Agensi
Gomez didakwa membunuh dan mengerat anggota badan ibu kandungnya. FOTO Agensi
Madrid: Bukan sekadar membunuh, malah seorang pemuda di Sepanyol bertindak mengerat anggota badan ibu kandungnya kepada 1,000 ketulan kecil sebelum menyimpannya dalam bekas makanan yang kemudian dikongsi bersama anjing peliharaan.
Alberto Sanchez Gomez, 28, berdepan hukuman penjara lebih 15 tahun jika disabit bersalah kerana membunuh Maria Soledad Gomez, 68.
Dalam perbicaraan yang bermula Selasa lalu, Alberto mengaku melihat 'mesej tersembunyi' ketika dia menonton televisyen dan ada suara memberitahunya, 'bunuh ibu awak.'
Dia memberitahu Mahkamah Audiencia bahawa suara itu milik jiran, kenalan dan selebriti namun mendakwa tidak ingat bagaimana dia mengerat ibunya atau memakan daging wanita itu.
Mahkamah juga dimaklumkan bahawa pegawai polis yang mengarahkan tertuduh membuka pintu flat dihuni bersama ibunya di Madrid ketika penahanan pada Februari 2019, menerima respons tertuduh yang berkata, "ya, ibu saya ada di dalam, sudah mati."
Bekas pelayan pelanggan itu memberitahu polis bahawa dia makan daging ibunya 'sedikit demi sedikit' bersama anjingnya selama dua minggu.
Detektif menemui sisa anggota Soledad dalam bekas Tupperware di dalam peti ais manakala tulang diletakkan dalam laci di rumah berkenaan.
Pendakwa raya negeri berhujah ketika perbicaraan itu bahawa tertuduh mencekik ibunya dalam pergaduhan antara Januari hingga awal Februari 2019.
"Tertuduh kemudian memindahkan badan ibunya ke dalam bilik dan diletakkan di atas katil dengan niat untuk menghilangkan mayat itu.
"Untuk melakukan demikian, dia memotong anggota badan mangsa menggunakan gergaji dan dua pisau dapur.
"Selepas itu, tertuduh juga didakwa makan daging dan anggota badan mangsa sedikit demi sedikit selama dua minggu, juga meletakkan sebahagiannya dalam bekas Tupperware yang dimasukkan ke dalam peti ais dan buang sisa lain dalam beg plastik," katanya.
Keputusan ujian psikiatrik tertuduh akan didedahkan dalam perbicaraan akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan