"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nelayan Thai yang terkandas di Malaysia nekad berenang balik

Rindu buat lelaki Thai nekad berenang dari Malaysia
Bernama


Seorang nelayan rakyat Thailand yang terkandas beberapa hari di Malaysia kerana penutupan pusat pemeriksaan di sempadan nekad berenang untuk pulang ke tanah airnya.

Lelaki berusia 45 tahun dari Piman di daerah Muang, Satun, selatan Thailand kemudian ditemui dalam keadaan kepenatan dan hanyut di laut berhampiran pantai Puyu, sebuah daerah kecil di Satun semalam.

Dia kemudian diselamatkan polis marin.

Terdahulu lelaki terbabit terkandas di sempadan Thailand-Malaysia di Perlis selama beberapa hari susulan penutupan pusat pemeriksaan di kawasan berkenaan sejak 23 Mac.

Merindui ahli keluarga dan tidak pasti bila pusat pemeriksaan tersebut akan dibuka semula, lelaki terbabit nekad berjalan ke kawasan sempadan paling hampir sebelum berenang untuk menyeberanginya.

Inspektor Polis Marin Satun Left Kol Banjerd Manavej berkata lelaki itu berjalan selama dua hari sebelum tiba di sebatang terusan seluas kira-kira 100 meter.

Di situ, katanya, lelaki terbabit mengambil keputusan untuk berenang menyeberanginya sebelum arus deras menghanyutkannya ke laut.

Tingkat rondaan di sempadan

“Nelayan di kampung itu ternampak dia berenang dan memaklumkan perkara itu kepada polis pada kira-kira 2.30 petang (waktu tempatan) semalam.

“Dia dalam keadaan kepenatan ketika kami menjumpainya. Bagaimanapun, dia kelihatan amat gembira melihat kami.

“Dia dibawa ke hospital untuk pemeriksaan perubatan. Dia dalam keadaan sihat dan akan menjalani kuarantin selama 14 hari di kemudahan kuarantin negara di Satun,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Bangkok hari ini.

Banjerd berkata lelaki itu memberitahu polis dia hanya membawa sebotol air dan sebekas bekal makanan semasa dalam perjalanan pulangnya.

Lelaki itu telah didakwa memasuki negara tersebut secara haram dan didenda 800 baht.

Sementara itu, Banjerd berkata polis marin Thailand meningkatkan rondaan di perairan Thailand-Malaysia bagi menghalang rakyat negara tersebut yang terkandas di Malaysia mencuri masuk susulan penutupan pusat pemeriksaan di kawasan sempadan antara kedua-dua negara.

Bermula 23 Mac, kerajaan Thailand telah menutup sembilan pusat pemeriksaan ke Malaysia di kawasan sempadan sehingga notis selanjutnya dikeluarkan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri Thailand telah mengumumkan bahawa rakyatnya yang masih terkandas di sempadan Malaysia akan dibenarkan pulang jika mereka memenuhi syarat yang ditetapkan bermula 18 April.
-Bernama

Tiada ulasan: