"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kantoi rakam video model tanpa seurat benang

Agensi

NEIL Corbel. FOTO Agensi

London: Seorang lelaki yang juga bekas pegawai polis unit antikeganasan mengaku membuat rakaman video puluhan model tanpa seurat benang dengan menggunakan kamera secara rahsia.

Metro UK melaporkan Neil Corbel 40, menyembunyikan peranti itu di tempat strategik seperti kotak tisu, pengecas telefon, penyegar udara dan gelas.

Modus operandinya adalah dengan menyamar sebagai juruterbang sebelum menyewa hotel, flat dan Airbnb untuk mengadakan sesi penggambaran dengan model yang dikenalinya di internet.

Helahnya terbongkar selepas seorang daripada wanita berkenaan yang setuju untuk mengambil gambar tanpa pakaian, curiga dengan satu jam digital sebelum mendapati ia adalah kamera pengintip.

Hasil siasatan lanjut, pegawai polis menemukan 51 gambar wanita di pemacu cakera keras milik Corbel.

Polis seterusnya mengenal pasti 19 mangsa yang bersedia memberi kenyataan terhadap lelaki berkenaan.

Corbel kemudian digantung daripada tugasnya di Polis Metropolitan London selepas mengaku bersalah atas 19 kesalahan di Mahkamah Majistret Westminster, pada Isnin.

Mahkamah bagaimanapun mendapati kesalahan itu tidak mempunyai kaitan dengan pekerjaannya sebagai polis.

Berdasarkan prosiding, tertuduh melakukan semua perbuatan berkenaan di London, Manchester dan Brighton, antara Januari 2017 hingga Februari tahun lalu.

Mahkamah diberitahu bahawa Corbel merakam video semua mangsa kecuali seorang wanita tanpa pengetahuan mereka.

Pendakwa raya, Babatunde Alabi berkata, secara umumnya semua mangsa adalah model.

"Seorang saja bersetuju untuk rakaman video, manakala yang lain tidak," katanya.

Difahamkan, dua daripada model berkenaan mempunyai hubungan dengan tertuduh.

Mahkamah diberitahu, Corbel ketika disoal siasat oleh pihak polis mengakui menggunakan peranti untuk merakam video mangsa secara sembunyi untuk kepuasan seksualnya sendiri semata-mata.

Dalam pada itu, Polis Metropolitan London akan mengambil tindakan tatatertib terhadap Corbel.

Tiada ulasan: