Halim Said
“Saya menawarkan ganjaran itu kerana mahu menyelesaikan kes ini tanpa membabitkan polis tetapi ibu kepada seorang suspek memberitahu yang anaknya adalah antara perompak dalam video itu,” kata pemilik kedai barang kemas yang hanya mahu dikenali sebagai Mr Sim.
ANTARA suspek yang dirakam dalam video CCTV kedai. FOTO ihsan Sim.© Provided by Media Prima ANTARA suspek yang dirakam dalam video CCTV kedai. FOTO ihsan Sim.
Lebih mengejutkan, kata Mr Sim yang kedainya di Kulai dirompak Jumaat lalu, ibu suspek juga mahu anaknya ditangkap dan dihantar ke institusi pemulihan kerana itu bukan kali pertama anaknya terbabit dalam perbuatan jenayah.
Mr Sim sebelum ini memuat naik video rompakan di Facebook miliknya dan menawarkan RM1,000 sebagai ganjaran kepada pihak yang memiliki maklumat mengenai perompak berkenaan.
Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu berjaya merakamkan kelibat tiga suspek terbabit, iaitu dua lelaki dan seorang wanita, yang memecahkan bekas berkunci dan mencuri barang kemas bernilai RM20,000.
Dalam insiden berkenaan, pemilik premis sudah menutup kedai dan mengunci kiosk itu kira-kira jam 10 malam, sebelum ketiga-tiga suspek tiba sejam kemudian dan memecahkan bekas berkunci terbabit dengan mudah.
Mr Sim kemudian memutuskan untuk menarik balik ganjaran RM1,000 yang ditawarkan selepas dihubungi ibu suspek, dan berharap polis menyelesaikan siasatan serta menangkap ketiga-tiga perompak itu segera.
"Saya sudah menurunkan posting di Facebook, namun ia sudah dikongsi beberapa kali, sekali gus menyukarkan saya untuk memadamnya.
“Saya harap posting itu dapat dipadamkan bagi mengelak kekeliruan," katanya.
Laporan polis dibuat pada malam kejadian.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulai Deputi Superintendan Tok Beng Yeow berkata, siasatan masih dijalankan dan tiada tangkapan dibuat setakat ini.
Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana merompak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan