat suara itu, berkata bidang kuasa ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah sivil dan terbatas untuk menentukan sama ada si bapa telah memenuhi syarat Seksyen 13A (2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).
Amalan meletakkan “bin/binti Abdullah” diambil JPN berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 28-29 Januari, 1981, yang membincangkan Penamaan “anak tak sah taraf” (anak luar nikah).
Muzakarah berkenaan memutuskan anak luar nikah sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua pasangan ibu bapanya atau tidak hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah.
Jika ada pihak yang berpandangan fatwa mengenai isu nama anak luar nikah ini patut dipatuhi, maka mereka juga harus mematuhi segala fatwa yang dikeluarkan selama ini dalam negara kita termasuk fatwa yang berkaitan dengan pengharaman rokok.
Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 23 Mac 1995 membincangkan topik “Hukum Merokok Dari Pandangan Islam” dan bersetuju untuk memutuskan bahawa “Merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan”.
Berdasarkan fatwa Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan terbabit, jelas menunjukkan pengharaman rokok sudah lama dikeluarkan, sudah lebih 20 tahun, dan masih kekal sehingga sekarang.
Namun, ibarat mencurah air di daun keladi, umat Islam masih dilihat merokok tanpa segan silu.
Kenapa kita hendak menegaskan fatwa mengenai isu nama anak luar nikah harus dipatuhi dan pada masa yang sama tidak mengambil peduli langsung mengenai fatwa pengharaman rokok?
Jika kita betul-betul ingin mempertahankan Islam, kita mestikan patuhi segala fatwa pengharaman rokok yang dibuat dan bukannya memilih fatwa mana yang hendak diikuti dan yang mana yang tidak diikuti.
Mengapa ada “double standard” dalam mematuhi sebarang fatwa?
* Muzaffar Syah Mallow ialah pensyarah syariah dan undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan