Malaysiakini
Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) mendakwa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob cuba mengelak undi percaya kerana menurutnya dia menyedari dia dikelilingi "geng pencuri yang tidak boleh dipercayai".
"Dia (Ismail) sedar dia duduk bersama geng pencuri yang tidak boleh dipercayai.
"Itu sebab dia tak nak buat undi percaya," kata Khalid di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya, Ismail hanya dilantik sebagai perdana menteri kerana budaya lompat parti yang berkembang melalui "Langkah Sheraton" Februari lalu.
"Budaya lompat-lompat (parti) dimulakan melalui Langkah Sheraton yang jatuhkan kerajaan PH.
"Lepas itu kerajaan Pagoh (Muhyiddin Yassin) juga dijatuhkan, bukan oleh PH, tapi 14 ahli parlimen Umno yang tarik sokongan.
"Ada kemungkinan YB Bera (Ismail) akan dijatuhkan kembali, dan kalau ia berlaku itu adalah kerana budaya politik yang buruk dan rosak yang diamalkan sesama mereka," katanya.
Budaya ini, katanya, mewujudkan pemerintahan yang lemah.
Pada 18 Ogos, Yang di-Pertuan Agong memutuskan bahawa perdana menteri baru mesti mengadakan undi percaya di Dewan Rakyat. Ia bagaimanapun tidak diendahkan oleh kerajaan Ismail.
Undi percaya adalah formaliti. Namun, ia digunakan untuk menjatuhkan Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar Perak pada Disember lalu.
Undian pertama yang secara tidak langsung menguji majoriti Ismail akan berlangsung pada hari Khamis apabila Dewan Rakyat mengundi berhubung ucapan terima kasih atas ucapan Agong.
Kemungkinan dia gagal dalam undian itu adalah tipis kerana dia telah memperoleh persefahaman dengan PH.
PH telah berjanji untuk menyokong Ismail pada setiap rang undang-undang atau usul yang dapat disifatkan sebagai undi percaya dan RUU Belanjawan 2022, jika kerajaan melaksanakan pembaharuan tertentu mengikut masa yang ditetapkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan