"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Orang kampung kini percaya 1MDB punca kos sara hidup tinggi

Orang kampung kini percaya 1MDB punca kos sara hidup tinggi
Orang kampung kini percaya 1MDB punca kos sara hidup tinggi
Lebih 500 orang hadir dalam ceramah Pakatan Harapan untuk menerangkan dengan lebih jelas kepada penduduk luar bandar kaitan antara 1MDB, GST dan kos sara hidup di Balik Pulau, Pulau Pinang semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-Chern, 30 Julai, 2017.

SEMAKIN kerap pemimpin Pakatan Harapan (PH) memberitahu hadirin bagaimana skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan punca masalah kos sara hidup yang semakin meningkat, mereka semakin percaya terhadapnya.

Dua malam berturut-turut, orang kampung di Pulau Pinang mendengar perkara ini; dan malam tadi di Dewan Balora di Kongsi, Balik Pulau mereka yang mendengar ceramah pemimpin PH mempercayai kaitan antara rasuah syarikat sarat hutang 1MDB dan peningkatan kos sara hidup.

“Saya percaya,” kata pemandu lori Johari Mohamad,50, salah seorang daripada lebih 500 orang yang hadir bila ditanya pendapatnya.

“Sebelum ini, saya tak sedar yang semua ini ada kaitan..mengapa sekarang kita ada GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan). Sekarang baru saya nampak,” kata penduduk Balik Pulau itu kepada The Malaysian Insight.


Slaid yang digunakan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua untuk menerangkan skandal 1MDB berjaya menjelaskan perkara itu kepada penduduk kampung, seperti pesara Abdul Karim Said Amir, 57, yang merasakan pembentangan itu baik, penuh dengan maklumat dan dapat difahami.

“Saya lebih faham sekarang. Saya bersetuju dengan alasan mereka yang kos sara hidup kita yang tinggi disebabkan 1MDB. Dulu, kita tak perlu bayar GST pun,” katanya.

Penganalisis politik sebelum ini percaya yang PH mungkin membataskan peluang kejayaan mereka apabila menggunakan skandal 1MDB untuk menyakinkan pengundi luar bandar supaya tidak mengundi Barisan Nasional (BN), kerana isu itu dianggap terlalu rumit dan kesannya tidak terlalu jelas kepada kehidupan mereka.

“Orang kampung tahu (tentang 1MDB) tetapi kami hanya diam sahaja. Kami juga berminat nak tahu lebih banyak tentangnya.

“Untuk mereka datang berjumpa orang kampung dan bercakap isu ini, mereka perlu bawa slide, cakap mengenai GST dan jelaskan mengapa kita kena bayar cukai itu,” kata Abdul Karim.

Chin Kooi Seng, 57, seorang kontraktor yang juga merupakan penduduk Balik Pulau berkata yang dia juga percaya 1MDB ialah punca penderitaan rakyat Malaysia sekarang.

“Kami kerja kuat, terlalu sibuk untuk (sara) hidup sampai tiada masa hendak fikir tentang politik tetapi bila kami rasa hidup makin susah, kami tahu ada yang tak kena.

“Tetapi tiada apa yang kami boleh buat kecuali tunggu pilihan raya dan mengundi,” katanya.

Chin mengakui yang dia masih belum memahami sepenuhnya skandal 1MDB walaupun pembentangan Pua jelas kerana isu itu terlalu rumit untuk difahamkan dengan hanya sekali dengar.

“Sekurangnya saya faham yang mereka berniaga tak jujur, letak semua duit dalam syarikat palsu dan ambil duit masuk dalam kocek mereka sendiri,” katanya.

Katanya, daripada “membazir begitu banyak duit”, kerajaan boleh memperuntukkan dana untuk projek seperti tambah baik Hospital Balik Pulau.

Abdul Rahman Din,64, orang kelainan upaya yang berbasikal dari rumahnya ke tempat ceramah berkata, dia merasa marah selepas mengetahui tentang semua aset mewah yang dibeli menggunakan duit yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

“Mereka fikir orang kampung tak tahu tentang 1MDB. Saya undi BN sebelum ini. Lepas ini tak undi dah,” katanya.

Apabila ditanya apa yang membuatkan dia percaya kepada ahli politik PH sedangkan ahli politik BN berterusan menafikan salah laku dalam skandal 1MDB, katanya: “Politik….yang buat salah tak akan mengaku buat salah.”

Ceramah 1MDB malam tadi di Balik Pulau- yang keempat dalam Jelajah 1MDB PH dan ketiga dilakukan di Pulau Pinang- turut menampilkan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Timbalan Ketua Pemuda Amanah Faiz Fadzil, Ketua Bersatu Pulau Pinang Marzuki Yahya, Ahli Dewan Undangan Negeri Air Hitam Wong Hon Wai dan Ketua PKR Balik Pulau Abdul Halim Hussain.

Faiz berkata Umno percaya orang kampung dan Melayu tidak mempercayai korupsi wujud dalam skandal 1MDB, tetapi PH kini sedang memasuki kampung di semua tempat untuk menceritakan kepada orang kampung kisah “pasangan paling romantik dalam sejarah dunia”.

Nurul Izzah Anwar adalah salah seorang penceramah semalam selain Tony Pua dan beberapa orang pemimpin PH yang lain. – Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-Chern, 30 Julai, 2017.
Nurul Izzah Anwar adalah salah seorang penceramah semalam selain Tony Pua dan beberapa orang pemimpin PH yang lain. – Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-Chern, 30 Julai, 2017.
“Logik untuk percaya skandal 1MDB mudah. Lihat projek besar lain yang kita ada- MAS masih ada kapal terbang, Tabung Haji masih ada bangunan, Felda masih ada ladang.

“Tetapi bila kita becakap tentang 1MDB, projek apa kita ada? Tiada apa. Apa yang kita lihat hanyalah aset mewah seperti berlian merah jambu, hartanah dan lukisan yang dimiliki pasangan itu dan rakan mereka. Itulah caranya mereka curi duit.

“Kerana itu, 1MDB kini berhutang dengan bank tempatan dan asing, Tabung Haji, KWSP, Perkeso dan banyak lagi; dan kerajaan Malaysia, sebagai penjamin, terpaksa membayar hutang berbilion,” katanya.

Izzah berkata demi membolehkan kerajaan melangsaikan hutang 1MDB yang mencecah lebih RM40 bilion, ia perlu melaksanakan GST, yang mengutip RM39 juta daripada rakyat.

“Sudah tentu mereka perlukan GST. Mereka tak ada cara lain untuk cari duit. Mereka tidak akan fikir soal gaji minimum, bagaimana hendak tolong rakyat, atau bagaimana mereka hendak bagi lebih banyak biasiswa kepada pelajar yang layak. Mereka akan cuba rompak rakyat untuk selesaikan masalah mereka,” katanya.

Izzah berkata kerajaan mengumumkan yang harga 12 barang akan menjadi lebih murah selepas GST, tetapi mengikut kajian PH, lapan daripada 12 barangan tersebut sebaliknya menjadi lebih mahal.

“Mereka kata GST tak akan beri kesan kepada pendidikan, penjagaan kesihatan…tetapi di hospital, pesakit sekarang kurang ubat…jika mereka perlukan ubat selama enam bulan dahulu, sekarang mereka hanya akan dapat ubat mungkin untuk tiga bulan sahaja,” katanya.

Marzuki yang merupakan bekas ahli Umno, berkata ketua bahagian parti itu sedang giat membuat sumbangan di seluruh tempat untuk meraih undi, tetapi pada masa yang sama rakyat perlu bayar GST, yang mungkin akan dinaikkan sekiranya BN terus berkuasa.

Pua, di akhir pembentangannya, menjemput hadirin untuk menyertai kemuncak jelajah 1MDB pada 14 Oktober di Padang Timur, Petaling Jaya.

Pua, Izzah dan Faiz turut berada di ceramah 1MDB di Sungai Acheh, Nibong Tebal pada malam Jumaat lalu.

Pua membentangkan slaidnya sementara Izzah, Faiz dan penceramah tempatan lain memberitahu hadirin yang mereka terpaksa membayar lebih mahal untuk barangan dan perkhidmatan sekarang kerana negara terpaksa melaksanakan GST untuk membayar hutang berbilion ringgit 1MDB.

Kerusi negeri Sungai Acheh dan Balik Pulau dimenangi BN pada PRU 13 dengan majoriti tipis. – 30 Julai, 2017.
-malaysiainsight

Tiada ulasan: