"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno bakal mengubah terajunya?

Apakah Umno akan mengubah terajunya?
Haspaizi Zain


Dengan keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada Najib Razak, pastinya ramai - terutama pimpinan yang berada dalam kelompok Umno - mula mencongak-congak nasib atau perjalanan politik mereka selepas ini.

Yang hampir pasti, Najib mungkin terpaksa direhatkan, sekurang-kurangnya buat sementara waktu sehingga selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Atau sehingga proses mahkamah di peringkat rayuan dan persekutuan selesai. Cuma ia mungkin memakan masa bertahun-tahun lamanya.

Tidak kurang juga - selepas melihatkan hukuman yang ditimpakan ke atas Najib - ada kalangan pemimpin Umno mula tertanya-tanya nasib kes mahkamah lain yang melibatkan tokoh seperti Ahmad Zahid Hamidi, Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ahmad Maslan.

Seandainya nasib sama menimpa pemimpin Umno itu, pastilah teraju Umno akan berubah bagi mengemudi hala tuju baru parti dominan Melayu berkenaan.

Suka atau tidak, dalam keadaan yang sukar begitu Umno hampir pasti perlu meletakkan harapan kepada timbalan presidennya Mohamad Hasan.

Khabarnya beliau yang lebih mesra disapa sebagai Tok Mat khabarnya akan bertanding di kerusi parlimen dalam PRU ke-15 (PRU15) nanti.

Jika Mohamad bertanding dan menang di Rembau misalnya, sudah pastinya kedudukan menteri kanan dari Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) - yang kini disandang Ismail Sabri Yaakob atau Pak Long selaku menteri pertahanan - mungkin akan beralih tangan.

Itu jika PRU ke15 diadakan dalam masa yang terdekat. Populariti Ismail Sabri yang kini naib presiden Umno pada masa ini berada di kemuncak kerana paling terkehadapan dalam menangani isu Covid-19.

Kesetiaan tidak sedikit

Persoalannya ialah, jika Ahmad Zahid turut menerima kesan sama seperti yang dialami Najib, apakah Umno mampu untuk menerima nakhoda baru sama ada Mohamad atau Ismail Sabri?

Ini berdasarkan kepada percaturan atas kertas yang kita lihat pada masa ini. Bagaimanapun pada akhirnya siapa yang akan menerajui Umno akan ditentukan sendiri oleh ahli parti itu.

Sama ada Mohamad atau Ismail Sabri, kedua-duanya tetap akan berdepan dengan peluang menjadi menteri paling kanan dari Umno dalam kerajaan PN. Dan pada masa sama menggalas cabaran yang besar untuk melewati PRU ke-15.

Apa pula yang akan terjadi kepada pemimpin lain dalam Umno seperti pengerusi jemaah penasihat parti itu, Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin yang sama-sama pernah berentap untuk jawatan presiden pada pemilihan lalu.

Bagaimana pula dengan pimpinan lain yang kini menduduki kerusi menteri dalam PN pimpinan Muhyiddin Yassin seperti Hishammuddin Hussein, Reezal Merican Naina Merican, Annuar Musa atau Shamsul Anuar Nasarah?

Semua - terutama akar umbi Umno - tahu, kesetiaan semua pimpinan kepada parti keramat bangsa Melayu itu bukan sedikit dan tempoh 'rehat' yang terpaksa diambil Najib - dan mungkin Ahmad Zahid - selepas ini memungkinkan wujudnya keperluan untuk Umno meletakkan ketua yang betul pada masa yang tepat.

Ini bukan persoalan siapa yang lebih layak. Sama ada Mohamad atau Ismail Sabri atau Ku Li atau Khairy atau Hishammuddin. Tetapi lebih kepada siapa yang mampu untuk mengumpul kekuatan maksimum Umno untuk kembali menjadi parti terbanyak selepas PRU ke-15.

Walaupun Umno sangat yakin kerjasama mereka dengan PAS menerusi Muafakat Nasional mampu untuk melonjakkan kembali mereka sebagai parti terbesar di Dewan Rakyat selepas PRU ke-15, namun rakyat juga ternanti-nanti siapa tokoh yang akan diletakkan sebagai menteri paling kanan.

Ini penting kerana menteri paling kanan dari Umno mempunyai kebarangkalian paling tinggi untuk dinobatkan sebagai perdana menteri atau timbalan perdana menteri sekiranya Umno menjadi parti terbesar di Dewan Rakyat nanti.

Tiada ulasan: