DR SITI MARIAH MAHMUD
Pada 24hb Julai Menteri Pembangunan Wanita , Keluarga dan Masyarakat , Datuk Rohani Karim telah membentang pindaan RUU Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) Pindaan 2017.
Saya turut mengambil bahagian di dalam perbahasan tersebut. Antara pindaan yang dibuat adalah untuk mempermudahkan mangsa penderaan rumahtangga mendapat perintah perlindungan sementara (interim protection order -IPO) dan perintah perlindungan (protection order-PO) yang boleh diberi oleh pihak polis dan juga pegawai kebajikan masyarakat. Termasuk di dalam akta ini ialah mangsa yang terdiri dari isteri/suami, ibu bapa/adik beradik, ahli keluarga terdekat dalam keluarga sahaja. Maknanya ada hubungan kekeluargaan.
Secara umumnya boleh dikatakan AKRT mendapat sokongan daripada semua Ahli Parlimen tanpa ada satu pun bantahan. Semua yang berhujjah bersetuju peri pentingnya mangsa penderaan perlu dilindungi daripada pendera nya. Tambahan lagi statistik kes penderaan semakin meningkat setiap tahun. Walaupun lebih 70% mangsanya adalah wanita iaitu isteri, jumlah mangsa lelaki atau suami pun semakin meningkat melebihi 20%.
Di dalam perbahasan saya telah membawa cadangan supaya kes penderaan yang berlaku kepada wanita yang bukan dan belum bertaraf isteri juga dimungkinkan di bawa dibawah akta ini.
Ini termasuklah pasangan kekasih - teman lelaki dan wanita dan juga bagi mereka yang walaupun tidak berkahwin tetapi tinggal bersama dan berfungsi seperti suami isteri. Saya tidak berbahas panjang setelah memberi cadangan atau mengupas isu ini dengan baik. Alasan saya ialah di dalam kes-kes seperti ini, dinamiknya seperti dalam perkahwinan yang sah jua sebab hubungan intim bukan secara fizikal sahaja tetapi juga secara emosi.
Walaupun Menteri mengatakan penderaan dan keganasan boleh ditangani dengan Kanun Keseksaan seksyen 323 dan 324 dan seterus. Kebanyakan pasangan kekasih tidak akan melaporkan kepada polis penderaan ini kerana kebegantungan emosi serta ekonomi kepada pasangan dan bagi yang sudah ada anak, kepentingan anak juga perlu diambil kira. Kalau dilaporkan pun mereka tidak akan mendapat sebarang perintah perlindungan dan mendapat manafaat kaunseling dan pemantauan seperti kalau mereka isteri atau ahli keluarga yang sah.
Dalam kategori ini juga ialah mereka yang telah berkahwin secara tidak sah disegi undang-undang dan jika sah disegi syara’ pun ada yang tidak mendaftarkan perkahwinan mereka. Kes berkesedudukan ini bukan sahaja berlaku dikalangan rakyat bukan Islam tetapi juga mereka yang beragama Islam.
Bagi mereka yang bukan beragama Islam tidak menjai masalah untuk digolongankan dalam istilah “keluarga”. Malah YB Setiu bangun mengatakan jika golongan ini dimasukkan dalam AKRT ini maka ia tidak termasuk yang beragama Islam. Saya tidak memberi respon kepada cadangan beliau kerana
Saya tahu yang ini adalah cadangan baru yang pertama kali di bawa dalam dewan dan tidak akan lulus pun sebab tiada dalam cadangan pindaan. Ia lebih kepada supaya Menteri mula memikirkan dan bersifat inklusif di masa hadapan.
Memang di dalm jawapan Menteri beliau mengaku keterbatasan kementerian untuk menambah lagi satu skop ke dalam pindaan buat masa ini. Menteri pun sudah biasa mendengar cadangan ini mungkin dari NGO NGO wanita namun Kerajaan mungkin bimbang isu ini akan dipolitikkan dan kementerian tidak mampu hendak mempertahankan keputusan sebegini.
Keesokkan harinya sebuah portal (MENARA.MY) melaporkan berita ini tanpa menulis nama pelapornya. Tajuknya pun sensasi: “BERI HAK PERLINDUNGAN KEPADA PASANGAN BERSEKEDUDUKAN - SITI MARIAH MAHMUD” dan diakhir laporan menulis BACA DAN FIKIR SENDIRI.
Tentulah komen-komen yang diberi semuanya menghentam saya dan menggambarkan saya ini teruk dan tidak Islamis kerana hendak melindungi orang yang berdosa. Tiada seorang pemberita pun yang memanggil saya untuk mendapat penjelasan mengenai cadangan tersebut. Kepada yang membuat tohmahan dan komen negatif terhadap saya, saya sudah maafkan anda (ada yang mengatakan, “maybe anaknya terlibatlah sebab itu Siti Mariah nak protect”)
Ramai yang gagal melihat secara mendalam dan luas dan faedah jika AKRT ini inklusif terhadap pasangan yang tidak berkahwin.
Dalam kes pasangan yang tidak berkahwin tetapi berkesedudukan, ada dua isu yang berbeza. Tidak dinafikan, untuk orang Islam, ia adalah satu dosa dan kesalahan disegi undang-undnag syari’ah. Di dalam perbahasan saya sebut yang bukan tujuan kita memberi pengiktirafan kepada perbuatan mereka.Bagi orang bukan Islam, it is a “non issue” dan memang inilah yang dikehendaki.
Ada dua isu disini - keganasan /penderaan dan berkesedudukan. Kedua-duanya salah di segi undang-undang (Islam). Menjadi tanggungjawab kerajaan memberi perlindungan kepada mangsa keganasan dan penderaan walaupun mereka melakukan dosa. Dua isu ini perlu diasingkan. Jikalau kita membuat premis yang orang berdosa tidak ada hak untuk dilindungi, ia bertentangan dengan agama Islam dan juga hak asasi manusia.
Kita juga membuat andaian yang semua mereka yang berkesedudukan melakukannya dengan rela hati dan adalah orang-orang “jahat” yang tidak boleh diberi pembelaan.Mereka perlu dihukum. Tidak ada satu ayat pun yang saya membela mereka berkesedudukan. Saya menumpu kepada perlindungan mangsa yang didera atau yang diganasi.
Saya beri beberapa contoh bagaimana berkesedudukan berlaku. Ini kes betul yang saya sendiri temui namun Alhamdulillah tiada keganasan atau penderaan pasangan.
1) Perkahwinan yang sah disegi syara’. Berlaku diluar negara. Namun bila balik tidak di daftarkan mengikut undang2 Malaysia. Dari segi undang-undang perkahwinan mereka tidak sah. Apa kata kalau setelah beberapa tahun atau beberapa bulan berkahwin si isteri mendesak suami untuk mendaftarkan perkahwinan kerana sedar yang dia tiada hak sebagai seorang isteri tambahan pula jika si suami berpoligami.Ataupun selepas duduk bersama baru tahu sisuami kaki pukul.
Si isteri pula mengandung. Si isteri dipukul, di dera…. Di mana dia hendak membawa kesnya? Kepada polis? Mana bukti perkahwinan? Dokumen dengan sisuami….(Saya boleh dengar pembaca Menara.My akan berkata… ini lainlah mereka bukan berkesedudukan.. .. mereka dah kahwin.. Boleh selesai masalah??… disegi undang-undang, akta mana nak pakai untuk melindungi dia ni?? Nak selesai secara undang-undang Islam…. Tahukah anda berapa banyak wang yang diperlukan dan berapa lama masa yang diperlukan untuk selesaikan?? Sementara itu hari hari kena penampar)
2) Kes cinta terhalang. Seorang gadis melarikan diri dari rumah mengikuti kekasihnya yang berjanji mengahwininya. Tiba di bandar setelah menyerahkan dirinya kepada teman lelaki masih tidak dinikahi atas pelbagai alasan teman lelakinya. Kerana selalu mendesak hendak dikahwini, si wanita ni dapat sepak terajang… mana nak pergi?. (saya boleh dengar sesetengah pembaca mengatakan… padan muka dia . siapa suruh menggatal?? Atau you deserve it. Yang “alim” sikit akan berkata.. ini balasan mereka yang melakukan maksiat, ambil Allah bayar cash didunia lagi… familiar responses isn’t it?? ).
Hari hari kita baca di dada akhbar yang gadis hilang dari rumah, Sebahagiannya mereka beginilah akhirnya. Sambung cerita di atas… akhirnya wanita seperti ini akan dilacurkan. Teman lelakinya jadi ibu ayam. Beliau tidak dapat melepaskan diri sebab tiada undang-undang yang boleh melindunginya. Dia terperangkap dalam dunia pelacuran dan hidup dalam suasana keganasan.
Kedua-dua kes dia atas adalah cerita dan kisah benar mereka yang beragama Islam. Mari tengok contoh untuk bukan Islam pula.
3)Terjadi di kalangan orang India dan kes dalam kawasan saya. Memang tidak berkahwin. Berkesedudukkan. Sudah ada anak. Miskin. Kadang-kadang dipukul. Tidak boleh buat apa. Bila ditanya kenapa tak lapor kepada polis. Dia tanya balik.. apa polis boleh buat YB? Nanti repot lagi kena pukul ada …Allah hati saya rasa undang-undang telah menzalimi mereka
4)Ramai yang pilih untuk tinggal bersama sebab nak kahwin leceh, kalau tak menjadi nak cerai … leceh juga. Mereka tidak menganuti mana-mana agama. Pilih untuk tinggal bersama sebagai suami isteri. Maka mereka juga tak sunyi dari perkara-perkara yang di alami oleh pasangan yang berkahwin secara sah termasuk penderaan dan keganasan.
Cukuplah contoh-contoh sebagai menggambarkan bahawa kita ada kes-kes/prima facie untuk memberi mereka perlindungan dari keganasan. Setakat ini tiada undang-undang yang boleh melindungi mereka dari keganasan. Kalau nak buat undang-undang lain macam tak logik sahaja dan akan mengambil masa yang lama. Yang paling mudah ialah mengintegrasi golongan ini dalam definisi mereka yang layak dilindungi dari kekerasa di dalam AKRT.
Saya tahu ada yang mengatakan kalau cadangan ini diterima maka kita akan menggalakkan rakyat berkesedudukan tanpa perkahwinan yang sah. Masyarakat akan jadi kucar kacir. RUU AKRT ialah langkah menangani segera keganasan dan penderaan dalam keluarga. Bagaimana mencegah keganasan berlarutan terhadapa wanita ianya tentulah melalui pendidikn. AWAN sudah melancarkan kempen STOP Violence Against Women (Stop VAW). Kita membela di mana yang patut dibela.
Kita perlu betulkan pandangan kalau kita fikir kebanyakan manusia suka hidup tanpa perkahwinan. Allah SWT menjadikan manusia dengan fitrah dan naluri yang bersih dan jika mereka tersilap langkah pun ingin kembali kepada kebaikan.
Sebagai pendakwah kita patut mencari peluang membawa manusia kembali ke pangkal jalan. Jika pasangan yang bersekedudukan itu muslim, tiada siapa boleh menghalang pihak berkuasa dari mendakwa mereka kerana telah melanggar undang-undang. Silakan. Terpulanglah kepada yang pegang kuasa. Mereka berpeluang dikaunsel dan peluang taubat terbuka luas. Bantulah mereka untuk berkahwin dengan sah dengan tidak payah menyusahkan mereka dengan pelbagai birokrasi yang ada. Jangan kita asyik nak menghukum tanpa memberi solusi.
Mudah kita berslogan Islam penyelesai segala masalah. Mari kita zahirkan kebijaksanaan kita sebagai khalifah Allah SWT menyantuni mereka yang mungkin jahil agama dan tidak mempunyai ruang dan kesempatan mempelajari dan mengamalkan agama.
AWAN menggalas politik empati dan peduli dan akan menjadi jurucakap golongan terpinggir kerana perjuangan kami inklusif terhadap semua golongan masyarakat.
AMANAH mendukung ISLAM RAHMATAN LIL ‘ALAMIN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan