N Faizal Ghazali
Di sebalik kisah seorang peniaga burger dikenakan kompaun RM50,000 kerana beroperasi lebih masa malam kelmarin, seorang lagi peniaga colek di Kampung Chekok Tengah, Kota Bharu, turut dikenakan kompaun membabitkan jumlah dan kesalahan yang sama.
Mohd Azizi Mohd Nor, 42, dan isterinya, Nik Norwati Nik Loh, 38 yang berniaga colek (rojak) pada sebelah malam sepanjang Ramadan di pekarangan rumahnya mengakui terkejut apabila didatangi beberapa anggota polis jam 11.30 malam kelmarin.
Katanya, tanpa bertanyakan maklumat lanjut, anggota polis berkenaan terus menulis kompaun dengan jumlah RM50,000 bagi kesalahan beroperasi melebihi had masa.
"Saya terkejut sampai hilang kata-kata melihat jumlah yang perlu kami bayar. Sedangkan untuk mendapatkan RM100 setiap malam dengan berniaga colek pun agak sukar kerana hanya berniaga kecil-kecilan di kawasan kampung.
"Sebenarnya ketika anggota polis tiba, saya sudah menutup kedai jam 10 malam dan sebahagian lampu juga sudah ditutup. Cuma bahagian dapur sahaja belum ditutup kerana saya dan isteri sedang mengemas ketika itu dan sudah tentu mengambil masa agak lama.
"Pada masa sama saya sedang menggoreng keropok untuk anak-anak memandangkan mereka belum tidur," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.
Semalam Malaysiakini melaporkan Wan Mohd Faisal Wan Kadir dikenakan kompaun dengan nilai RM50,000 atas alasan meniaga melebihi masa dihadkan dalam tempoh PKP.
Sementara itu Mohd Azizi yang juga bapa kepada lima anak yang masih bersekolah itu berkata, dia juga menanggung tiga anak saudara sudah tentu tidak mampu membayar jumlah kompaun berkenaan.
"Jangan kata RM50,000, jika dikurangkan RM10,000 pun saya tidak mampu dan disebabkan tidak mampu serta tiada pilihan lain, saya lebih memilih untuk masuk penjara.
Polis akan teliti semula kompaun
"Saya agak kecewa kerana ini kali pertama saya dikenakan kompaun tetapi sudah dikenakan RM50,000.
"Saya bekerja sebagai mekanik selain membantu isteri berniaga mee celup pada hari biasa.
"Cuma setiap kali Ramadan sejak empat tahun lalu, saya dan isteri berniaga colek pada waktu malam," katanya.
Tambahnya, disebabkan buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan, dia sudah ke Pejabat Kesihatan Daerah semalam untuk membuat rayuan dan sehingga kini mereka masih buntu dengan apa yang berlaku.
"Sejak malam kelmarin, saya dan isteri masih buntu sehingga tidak mampu tidur malam memikirkan nasib yang menimpa kami.
"Saya juga berharap ada pihak yang tampil membantu," katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat memaklumkan, pihaknya mengambil pendekatan untuk meneliti kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap tiga peniaga termasuk Azizi dan Wan Mohd Faisal.
Jelasnya, pihak polis akan memanggil semula orang yang dikenakan kompaun (OKK) membabitkan tiga peniaga berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan