"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sajat: Wan Besi dalang lolos

Harian Metro

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengkhianat negara. Itu gelaran layak diberikan kepada lelaki dikenali sebagai Wan Besi yang bertanggungjawab menyusun penyeludupan keluar usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat dari Padang Besar, Perlis hingga ke Bangkok, Thailand.

Sumber memberitahu Skuad Khas Harian Metro bahawa hasil siasatan baharu dilakukan pihak berkuasa mendapati Wan Besi adalah dalang atau watak utama pembolosan Nur Sajat dari Malaysia ke Thailand.

Memperincikan maklumat terkini hasil siasatan itu selepas pendedahan eksklusif Harian Metro sejak Isnin lalu, sumber memaklumkan, terdapat individu tertentu iaitu seorang lelaki yang juga berkaitan dengan Wan Besi membawa Nur Sajat dengan menaiki kenderaan memulakan perjalanan dari banglonya di Petaling Jaya pada minggu pertama Mac lalu.

"Sebaik tiba di Padang Besar, Wan Besi dengan bantuan konconya menyeludup Nur Sajat ke dalam gerabak kereta api sebelum melepasi sempadan negara.

"Wan Besi ini kita percaya mempunyai dua kerakyatan dan dialah yang membawa Nur Sajat ke kondominium mewah di Bangkok," katanya.

Ditanya kos perbelanjaan sebenar untuk membawa keluar Nur Sajat dari Malaysia, sumber itu memaklumkan, RM20,000 dikenakan Wan Besi kepada usahawan kosmetik itu untuk membawanya keluar dari Padang Besar, Perlis hinggalah ke Bangkok.

"Wang ini dibahagikan Wan Besi dengan pihak tertentu di kawasan Padang Besar yang bersubahat dengannya," katanya yang mendedahkan maklumat terkini siasatan dilakukan pihak berkuasa bagaimana Nur Sajat boleh lolos dengan mudah ke negara gajah putih itu.

Menurutnya, pihaknya juga percaya ada bayaran lain yang dikenakan kumpulan itu untuk membawa Nur Sajat dari Lembah Klang ke Padang Besar, Perlis dan siasatan sedang dilakukan mengenainya.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, Wan Besi sememangnya aktif dalam kegiatan penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand terutama di Padang Besar, Perlis dan menjadikan laluan utama penyeludupan keluarnya adalah di kawasan KTMB.

Katanya, Wan Besi pernah ditahan tiga kali oleh polis membabitkan kes penyeludupan ketum dan terbaharu kes tembakan di sempadan yang menyebabkan kematian anggota Pasukan Gerakan Am.

"Laluan pagar KTMB juga sering menjadi laluan utama rakyat Thailand membolosi sempadan negara. Selain itu, kita juga percaya ada aktivis tertentu yang membantu menasihati Nur Sajat untuk memohon kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan berpindah ke Australia.

"Aktivis ini memberi nasihat berkaitan human right dan prosedur berhijrah ke Australia dengan alasan Nur Sajat menerima banyak ugutan bunuh dan lain-lain ugutan di Malaysia," katanya.

Harian Metro kelmarin melaporkan misteri 'kehilangan' usahawan Nur Sajat kini terjawab apabila dia ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu hasil maklumat pihak berkuasa Malaysia.

Pendedahan eksklusif Harian Metro semalam turut mendedahkan bahawa Nur Sajat kini dikenali dengan nama Bella selain 'berlagak' dengan kad pelarian UNHCR yang dikeluarkan pejabat badan itu di Bangkok.

Untuk rekod, Nur Sajat ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki warga Thailand yang juga berperwatakan wanita ketika serbuan pihak imigresen pada jam 6 petang waktu Thailand.

Pada 9 September lalu, atas kesalahan itu, Nur Sajat didakwa di mahkamah namun dia dibebaskan keesokannya dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

Nur Sajat kini diarahkan melaporkan diri ke Ibu Pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari dan ketika ditahan, dia yang kini sudah menjadi pemegang kad pelarian UNHCR mendakwa mahu berpindah ke Australia selepas diburu pihak berkuasa Malaysia dan diugut bunuh kerana umum keluar daripada Islam.

Skuad Khas Harian Metro turut mendedahkan bagaimana penyamaran dilakukan usahawan kosmetik itu yang mengenakan purdah dan niqab serta membayar RM20,000 kepada seorang lelaki untuk diseludup keluar dari Malaysia.

Lelaki terbabit dilaporkan berjaya menyeludup keluar Nur Sajat menggunakan gerabak kereta api di Padang Besar, Perlis sebelum diserahkan kepada lelaki lain sebaik mereka tiba di Hat Yai, Thailand.

Nur Sajat kemudian dibawa lelaki itu ke Bangkok dan menjadikan sebuah kondominium mewah di kota raya berkenaan sebagai pusat persembunyian sehinggalah dia ditahan.

Tiada ulasan: