"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH: M'sia terima arahan China?

Aukus: Hisham gambarkan M'sia terima arahan China - PH

Malaysiakini 

Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan tidak berpihak kepada mana-mana kuasa besar selepas Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein mengatakan akan meminta pandangan China mengenai perjanjian pembelian kapal selam berkuasa nuklear antara Australia, United Kongdom dan Amerika Syarikat (Aukus) baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, Majlis Presiden PH berkata, kenyataan Hishammuddin itu dilihat agak aneh dan menimbulkan persepsi seolah-olah Malaysia menerima arahan daripada China.

Menurut PH, Malaysia dipandu oleh Kertas Putih Pertahanan yang telah diluluskan di parlimen secara dwipartisan pada 2 Disember 2019.

Katanya, salah satu daripada lima prinsip asas pertahanan yang digariskan dalam Kertas Putih itu adalah "Keneutralan aktivis", iaitu "mengamalkan dasar berkecuali.

"Keneutralan aktivis tidak bermaksud Malaysia berpeluk tubuh apabila ada percubaan untuk menjejaskan kedaulatan negara dan sikapnya untuk berkecuali.

"Malaysia seharusnya bersuara lantang terhadap kuasa Barat sekiranya berlakunya persaingan senjata di rantau ini. Pada masa yang sama, Malaysia juga perlu mempengaruhi China secara aktif supaya menghormati kedaulatan negara-negara serantau, serta peranan Asean di rantau ini.

"Kita tidak boleh dilihat memihak dan memberi gambaran bahawa Malaysia menerima arahan daripada mana-mana pihak," kata Majlis Presiden PH.

Aukus adalah kerjasama keselamatan, perisikan dan teknologi yang baru melibatkan tiga negara.

Bagaimanapun isu pemerolehan kapal selam berkuasa nuklear mengundang paling banyak perhatian.

Menerusi kerjasama itu, Australia akan membangunkan kapal selam tersebut di Adelaide.

Langkah itu dilihat sebagai usaha blok Barat untuk melawan pengaruh China yang semakin meningkat dan kehadiran tenteranya khususnya di Laut China Selatan.

Malaysia sering mengambil pendirian tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar, namun menentang pencerobohan China di wilayah yang menjadi tuntutannya.

Pada Rabu lalu, Hishammuddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa Malaysia akan mendapatkan pandangan China khususnya dalam aspek pertahanan berhubung pembentukan kerjasama tiga hala itu.

Ini bukan kali pertama Ahli Parlimen Sembrong itu mendapat kritikan berhubung kenyataannya yang melibatkan China.

Pada April lalu, Hishammuddin dikritik setelah dia menggelarkan China sebagai 'abang' semasa sidang media dengan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi di Beijing.

Menteri itu kemudian mempertahankan kenyataannya, dengan mengatakan dia merujuk kepada Wang Yi yang lebih tua dan berpemngalaman daripadanya sebagai menteri luar.

Tiada ulasan: