M Fakhrull Halim
Ahli keluarga kepada 12 tahanan Penjara Sungai Udang membuat laporan polis setelah menerima aduan daripada ahli keluarga mereka yang ditahan, bahawa mereka didera ketika menjalani kuarantin 14 hari di Penjara Jelebu.
Antara penderaan yang dikatakan dilakukan terhadap mereka, termasuklah disembur dengan serbuk lada di kemaluan dan lubang dubur mereka menyebabkan mereka tidak dapat membuang air kecil dan air besar.
Sebahagian ahli keluarga tidak dapat menahan tangisan apabila menceritakan penderaan yang diceritakan kepada mereka, bahkan diceritakan, ada tahanan yang mahu membunuh diri kerana tidak tahan didera sebegitu rupa.
"Suami saya ada beritahu, kalau saya terus berada di dalam, saya akan mati dalam penjara. Saya akan bunuh diri, jika tidak, saya akan dipukul sehingga mati," kata R Lavaniyaa, isteri kepada B Kalaiarasan yang kini dalam tahanan, seperti diterjemahkan timbalan presiden NGO Sebaran Kasih, pastor Prince John.
Namun Lavaniyaa tidak dapat meneruskan kata-kata kerana sebak.
Dakwaan kes dera itu hadir beberapa minggu selepas kematian A Ganapathy, yang didakwa dipukul polis ketika berada dalam tahanan sehingga kakinya dipotong.
Menurut peguam Ganapathy sebelum ini, hasil laporan bedah siasat mendiang mendapati dia mati akibat kecederaan teruk di kaki dan bahu, namun polis mendakwa tiada bukti menunjukkan Ganapathy mati akibat dipukul ketika dalam tahanan polis.
Tak pasti pegawai penjara atau bukan
Lavaniyaa hadir bersama ahli keluarga tahanan yang lain dalam satu sidang media di Cheras hari ini bagi menceritakan penderaan yang dikatakan berlaku kepada ahli keluarga mereka yang kini dalam tahanan.
Menurut laporan polis Lavaniyaa, pada 8 April, suaminya bersama tahanan lain dari Penjara Sungai Udang, dihantar ke Penjara Jelebu setelah pulang dari Mahkamah Seremban untuk menjalani kuarantin Covid-19.
Di situ, katanya, mereka dipukul pegawai penjara dengan paip PVC dengan tangan masih bergari, sebelum diserbu ramai lagi orang dan dipukul menggunakan rotan, paip, kayu, kerusi dan lain-lain barang selama sejam.
Separuh daripada orang yang memukul mereka itu dikatakan memakai baju T biasa, berseluar pendek dan berselipar, menyebabkan suaminya tidak pasti sama ada mereka itu benar-benar pegawai penjara atau pun bukan.
Setelah itu, mereka dikatakan diarahkan masuk ke sebuah bilik secara berdua-dua dan diarahkan menanggalkan seluar dan seluar dalam, sebelum ada pegawai penjara yang menyembur serbuk lada ke dubur dan kemaluan mereka, lalu diarahkan berbaring di lantai tanpa pakaian.
Selepas semua tahanan masuk ke bilik tersebut, pegawai berkenaan dikatakan mula memukul mereka tanpa henti sehingga malam.
Menurut biras Lavaniyaa, Elisha Teh, kali pertama mereka dapat bertemu dengan Kalaiarasan selepas insiden berkenaan adalah pada 27 April itu. Itu jugalah kali pertama mereka berpeluang bertemunya di penjara untuk tahun ini.
Kata Elisha, pada pertemuan itu, adik iparnya itu mengadu masih mengalami pendarahan di kemaluan dan di lukanya.
Daripada semua 22 tahanan yang dipukul, katanya lagi, tidak ada seorang pun yang dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, kecuali seorang - itupun kerana penyakit TB yang dihadapinya.
Belum dapat khabar
Menurut Prince Jon, setakat ini, keluarga 12 tahanan itu telah pun membuat laporan polis, manakala 10 lagi belum berbuat demikian, memandangkan mereka tinggal di negeri lain dan belum berkesempatan berjumpa ahli keluarga mereka.
Yang lebih membimbangkan kata Prince Jon, hanya separuh daripada tahanan yang dikuarantin di Penjara Jelebu, dihantar pulang ke Penjara Sungai Udang, termasuk Kalaiarasan.
Nasib mereka yang masih dikuarantin di Penjara Jelebu, katanya,masih tidak diketahui sehingga ke hari ini.
Selain Lavaniyaa dan Elisha, beberapa ahli keluarga lain turut meluahkan kebimbangan mereka terhadap keadaan ahli keluarga masing-masing di penjara.
Ada ahli keluarga tahanan yang masih berada di Penjara Jelebu memaklumkan mereka belum mendapat apa-apa berita daripada penjara berhubung keadaan tahanan, malah panggilan telefon setiap hari ke Penjara Jelebu juga, kata mereka, tidak bersambut apa-apa jawapan.
Prince Jon memaklumkan, kesemua 22 tahanan itu ditahan sekitar 2019 kerana disyaki terlibat dalam jenayah terancang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma). Kesemua mereka berbangsa India.
Elisha memberitahu tahanan-tahanan berkenaan kini dalam proses rayuan terhadap penahanan mereka di Mahkamah Tinggi Seremban. Namun, katanya, pendengaran seterusnya hanya akan berlangsung pada Ogos nanti.
Elak satu lagi kematian
Katanya, kejadian dera tersebut adalah yang pertama kali berlaku kepada tahanan berkenaan yang berusia antara 20 hingga 45 tahun.
Malah, katanya juga, ketika membuat laporan, pegawai penyiasat memaklumkan kepadanya bahawa pihak penjara sudah membuat laporan polis berkenaan insiden itu, tetapi dengan versi berbeza.
Kata Elisha, dia dimaklumkan pegawai penyiasat bahawa penjara membuat laporan bahawa kejadian 8 April itu disebabkan pergaduhan antara 22 tahanan berkenaan, yang menyebabkan mereka harus mengambil tindakan.
Kata Prince Jon, mereka bukanlah mahu menentang bidang tugas pihak berkuasa, tetapi yang mereka bantah ialah keganasan sehingga menyembur serbuk lada di kemaluan dan dubur mereka, yang menafikan hak asasi manusia tahanan dan ahli keluarga.
Tambahnya, dia rasa penting untuk ahli keluarga tahanan bersuara bagi mengelakkan satu lagi kematian seperti yang berlaku pada Ganapathy.
Pengerusi Pertubuhan Illyala Thalaimurai Kuala Lumpur-Selangor, D Malaruvanan juga berkongsi nada serupa.
“Kita tak tahu apa kesalahan mereka (tahanan). Ikut kesalahan mereka, kita boleh hukum mereka, tapi janganlah seksa macam ini. Dia salah ke tidak kita masih tidak tahu. Itu terpulang kepada pihak polis.
“Cuma kita tak mahu jadi kes macam sebelum ini (Ganapathy). Itu saja.
“Penjara ini tempat pemulihan. Tahanan pergi ke sana (menjalani hukuman), dan dia (sepatutnya) akan pulang ke pangkuan keluarga, bukan kehilangan" katanya lagi.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan respons pihak berwajib mengenai perkara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan