"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Datuk bandar, isteri ditembak mati

Manila – Misi memerangi dadah di negara ini makin agresif apabila seorang lagi datuk bandar ditembak mati bersama isteri dan adiknya.

Turut terkorban dalam serbuan pada awal pagi Isnin itu adalah sembilan lagi individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Datuk Bandar Ozamiz, Reynaldo Parojinog adalah pegawai awam terkini yang ditembak mati polis sejak Presiden Rodrigo Duterte melancarkan kempen memerangi dadah.

Tahun lalu, dua datuk bandar telah ditembak mati kerana didakwa terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah.

Anak perempuan Parojinog, Nova Echaves yang juga Timbalan Datuk Bandar, ditangkap dan dibawa ke bandar ini atas faktor keselamatan.

Jurucakap polis Filipina, Lemuel Gonda berkata, polis menyerbu rumah Parojinog selepas mendapat waran untuk menggeledah kediaman berkenaan.

“Bagaimanapun, pengawal datuk bandar itu melepaskan tembakan ke arah polis menyebabkan kami terpaksa membalas serangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Wilayah Ozamiz, Jaysen De Guzman pula memberitahu, polis menemui senjata api, bom tangan dan dadah di rumah datuk bandar itu.

Duterte menang besar dalam pilihan raya presiden tahun lalu selepas berjanji membunuh penjenayah dan pengedar dadah bagi mengatasi masalah dadah di negara itu.

Sejak Duterte berkuasa, polis melaporkan menembak mati hampir 3,200 suspek dadah dalam kempen berkenaan.

Lebih 2,000 lagi suspek terbunuh dalam kejadian serangan berkaitan dadah.- Reuters
-kualalumpurpost

Tiada ulasan: