"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Datuk Wan Abdul Rahim mencadangkan agar pertandingan satu lawan satu di Kelantan

BORHAN AHMAD

Veteran politik Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah mencadangkan agar pertandingan satu lawan satu  berlaku di Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang.

Sehubungan itu, katanya, Pakatan Harapan perlu berunding dengan mana-mana pihak di Kelantan agar berlaku pertandingan satu lawan satu antara pembangkang melawan Perikatan Nasional (PN) di negeri pantai timur itu.

Wan Rahim yang merupakan Pengarah Pilihan Raya PH Kelantan berkata, gabungan itu perlu berunding dengan semua pihak untuk mempastikan pertandingan satu lawan satu itu berlaku.

Antaranya adalah berunding dengan Umno yang dipimpin oleh veteran politiknya Tengku Razaleigh Hamzah dan juga Putera yang dipimpin oleh Datuk Ibrahim Ali.

“Kita bukan nak bergabung sebab PH adalah gabungan yang terbaik yang kita telah ada tetapi bekerjasama dengan pembangkang yang lain melawan kerajaan Perikatan Nasional adalah diperlukan,” Wan Rahim yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional itu.

Wan Rahim berkata demikian dalam Wacana Politik Kelatan siri ke 5 yang diadakan secara langsung melalui Facebook Amanah Kelantan malam tadi.

Wacana Politik Kelantan yang disertai Wan Rahim dan Che Ibrahim manakala moderatornya adalah Zahari Sidek malam tadi.

Turut serta sebagai ahli penal adalah Che Ibrahim Mohamed, Timbalan Pengerusi AMANAH Kelantan. Moderator program ini adalah Zahari Sidek, Pengarah Komunikasi AMANAH Kelantan.

Dalam wacana itu, Wan Rahim yakin, apabila tiga pemimpin iaitu Pengerusi PH Kelantan Ustaz Muhammad Husain berunding dengan Ku Li dan Ibrahim, satu tawaran yang baik boleh diberikan kepada rakyat Kelantan.

Ini kerana ketiga-tiga mereka adalah veteran politik Kelantan yang memahami apa yang dikehendaki rakyat negeri itu.

Ustaz Che Ibrahim menyokong penuh cadangan Wan Rahim itu kerana rakyat Kelantan perlu diberikan alternatif terhadap kerajaan Pas yang ada sekarang.

Ini kerana, selepas 30 tahun mentadbir Kelantan, sudah jelas kepada rakyat negeri ini mereka perlukan satu harapan baharu selepas kerajaan yang ada gagal mentadbir dengan baik.

“Kerajaan yang ada gagal membuat sesuatu yang baharu untuk rakyat, hanya sekadar melangsung apa yang Tok Guru Nik Aziz buat dahulu sahaja.

“Masalah air, tanah dan nasib guru-guru YIK (Yayasan Islam Kelantan) perlukan pembelaan dan ini gagal dibuat oleh kerajaan negeri yang ada,” kata beliau.

Che Ibrahim, bekas Kadhi Kota Bharu itu juga berkata, kalau dahulu harapan rakyat adalah untuk melihat kerajaan Islam ditubuhkan di Kelantan dengan menyokong Pas.

“Tetapi apa beza kerajaan Islam Kelantan dengan kerajaan-kerajaan negeri lain di Malaysia dari segi keIslamannya sekarang. Tidak ada,” kata beliau dalam wacana politik itu.

Oleh itu, katanya, rakyat Kelantan perlu diberi pilihan lain selain dari kerajaan Pas yang ada ini dengan cara semua parti-parti pembangkang bekerjasama melawan kerajaan PN yang dikemudikan oleh Pas di Kelantan.

Berhubung dengan soal siapa yang akan memimpin atau menjadi menteri besar Kelantan selepas pilihan raya umum nanti, terserah kepada budibicara rakyat ketika membuat undi dalam PRU-15 nanti.

“Jika rakyat beri kerusi kepada Umno lebih, maka Umno akan menjadi menteri besar tetapi jika kerusi yang dimenangi oleh PH lebih, maka pemimpin PH yang akan menjadi menteri besar,” kata beliau dalam forum wacana itu.

Tiada ulasan: