Mohsin Abdullah
Keistimewaan yang disediakan oleh pihak masjid (dan surau) untuk diberi kepada VIP semasa golongan itu datang beribadah bukanlah amalan baharu. Kita sudah lama tahu dan lihat ada ruang yang dikhaskan untuk VIP.
Ada kala ahli jawatankuasa masjid dan imam menyambut tetamu istimewa ini di pintu masuk masjid. Sekadar dua misalan.
Tetapi itu semua tidak mendatangkan gusar. Tiada siapa yang marah. Sekurang-kurangnya secara terbuka. Sebab keistimewaan yang diberi kepada golongan VIP tidak menafikan hak sesiapa (khususnya golongan marhaen) untuk sama-sama beribadah. VIP solat. Orang biasa solat. Tak ada masalah. Tiada siapa peduli.
Itu dahulu.
Sekarang pergi ke masjid terutama untuk solat Jumaat ada protokol. Ada peraturannya. Kena ambil nombor giliran untuk masuk.
Maknanya kena buat awal.
Ada juga kena buat tempahan untuk masuk. Sama ada secara “online” atau kaedah manual. Maknanya kena “booking” untuk masuk masjid untuk solat. “Walk-in” dibolehkan di sesetengah masjid. Tetapi kena sampai lebih awal daripada awal kerana bilangan yang dibenarkan masuk terhad.
Sekarang tidak ada lagi “rapat-rapatkan saf”. Penjarakan fizikal mesti dijaga. Itu sebab bilangan jemaah dihadkan.
Ada suatu Jumaat tahun lalu saya tak dapat masuk masjid kerana dah penuh. Maksud “penuh” ialah bilangan yang diizinkan. Saya terus balik ke rumah , sambil tersenyum berkata dalam hati, pergi sembahyang kat masjid dah macam pergi tengok bola, konsert, atau tengok wayang. Tak ada tiket kena balik. Padan muka saya. Siapa suruh datang lambat? Sebenarnya saya tak lah lambat…Cukup. Itu dah lain cerita pula.
Apa pun inilah realiti masa sekarang. Zaman wabak Covid-19. Kita akur akan itu semua. Protokol, peraturan, SOP. Kita patuh. Cuma kadang-kadang kita naik angin. Rasanya pembaca tahu ke mana penulisan ini hendak saya tujukan.
Ya…apa yang nak dibicarakan ialah apa yang berlaku di Masjid Putra tempoh hari. Kita tahu dan ramai sudah tonton klip video ada VIP turun daripada kereta mewah terus dibenarkan masuk masjid . VIP pun masuk, gate ditutup semula. Di luar ada beberapa saudara kita yang pegang sejadah tidak dapat masuk.
Tertularnya video itu pelbagai reaksi tercetus. Kecaman dan kritikan timbul. Ramai yang menyatakan masjid sekarang pilih kasih. VIP diberi layanan istimewa.
Orang biasa dinafikan hak.
Imam masjid tampil beri penjelasan (termasuk mengenai kuota VIP) dengan caranya tersendiri yang mengundang lagi kemarahan ramai. Tidak perlu saya huraikan apa yang imam berkenaan katakan kerana ramai sudah baca laporannya.
Bagi saya kedua-dua pihak – yang marah dan juga yang pertahan – mempunyai hujah atau alasan masing-masing yang logik. Lalu saya tidak mahu mengulas lanjut.
Yang ingin saya tegaskan ialah ini:
“Dakwaan amalan kasta muncul sebagai dimensi baru dalam perpecahan dan perselisihan faham masyarakat Islam Malaysia”.
Ini saya petik kata-kata wartawan veteran A Kadir Jasin daripada laman Facebooknya.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama Islam, Ahmad Marzuk Shaary, mahu pihak pengurusan masjid tidak membeza-bezakan layanan kepada individu atau kumpulan tertentu. Sebaliknya melayan semua jemaah sama rata. Kata beliau layanan “kayangan“ tidak harus berlaku.
Setuju. Ia tidak seharusnya berlaku tetapi ia berlaku. Tetapi kerap kita dengar pihak masjid (bercakap secara am bukan khusus masjid Putra) bertindak memberi layanan istimewa kepada VIP atau golongan “kayangan “, atau golongan “have-have” bak kata anak muda zaman “now”, atas arahan pihak tertentu. Dalam ertikata lain pihak atasan beri arahan.
Betul ke? Jika ya siapa pihak atasan yang beri arahan itu? Ini Marzuk selaku timbalan menteri agama Islam perlu cari jawapannya. Jika sangkaan itu benar, beliau mesti minta arahan itu dibatalkan serta-merta.
Barulah pihak pengurusan masjid tidak tersepit – berada dalam keadaan serba salah. Orang biasa juga akan senang hati kerana tidak ada dua darjat. Tidak ada kasta dalam masjid.
Bagi Kadir, apa yang berlaku di masjid Putra ialah manifestasi ketaksuban terhadap kasta.
Teringat saya kisah lama yang diceritakan kepada saya oleh abang ipar saya masa saya kecil dahulu.
Kata abang ipar saya, ketika Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bersekolah di Kuala Lumpur, baginda dihantar ayahandanya, Sultan Omar Ali Saifuddien, belajar mengaji Al-Quran di Kampung Baru – diajar oleh imam Masjid Jamek Kampung Baru, Mohd Tahir Jaafar.
Oleh itu, Sultan Omar kerap datang ke Kampung Baru dan sembahyang di masjid apabila masuk waktu solat.
Almarhum akan ke masjid tanpa dihebahkan. Begitu juga ketika solat Jumaat. Almarhum akan muncul dan mengambil tempat di ruang kosong di masjid. Jika ruang kosong di barisan belakang di situ lah Almarhum duduk.
Lazimnya ramai jemaah tidak sedar akan kehadiran Almarhum. Mereka sering tidak perasan siapa yang duduk di sebelah mereka.
Apabila kehadiran Almarhum diketahui, Almarhum akan dijemput ambil tempat di barisan depan kerana jemaah yang duduk di situ rela mengosongkan ruang untuk Almarhum.
Menurut abang ipar saya, Almarhum menolak pelawaan itu. Jelas bagi Almarhum tidak ada kasta dalam masjid .
Begitu juga Nik Aziz Nik Mat yang pernah duduk di ruang luar pintu masjid kerana dewan solat sudah penuh. Almarhum tidak mahu diberi layanan istimewa.
Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga begitu. Ada lagi VIP yang tidak mahu diberi layanan istimewa di masjid apabila mereka datang lewat.
Mereka tahu jika mahu duduk di barisan depan, datanglah awal. Jika ruang dalam sudah dipenuhi jemaah, mereka duduk di mana sahaja ruang kosong.
Bagi saya, the “onus is on the VIPs themselves”. Terpulanglah kepada VIP sendiri sama ada mahu terima atau tolak layanan “kayangan” walaupun dipelawa, jika layanan istimewa itu menyakiti orang lain.
Saya akhiri dengan petikan artikel yang saya tulis untuk FMT Mac lalu: “Jika kita dikurnia nikmat mendirikan solat berjemaah di masjid manakala saudara seagama kita dilarang, tidakkah kita rasa bersalah?”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan