FMT Reporters
PETALING JAYA: Islam membenarkan gurauan sekiranya ia bertujuan membawa kebaikan dan dilakukan dengan cara baik, namun jatuh haram jika gurauan tidak wajar serta bercanggah syariat, kata Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin.
Katanya, bentuk gurauan masa ini seperti prank, karikatur, parodi, satira, komedi dan seumpamanya dibenarkan, selagi ia tidak bercanggah syariat.
“Gurauan membawa kebaikan adalah seperti untuk menjalinkan hubungan lebih akrab, pendidikan lebih berkesan atau segala maksud baik, maka ia boleh mendatangkan pahala.
“Namun, ia menjadi haram sekiranya terdapat unsur mempermainkan agama Islam, sama ada daripada sudut kepercayaan, syiar atau amalan, memperlekeh dan merendahkan orang lain dalam perkara dan bentuk tidak wajar,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, ia juga termasuk mereka-reka sesuatu tidak wujud yang membawa keburukan serta gurauan mendatangkan mudarat kepada pihak lain, sama ada dari segi fizikal, emosi, maruah, harta atau ketenteraman individu atau masyarakat.
“Perlakuan maksiat, dosa dan kemungkaran, bahasa dan perlakuan yang tidak wajar menurut uruf setempat juga boleh menjadi haram.
“Dinasihatkan juga kepada masyarakat untuk mementingkan sifat kesederhanaan, keseimbangan dan kesesuaian sebagaimana yang dianjurkan di dalam agama, termasuk dalam permasalahan gurauan,” katanya.
Asri berkata, fatwa itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali kelima tahun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan