Malaysiakini
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat unsur rasuah berhubungan perbuatan melompat parti di negara ini.
Jelasnya, tambahnya, dia menentang rasuah dalam PDRM, namun pemimpin politik telah membudayakan rasuah.
"Saya lawan rasuah dalam pasukan, tapi saya tengok rasuah merata-rata dalam politik mabuk kuasa.
"Sekejap 'katak' melompat sana, sekejap berbunyi sana, apa itu? Rasuah," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Pada 13 Mac lalu, bekas naib presiden PKR Xavier Jayakumar menjadi ahli Parlimen pembangkang terbaru meninggalkan parti untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Ahli Parlimen Kuala Langat yang sudah bersama PKR sejak 1998 itu menjelaskan alasannya meninggalkan parti adalah kerana dia “sangat kecewa” dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku tahun-tahun kebelakangan ini.
Sementara itu, tambah Abdul Hamid, SPRM tidak boleh membiarkan perkara itu berleluasa umpama negara tidak mempunyai undang-undang.
"Saya minta SPRM masuk (siasat). Seolah-olah dalam negara kita tidak ada undang-undang," katanya.
Abdul Hamid turut mempersoalkan sumber diperolehi bagi seseorang ahli politik menggunakan jet peribadi. Dia bagaimanapun tidak menamakan pemimpin politik yang dimaksudkan.
"Mana dapat duit naik 'private jet'. Kita minta SPRM siasat orang-orang politik," katanya.
Untuk rekod, sidang media hari ini merupakan sidang media terakhir Abdul Hamid sebelum melepaskan jawatan sebagai ketua polis negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan